::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Jul 23, 2013

Ceritera Maaf: Takkan Pernah Ada Kita Yang Sempurna


~Takkan pernah ada kita yang sempurna di dunia, maafkan dan memohon kemaafan serta teruskan kehidupan yang sementara ini untuk menjadi hamba yang terbaik di sisi-Nya. Semoga kekhilafan lalu menjadikan kita lebih celik melihat hikmah dari-Nya~


~Kehidupan sentiasa bermula dengan sangka baik kepada Tuhan agar kita terus melihat hikmah walau di mana kita berada~
Ceritera: 
5 Ramadhan.

Satu mesej masuk tertera di telefon bimbit seorang gadis yang sedang menghayati makna-makna surat dari Tuhannya. Selesai bacaannya, Hasna menekan butang kekunci.
Mesej dari rakan seperjuangannya, Aini, semasa di kelas Sarjana Ijazah Muda dahulu dibacanya.

'Hasna, Ramadhan ini, sahabat-sahabat sekelas A-Level ajak kita iftar sama-sama. Reunion jom!'

Waktu di kelas A-level memang tidak lama. Tetapi memori di sana memberikan kenangan yang terkesan.

Hasna teringat kekhilafannya ketika di sana.

'Maaf, sahabatku. Mungkin tak dapat hadir.' Hasna membalas. Bacaannya diteruskan. Semoga Allah memberkati setiap tingkah lakunya untuk menjaga setiap hati-hati yang hadir nanti.


12 Ramadhan

Aini menghirup udara segar dan kemudian duduk di sisi Hasna. Peluh-peluh kesan berjoging sebentar tadi menitik dari dahi dan badan mereka.

Keduanya memerhatikan keindahan  panorama alam yang indah, matahari masih malu-malu menyerlah di balik awan, air tanpa ombak di taman Wetland, Putrajaya benar-benar menyebabkan keduanya tidak habis memuji-muji kebesaran-Nya.

"Tak nak pergi iftar reunion minggu depan?" Aini memecah keheningan.

Hasna hanya menggelengkan kepalanya.

"Kenapa? Sebab Thalhah?" Aini menantikan jawapan dari sahabatnya. Mereka rapat. Berkenalan semenjak di bangku sekolah sehingga sama-sama menuntut ilmu di Edinburgh.

Lama Hasna mendiamkan diri.

"Cukuplah hanya ingin menjaga hati."

Aini sedikit terkejut.

"Eh, ada hati ke sakit hati? Kata dulu dah maafkan dia. Lupakanlah cerita lama." Pujuk Aini.

"Aini, manusia ni jika dia dapat Alzheimer atau penyakit nyayuk baru boleh lupa tau." Kata Hasna sedikit berseloroh.

"Em, betul juga. Jadi apa isu utamanya?" Tanya Aini lagi.

"Maafkan tak semestinya lupa. Pernah dengar tak tentang kisah Wahsyi Ibn Harb?" Hasna bertanya.

Aini hanya mencebikkan bibirnya.

"Wahsyi adalah hamba Jubair yang ditugaskan membunuh Saidina Hamzah. Jadi, apabila Wahsyi memeluk Islam, Rasulullah enggan melihat wajah Wahsyi."

"Kenapa? Rasulullah tak maafkan dia ke?"

"Rasulullah maafkan Wahsyi cuma dia minta Wahsyi berada jauh darinya sebab apabila terlihat wajah Wahsyi, baginda akan terkenang Saidina Hamzah."

"Tapi Hasna boleh usaha lupakan? Semua manusia pernah buat salahkan." Aini mengggenggam tangan Hasna.

"InsyaAllah, usaha itu ada. Tapi biarlah kita teruskan kehidupan kita masing-masing. Kekhilafan lalu terlalu pekat. Betul, semua orang tidak maksum cuma rasa yang paling pahit itu untuk hilangnya dari deria rasa ambil masa yang lebih lama. Harap Aini faham."

Aini mengangguk.

"Jom!" Hasna bangkit dari tempat duduk di tepi tasik itu. Mentari semakin terik. Hanya awan komulonimbus yang memayungi mereka.

Aini melihat Hasna berlalu. Ada ibrah yang didapati hari ini untuknya. Ibunya juga begitu. Sudah lama berpisah dengan ayah. Walaupun, ibu benarkan mereka adik beradik berjumpa ayah, ibu masih enggan berhadapan dengan ayah sehingga ke hari ini.

Benar, apa yang sering dikatakan pepatah moden: ' jangan sekali-kali mengetuk paku ke dinding hati kerana walaupun ia telah dicat dan dibaiki, bekas ketukan masih tetap ada.'

Benar, memaafkan itu lebih mulia. Semoga Allah menjadikan kita orang-orang kuat kesabaran dan keimanannya.  Semoga kekhilafan lalu menjadikan kita lebih celik melihat hikmah dari-Nya.

"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu, Allah menyediakan Syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa. Yaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya baik di lapang atau sempit dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain, Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan."
(Sural Ali-Imran: 133-134) 

Semoga Allah menerima amalan kita semua yang mengharap keredhaan-Nya.

~Kehidupan ini sentiasa dimulakan dengan sangka baik kepada Tuhan agar kita mampu melihat hikmah dari-Nya menerusi mata hati walau di mana kita berada~

Jul 18, 2013

Ramadhan: Merancanglah!


~Ramadhan; aku mengumpul kembali kekuatan diri, membersihkan karat-karat di hati. Wahai Allah, berilah kami kekuatan untuk terus istiqamah di jalan-Mu~. 

~Ramadhan: If you fail to plan, you plan to fail~


Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda:
"Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu rahmat dan tertutuplah pintu-pintu neraka serta terbelenggulah syaitan-syaitan (daripada merasuk mangsanya)."
(Hadith Riwayat Muslim)  

Cerita Ramadhan 1: 

"Apa matlamat atau misi dan visi kamu pada bulan Ramadhan ini?", tanya Cikgu Tipah.

Kelas yang hingar-bingar sunyi seketika.

Ada juga para pelajar yang ingin menjawab tapi apabila dilihat Cikgu Tipah, hanya gerak-gerak bibir tanpa suara yang berkata.

"Tahukah kamu bulan Ramadhan ini ibarat durian runtuh? Bulan Ramadhan ini Allah melipatgandakan pahala. Sesiapa yang berjaya keluar dari bulan ini dengan bekal taqwa, mereka itulah orang-orang yang beruntung."

Semua terdiam. Teliti dalam mendengar di pagi hari kedua Ramadhan itu.

"Baiklah, semua keluarkan kertas. Kita akan rangka sama-sama target Ramadhan kita." ujar Cikgu Tipah memecah keheningan.


Ramadhan: Adakah Kita Merancang?

Semenjak kecil, ramai antara kita sudah punya cita-cita atau matlamat untuk 20 tahun akan datang.

'Saya nak jadi peguam.'

'Saya bercita-cita jadi doktor.'

Dan macam-macam lagi cita-cita kita untuk berapa tahun akan datang.

Kita merancang untuk satu kehidupan yang kita sendiri tidak tahu akan sempatkah kita bertemu dengannya.

Namun, adakah kita sudah merancang apabila bulan penuh rahmat dan keberkahan ini telah datang ke dalam hidup kita?

Saya sendiri merasa sedikit kesal dengan diri kerana tidak memanfaatkan bulan-bulan sebelumnya untuk menyambut tetamu Allah ini.

Kini, Ramadhan sudah bertamu, apakah kita menyambutnya dengan gembira?
Apa yang kita rancang untuk meraikannya?
Apakah rancangan kita di sepanjang bulan ini agar kita mendapat keampunan MaghfirahNya, agar kita menjadi hamba-hamba yang menerima limpahan rahmat-Nya?

Renungan untuk kita terutamanya buat diri saya sendiri:
Rebutlah Ramadhan seolah-olah kita tidak akan berjumpanya lagi selepas ini.
Mereka yang gagal merancang, ia merancang untuk gagal - moga kita menjadi antara hamba-hamba-Nya yang keluar dari madrasah Ramadhan ini sebagai orang-orang yang berjaya (muflihun)..

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda:
"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu. "
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)

Sudah Merancang?

~Semoga Allah meneguhkan hati-hati kita~

Bagi mereka yang sudah melakukan persediaan beberapa bulan sebelum Ramadhan, tahniah. Mabruk alaik wahai sahabat!

Bagi yang sudah merancang, ayuh sama-sama kita mujahadah!

Bermujahadah melaksanakan matlamat dan perancangan menyuburkan keimanan dan ketaqwaan.
Semoga Allah memberi kekuatan dan memudahkan segala urusan.

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah wasilah (jalan) untuk mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah (berjuanglah) di jalan-Nya, agar kamu beruntung."
(Al-Ma'idah; 5:35)

Moga Allah memperteguhkan langkah kita.
Ramadhan; tanda kasih Allah kepada kita. Mari hargai kehadirannya.

~Mengintrospeksi di minggu kedua Ramadhan ini; ah, berapa banyak sudah masa kita bazirkan begitu saja? Wahai Allah, ampunilah kami yang lalai dan alpa.~


Jul 9, 2013

Baitul Muslim: Tatkala Ruh-Ruh Kita Bertemu


~Tika dua detik pertemuan itu, mungkin roh-roh kita sudah pun tahu ia pernah bertemu~

~Semoga baitul muslim ini menjadi platform meraih cinta Ilahi~


Ketika taman ditumbuhi pepohon cinta, sinaran keredhaan-Nya menjadi prioriti  dan limpahan hujan rahmat-Nya sentiasa dinanti bagi menumbuh suburkan pepohon cinta yang harumnya menusuk hati menenang jiwa. Moga taman ini menjadi salah satu taman-taman Syurga.

Saat taaruf sebelum pernikahan, tidak banyak perkara yang mendalam diketahui. Cukup mengetahui yang penting agar tertarik hati untuk dinikahi.

Alhamdulillah, sudah lebih sepurnama berlayar berdua. Melalui samudera kehidupan saat masih lagi dalam awal fasa perkenalan.

Senario 
1)
“Beli kurma apa?” Sang suami bertanya menerusi panggilan telefon. Hidup berdua berjauhan hanya berkesampaian rindu melalui panggilan.
“Kurma Mariami.” Jawab isteri. Ringkas.
“Eh, sama."

2)
“Suka simpan barang lama. Sayang nak buang.” Sang isteri bercerita.
“Kenapa?” Suami bertanya.
“Ada sentimental value.”
“Eh, ikut sapa ni?” Tanya suami kehairanan. Sama pula kegemarannya.
“Taklah, Allah memang takdirkan kita ada persamaan.” Senyum isteri menampakkan  hampir kesemua gigi. “Mungkin kerana ruh-ruh kita pernah bertemu suatu ketika dulu.” Sambung isteri lagi.

Dua Detik Nazhar

Komentar Salim A. Fillah - bermula dari nazhar iaitu melihat pasangan sebelum pernikahan untuk menguatkan hati sangat diperlukan. Ketika dua detik pertama ketika nazhar itu, keputusan dipertimbangkan.

“Dua detik itu sangat menentukan . Mungkin kerana dalam dua detik itulah ruh saling mengenal.”
(Salim A. Fillah, 2012)

“Ruh-ruh itu ibarat perajurit-perajurit yang dibaris-bariskan. Yang saling mengenal antara mereka pasti akan saling melembut dan menyatu. Yang tidak saling mengenal di antara mereka pasti akan saling berbeda dan berpisah.”
(Hadith Riwayat Bukhari  dan Muslim)

~Semoga ruh-ruh yang bertemu dalam baitul Muslim mahupun medan perjuangan lainnya sentiasa menyatu dalam berkah-Nya dan redha-Nya~

Rujukan:
Salim A. Fillah, Jalan Cinta Para Pejuang




 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino