::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Jun 26, 2013

Nikmat Manakah Yang Mampu Kamu Dustakan?


~Sungguh, nikmat manakah yang mampu kita dustakan?~

~Sungguh, pada alam itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi mereka yang ingin berfikir~


Untuk mengikuti entri dengan lebih lanjut, anda dinasihatkan untuk memainkan video di bawah.



Nikmat Manakah Yang Kamu Dustakan?

Tatkala jerebu melanda seluruh negara, walau satu titik hujan yang turun menjadi nikmat tidak terhingga yang ditunggu-tunggu sekalian makhluk di bumi daripada Penciptanya.

Selama ini kita meredah hujan dan terik panas matahari tanpa ada perasaan atau mungkin ada yang melaluinya dengan cercaan kerana menjangkakan cuaca kegemaran.

Kehidupan ini penuh dengan nikmat. Nikmat yang tidak mampu kita dustakan dengan hati, mata, sentuhan dan deria rasa serta pendengaran.

Mempunyai rasa keimanan kepada Tuhan Pencipta sekalian alam adalah satu nikmat yang tidak dapat disangsikan. Benarlah firman Allah dalam Surah Ar-Ra'd, (13: 28):

"(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram."

Mempunyai hati tenang dan tenteram adalah satu nikmat yang tidak mampu didapatkan dengan mudah, melainkan hati itu kembali kepada Penciptanya. Iaitu kepada Pencipta rasa tenteram.

Nikmat dalam kehidupan ini terlalu banyak.


Bagaimana Menambah Nikmat Ilahi?

Ingin menambah nikmat? Nikmat hanya akan bertambah apabila kita memanjatkan pujian kepada Allah terhadap tiap apa yang dikurniakan oleh-Nya kepada kita.

"Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (dengan syukur)."
(Ad-Dhuha; 93:11)

Tiap titis hujan yang jatuh ke bumi, mari kita ucapkan Alhamdulillah. Tiap terik sinar matahari, Alhamdulillah atas manfaat kepada setiap kehidupan di atas muka bumi ini.

Tiap tumbuh-tumbuhan yang membuahkan buah-buahan ada nikmat yang tidak mampu kita dustakan.

Tiap siang yang bersilih ganti dengan malam adalah nikmat yang tidak mampu kita dustakan.

Nikmat-Nya inifiniti, Maha Suci Allah.

"Dan ingatlah tatkala Tuhanmu mengingatkan, 'Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepada-mu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat."
(Ibrahim; 14:7)

Syukur Bukan Hanya Pada Yang Baru Kita Dapatkan

Syukur dengan apa kita punyai ketika ini.
Syukur dengan anggota tubuh yang kita punyai ketika ini.
Syukur dengan rupa paras kita yang boleh kita perelokkan dengan mencantikkan peribadi kita.
Syukur dengan kurniaan ahli keluarga kepada kita.
Syukur paling besar dengan nikmat Iman dan Islam yang Allah beri kepada kita.

Syukur bukan hanya bila kita dapat benda baru dalam hidup sehingga kita lupa bahawa yang ada pada kita ini sudah terlalu banyak nikmat yang tidak mampu kita kira semenjak dari kita dicipta menjadi hamba-Nya.

Maha Suci Allah.

Ia adalah peringatan bersama buat diri saya sendiri yang selalu alpa.

Maha Suci Allah yang masih beri keupayaan menggerakkan hati dan jari jemari untuk sama-sama mengajak diri merenung dan memuhasabah diri mensyukuri nikmat Allah yang infiniti.

Maha Suci Allah.

Sekadar renungan hari ini, mari kita tanyakan kepada hati:
Sungguh, nikmat manakah yang mampu kamu dustakan?

Rasulullah s.a.w bersabda kepada Mu'adz:

"Demi Allah aku mencintaimu, maka jangan lupa engkau ucapkan setiap kali selesai solat:
"Ya Allah, berikan pertolongan pada hamba-Mu ini untuk selalu mengingat, mensyukuri dan memperbaiki ibadat kepada-Mu."
(Hadith Riwayat Ahmad & Tirmidzi)

-kredit kepada zawj atas peringatan untuk sentiasa mengucapkan syukur kepada-Nya-


~Bila hati menghadap Tuhan, baru ku sedar ada kelemahan. Terasa kerdil berbanding Yang Esa. Terharu, terfikir betapa Agungnya Tuhan  -Saujana : Nur Malam.~


 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino