::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Oct 31, 2009

Peperiksaan Hujung Semester



Semester pertama tahun 4 sudah hampir sampai ke penghujungnya. Posting management di Temerloh selama 4 minggu dan posting di ICU seminggu sebelumnya sudah selesai. Banyak pengalaman dan ilmu baru yang didapati. Terima kasih pada semua staf ICU dan staf wad surgical male HOSHAS yang memberi banyak tunjuk ajar dan kepercayaan kepada kami.

Buat sahabat-sahabat surgical team (Hidayah, Kak Lin Baby, Khamisah, Kak Marlina, Sakinah, Alia, Amalina, Kak Amria, Syazana, Jadulhaq dan Hasan) aka housemates di Temerloh (except Hasan dan Jadul), being with you all, make such a great team, thank you so much!

Apapun, tentunya penghujung semester ini kami akan diuji...dengan peperiksaan.

3 Nov (Tues) Issues in Nursing
4 Nov (Wed) Health Economics
7 Nov (Sat) Nursing Management in Hospitals and Health Clinics
9 Nov (Mon) Oncology Nursing
11 Nov (Wed) Research Methodologies in Nursing
13 Nov (Fri)
Critical Care Nursing

Alhamdulillah atas CAM (carry marks) Critical Care Nursing dan Issues in Nursing yang telah dilihat pada notis semalam. Terima kasih pada semua tenaga pengajar. Tahniah, buat sahabat-sahabat sekelas. Rata-ratanya semua mendapat A hingga B+, dan tidak ada yang kurang dari itu. Semoga Allah memberkati usaha kita semua.

Saya juga masih ingin menghabiskan baki research proposal berkenaan Child and Adolescent Mental Health. InsyaAllah, moga siap sebelum esok hari.

Pada teman-teman semua yang bakal menghadapi atau sedang menghadapi peperiksaan, selamat menghadapi peperiksaan!; bittaufiq wannajah fil imtihan!; good luck!; viel gluck!




Oct 29, 2009

Bahagia Itu Cukup Bagiku


Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaku dan masuklah ke dalam syurgaMu. ~
(89; 27-30)




Bahagia itu singgah di hati
tatkala kau tatap senyum sahabatmu

Bahagia itu dirasai
tatkala kau dirikan jambatan kebaikan pada orang-orang di sekelilingmu

Bahagia itu terkesan
tatkala mereka gembira atas nasihat agamamu
bawa cahaya yang dikongsi
membias pelangi pada hati-hati yang lain

Bahagia itu
bila obor dinyala
digenggam di tangan
di sebuah terowong gelap penuh penghuni
bahagianya bila cahaya itu dikongsi

Bahagia itu
bila titian kasih dan cinta terbina
dari menanti rapuh dan roboh
ku tampung cinta mereka selagi daya

Bahagia itu
terlalu subjektif
sukar diukur dan ditimbang
hanya neraca hati bisa membaca
mengimbas rasa

Bahagia itu cukup bagiku
bila Satu Cinta tetap di hati
Satu Cinta dicari kutemui

Sungguh
biar kutatap senyuman
jambat kebaikan dalam binaan
titian cinta kasih terus ampuh
dan masih ku di sini
lihat hari bahagia mereka dari jauh
bahagia itu cukup bagiku...


~~Engkau Satu Cinta yang selamanya aku cari... tiada waktu kutinggalkan demi cintaku kepadaMu...Walau seribu rintangan yang menghadang dalam diri, ku teguhkan hati ini hanya padaMu kupasrahkan....~

Oct 27, 2009

Resepi Perubahan



Kita adalah agen perubahan. Agen untuk menjadikan bumi Allah diselaputi keselamatan dan kesejahteraan.

Lalu, bagaimana untuk berubah dan melakukan perubahan bagi mencapai keredhaan Allah?

Langkah-langkahnya:

Pertama: Jiwa bersih + Aqidah yang benar = Iman yang sempurna

Kedua: Kesatuan hati + Cinta dan kasih sayang = Ukhwah yang mantap

Ketiga: Ikhlas = Rela berkorban

Kemudian, campurkan semua ramuan ini hingga sebati.
Moga, resepi perubahan dan anjakan paradigma kita akan berhasil bagi menggapai keredhaan-Nya.

Selamat mencuba!


-Doa rabithah-
~Ya Allah, Engkau telah mengetahui hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi perintahMu, bersatu memikul beban dakwahMu. Hati-hati ini telah memikul janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu. Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya. Kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini. Tunjukkanlah kepada hati-hati ini akan jalannya yang sebenar.
Penuhilah hati-hati ini dengan cahaya-Mu yang tidak akan pudar, lapangkanlah dada kami dengan limpahan iman terhadap-Mu, juga dengan tawakkal
kepada-Mu.
Jika Engkau mentakdirkan mati, maka matikanlah pemilik-pemilik hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan-Mu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan
sebaik-baik penolong, Ya Allah. Perkenankanlah permintaan ini. Ameen ya rabbal 'alamin...~

Oct 26, 2009

Kembara Ilmu Kerana Allah?


~Apabila sesuatu perkara dilakukan kerana dunia, maka ia hanya bersifat tidak kekal dan sementara dan apabila sesuatu dilakukan kerana Allah, maka ia akan bersifat teguh dan ampuh.~


Persoalan

Seringkali apabila saya ke ceramah-ceramah mahupun ke kuliah agama dulu, selalu saja diberitahukan bahawa menjadi seorang pelajar Muslim, kita kena belajar kerana Allah. Alhamdulillah, di situ pendengar diberi kesedaran bahawa belajar tu kena diniatkan kerana Allah.

Namun, apa yang berlegar di fikiran seorang yang dulunya jahil seperti saya adalah:

"Macammana nak belajar kerana Allah? Cukup ke dengan hanya niat 'aku nak belajar kerana Allah' setiap kali berdepan dengan buku atau ke kuliah walhal sebenarnya diri dan hati nak belajar sebab nak dapat A, lulus periksa atau dapat jadi pelajar cemerlang untuk kepuasan diri saja. Atau sebenarnya belajar sebab nak dapat kerja yang bagus, gaji yang besar dan kehidupan yang selesa bila dah kerja."

"Ke kena baca bismillah dulu sebelum buka buku? Macam tu ke?"

Soalan-soalan itu tidak pernah diluah. Hanya berlegar-legar di kotak fikiran.

Banyak orang tidak memberitahu mekanisme sebenar ataupun 'the exact pathway' pada kejayaan hakiki ini. Ibarat meminta seseorang ke suatu tempat tapi tidak menunjukkan jalan mahupun memberi peta bersama. Lama-lama bila tak jumpa tempat dituju, si polan yang sudah sesat itu berputus asa atas permintaan rakannya.

Hidup saya dahulu sebagai seorang pelajar, boleh dikatakan banyak sangat penyakit menuntut ilmu; study last minute, belajar sambil lewa dan tak bersungguh-sungguh langsung. Bahkan dalam peperiksaan besar seperti SPM juga, saya baru merangkak-rangkak membuka buku 2 bulan sebelum exam bermula. Sebelum itu, saya menyibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti sekolah yang lain, dalam kelas pun tidur, homework saya pun jarang yang siap. Aktiviti-aktiviti kokurrikulum selalu dijadikan lesen untuk meloloskan diri dari kehadiran dalam kelas. Alasannya; training. Berjaga malam untuk baca buku jauh sekali.

Ibulah manusia yang paling risau dengan saya bila menjelang PMR dan SPM.
'Nadiah boleh buat ke ni?" Tanya ibu.
Tapi anaknya ini tidak pernah risau sampailah hari peperiksaan semakin menghampiri. Tercungap-cungap menghela nafas mengejar hari yang berbaki. Belum lemas saja lagi.

Waktu itu, masih kabur dengan matlamat. Sehinggalah tiba ke alam matrikulasi.

Kadang-kadang bila Allah bagi kelebihan, kita ambil kesempatan atas apa yang Allah kurniakan. Tak selami pun hikmah yang tersembunyi. Pandai bukan untuk tunjuk diri hebat, bukan juga bermalas-malas atau ambil kesempatan berjoli sakan tatkala orang lain sibuk menelaah pelajaran. Segala kekurangan dan kelebihan adalah untuk disyukuri dan dihargai. Kelebihan itu perlu dimanfaatkan atas jalan Allah.

Dahulu, apa yang saya fikir adalah saya tak suka kepada persaingan. Saya tak suka berlumba-lumba dengan orang lain untuk dapat bagus. Rasa lelah kalau berbuat begitu. Jadi, saya hanya belajar ikut sesedap rasa. Yang penting bahagia. Namun, apa yang saya buat bukan juga kerana Allah.

Lalu, bagaimana untuk belajar kerana Allah? Akhirnya, saya jumpa peta jawapan itu apabila diberi penjelasan dan kefahaman di suatu seminar yang dianjurkan.

Jawapan

Ini perkongsian dari apa yang saya faham. Sukar juga untuk diterangkan tapi saya cuba. Boleh tambah perisa dan rencah jika ada kurang rasanya.

Belajar kerana Allah ialah apabila kita sedar bahawa setiap apa yang kita lakukan hanya kerana Dia.

Kita diciptakan sebagai hamba dan juga Khalifah di bumi Allah. Sebagai Khalifah, kita memikul tanggungjawab dalam memakmurkan bumi ini. Iaitu dengan menyebarkan kesejahteraan dan keselamatan yang telah digariskan agama yang luhur budi pekerti; Islam.

Mengapa Allah mahu kita menjadi seorang yang berilmu? Dan mengapa dikatakan bahawa dengan ilmu itu, tinggilah darjatnya?

Ini kerana, dengan ilmu kita mampu membantu ummah. Dengan ilmu dan kepakaran kita juga, kita seolah-olah mendapat kelebihan dan mandat untuk mengajak orang lain kepada kebaikan. Dengan kepakaran ilmu, kita dapat mengembalikan ilmu yang telah disekularkan menjadi ilmu yang benar-benar tulus dan suci dari Tuhan.

Selalu juga kita alami bila pergi ke tempat-tempat tertentu, kita tak jumpa bangunan yang cukup lengkap prasarana dan kemudahan untuk Muslim. Surau jika ada pun terlalu sempit. Kemudahan untuk saudara yang kurang upaya juga tiada. Ada juga kes bangunan-bangunan yang mudah retak, tidak kukuh dan sebagainya. Ia lahir daripada kurangnya sifat amanah pembina dan pemaju. Kita tak nampak ia satu amal kebaikan untuk ummah bila kita buat sesuatu untuk kepentingan diri sendiri. Hanya nampak keuntungan dan kepuasan diri untuk dunia.

Alangkah indahnya jika semuanya itu bersandarkan kerana Allah dan untuk Allah. Jika seorang Jurutera Muslim mempunyai kepakaran dan ilmu membuat bangunan, dan ia dibuat kerana Allah dan untuk Allah, tentu dia mengambil jalan ini untuk berbuat pahala dan mendatangkan kebaikan kepada siapa saja.

Banyaknya kelebihan menuntut ilmu dan pakar dalam ilmu.

Namun, harus diingat bahawa ia bukan wasilah (jalan) untuk jadikan diri kita megah atau hebat. Kita hanya khalifah. Kita perlu memakmurkan bumi ini dengan ilmu Allah. Ilmu adalah wasilah yang sangat berkesan untuk menegakkan Islam di bumi Allah.

Semuanya hanya kerana Dia. Semuanya hanya kerana memenuhi permintaan Sang Kekasih yang mahukan kesejahteraan meliputi segenap maya. Jadi, kitalah agennya.

Saya juga masih dalam proses membaiki diri. Masih bermujahadah membaiki diri dan hati yang sudah sebati dengan penyakit menuntut ilmu ini. Mungkin masih dalam proses rehabilitasi. Moga penyakit yang beransur pergi akan terus meninggalkan diri dan hati.

~Jom, sama-sama bermujahadah!~

Oct 25, 2009

Alam Juga Ubat Penenang


Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat(nya), orang-orang yang miskin, orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahwa Allah mengampunimu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(An-Nuur; 24: 22)

Lailahaillaillah
Tidak akan adanya dunia ini
Tidak akan kita ada di sini
Jika tidak kerana Allah
Yang Maha Kuasa

Dia Tuhan Yang Maha Esa
Tidak ada yang serupa denganNya
Ia wujud dengan sendiriNya
Tanpa memerlukan sesiapa

Sesungguhnya Allah Yang Maha Pengasih
Sesungguhnya Allah Yang Maha Pengampun
Sesungguhnya Allah Yang Maha Pemurah
Sesungguhnya Allah Yang Maha Penyayang

Lailahailallah
Kau yang jadikan siang dan malam
Kau hiasi dengan dengan suria, bulan dan bintang
Kau turunkan hujan, rezki, laut dan hutan
NikmatMu tak terkira
Tak terkira

Aku insan yang amat lemah
Aku hamba yang pelupa
Kita asal dari Allah
Dan kan kembali padaNya

video

Lagu nasyid ini saya kenal waktu di sekolah menengah dulu. Berkumandang melalui corong-corong radio bermula waktu pagi di hujung minggu sama ada dibuka oleh kakak-kakak naqibah mahupun dibuka melalui sistem speaker sekolah oleh pelajar lelaki.

Saya masih rindukan saat itu.

Nasyid ini memberitahu betapa agungNya Allah, kuasaNya Dia mencipta kita, dan kerdilnya kita sebagai hamba melalui penghayatan terhadap penciptaan alam semesta. Sesuai dengan kehidupan sekolah ketika itu yang lokasinya di dalam kampung, dikelilingi belukar dan pohon-pohon yang tumbuh segar.


Kini, saya bersyukur tinggal di UIA Kuantan. Masih dikelilingi alam semulajadi. Jika saya rasa tertekan sama ada disebabkan oleh kerja, exam dan sebagainya, tasik di depan mahallah (kolej kediaman) kamilah tempat saya menghabiskan sisa petang yang masih berbaki untuk diri.

Di situlah saya cuba melapangkan dada yang sempit. Apabila melihat langit seolah-olah keluar segala yang bercelaru di fikiran. Melihat burung-burung yang bermain dan berkicau di pepohonan, saya rasa bahagia. Ya, alam itu kekuasaan Tuhan. Sebagai petunjuk bagi mereka yang mahu berfikir.

Saya rasa tenang. Ia terus menyusup ke jiwa.

Adakalanya diri perlu di 'recharge' kembali. Bagi saya, ini adalah salah satu cara yang dapat me'recharge' diri saya. Saat itu juga saya rasa seolah-olah saya dekat dengan Dia. Saya dapat berfikir kembali dengan sewarasnya.

Sewaktu praktikal, saya sukar mendapat peluang itu. Ramai rakan-rakan juga balik ke rumah dengan harapan dapat mengurangkan stress. Saya juga semalam, sambil menunggu abah ke parkir kereta, sempat duduk di bawah pohon rendang berdekatan. Sekejap pun jadilah. Jika dalam perjalanan jauh juga, ambil kesempatan melihat alam yang sangat indah ciptaanNya.

Segala-galanya kembali kepada Allah. Dan hanya dengan mengingati Dia, jiwa hamba akan rasa ketenangannya.

~Saya insan yang amat lemah. Perlu kepada penambahbaikkan diri setiap waktu. Andai ada khilaf, maafkan saya.~

Oct 23, 2009

Hubungan Perlu Sempadan


Prevention is better than cure.
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
Dah terhantuk baru nak terngadah.
Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.

~Pepatah orang lama serta Inggeris juga dah beritahu kita lam
a. Dah berpesan dengan kita. Allah juga dah berfirman minta kita selalu jaga hati dan diri kita. Cuma kita saja yang sering lupa.~


Sunnatullahnya Allah jadikan setiap makhluk di dunia ini harus mengikut peraturan. Tiada yang boleh dibuat sesuka hati. Setiap perkara itu ada had dan batas yang telah ditetapkan. Namun, tetap diberikan kita pilihan dan alternatif agar tidak memilih sempadan batasan yang telah digariskan.

Sebab apa? Sebab Allah tahu apa yang terbaik untuk hamba ciptaanNya.

Fitrah manusia itu hidup tidak bersendirian. Perlu pada masyarakat. Kita perlu meneruskan kelangsungan hidup. Perlu beraktiviti, menuntut ilmu, bekerja dan mengajak orang pada kebaikan. Namun, semuanya ada batasan. Agar fitrah yang suci tidak bertukar menjadi fitnah.

Seorang pekerja perlu berhubung dengan rakan sekerja bagi menyelesaikan tugasannya. Seorang daie perlu mengajak orang lain tidak mengira siapa untuk diajak kepada kebaikan, supaya cahaya yang didapatinya boleh dikongsikan bersama dengan yang lain. Seorang pelajar juga perlu berhubung dengan rakan sekelasnya apabila perlu menyiapkan tugasan berkumpulan. Semua ini perlukan batasan apabila berhubungan dengan yang berlainan jantina.

Kadang-kadang bila pemandu kereta sudah biasa membawa kereta di jalan raya, sedar tidak sedar membawa keretanya melebihi had laju yang dibenarkan di lebuh raya. Atau mungkin mahu lebih cepat sampai ke destinasi, kereta dibawa macam nak bawa kapal terbang atau helikopter. Bukankah dah kata had laju yang dibenarkan itu hanya sekadarnya? Tentu ada rasional di sebalik nombor yang tertera. Jika tidak beringat, tentu ditangkap oleh speed trap atau pun berubah menjadi punca kemalangan jiwa.

Letakkan hubungan itu bersama sempadan. Sempadan yang harus selalu ditengok-tengokkan. Agar sempadan yang ketat tidak menjadi longgar. Agar anasir-anasir yang tidak diingini tidak menyusup masuk ke hati. Kita sering memandang remeh pada hubungan. Menghalalkan sesuatu dengan alasan. Alih-alih sebenarnya virus-virus sudah menyerang masuk ke hati.

Hubungan dengan sempadan yang tiada kawalan mengundang berbagai musibah. Awas, musuh-musuh sering menanti peluang. Merosakkan sistem hati yang kurang 'alert'nya pada diri.
Akibatnya, yang dah berkeluarga berantakan. Hubungan si isteri dan suami yang masing-masing tidak menjaga sempadan diri disebabkan kurangnya kawalan sistem hati yang susah nak kesan virus yang sudah merosakkan sistem pertahanan badan. Juga ada kes sehingga sanggup bunuh tunang sendiri akibat cemburu melihatkan sempadan hubungan tunang yang sudah rapuh menanti patah.

Da'wah, kerjaya, persahabatan dan apa-apa saja perhubungan antara berlainan jantina harus sentiasa dalam pemerhatian.

Sistem hati perlu terus memantau sempadan kawalan diri agar yang fitrah tidak menjadi fitnah...
~Moga diri menjadi seperti pohon semalu yang tetap kuat mencengkam bumi, terkuncup malu bila disentuh, berduri mempertahankan diri dan kuncup sendiri bila senja menjelang. Ya Allah, tetapkanlah hati-hati kami di jalan-Mu.~

Oct 17, 2009

Mencari Cinta Dalam Lelah




Suatu hari, seorang pemuda yang miskin diutus oleh ibunya untuk berlayar bersama bapa saudaranya yang merupakan seorang saudagar pelayaran. Ramai yang turut menumpang bapa saudaranya itu untuk ke destinasi mereka. Namun, dia mendapati ada yang tidak enak berlaku di sekitarnya, ada saja laporan kehilangan barang-barang mereka.

"Pakcik, apa yang pakcik buat tu?" soal si pemuda kepada pakciknya ketika melihat dia menyelongkar barang-barang penumpangnya tadi.

"Eh, pakcik ambil sikit je. Lagipun, kita bukan minta bayaran pun kat dia yang kita tumpangkan ni. Yang penting kamu janganlah tiru pakcik ye. Mereka ni kaya-kaya, bukan orang susah pun. " Bapa saudaranya memberi alasan. Ingin saja si pemuda itu menegur kelakuan pakciknya itu, tetapi teringat pesanan ibunya dulu:

"Nanti, bila dah kita ni menumpang tempat orang, banyakkan sabar. Jangan cari fasal. Yang penting, apa yang tidak baik, kita buat jadi sempadan. Ingat, kita ni miskin. Menumpang pula tu. Kena buat cara menumpang."

Pemuda itu termenung sendiri di hujung dek kapal itu. Rasa ingin saja dia menegur, tapi siapakah dia.
Ingin juga dia lari saja dari sini, namun, ke manakah dia mahu pergi.
Seperti tak mampu untuk mengubah apa-apa yang mungkar di depan mata.
Lemah, tak berdaya.

Dia menadah tangan ke langit. 'Ya Allah, tolonglah aku...'



Ya Allah,
HambaMu ini rasa lelah.
Lemah diri untuk menongkah,
Patutkah ku turutkan arus deras ini.

Bagai dihempas ombak keras,
Tuhan, kucari tempat untuk berpaut,
Tak mahu terus hanyut
Menurut sesak manusia ke gemerlap kaca dunia.

Tuhan, aku ingin bernafas dalam cintaMu,
Dalam diri yang semakin lelah
Tercungap-cungap menghela nafas cinta yang berbaki,
Tuhan, selamatkan aku.........

Oct 16, 2009

Ada Apa Dengan Kerjaya


~Cita-citaku, Islam cemerlang, cita-citaku daulahnya berulang... Cita-citaku Islam cemerlang, cita-citaku Islam tinggi menjulang...~
-NadaMurni-

Posting praktikal kali ini lain benar. Benar-benar menguji diri. Menguji akal, iman dan perasaan.
Praktikal kali ini tidak seperti praktikal sebelum-sebelumnya.

Kali ini, kami tahun 4 jurusan kejururawatan sedang berpraktikal 'nursing management'. Jika dahulu, praktikal kami mungkin lebih kepada 'assist' staff nurses. Kali ini, kami seolah-olah menjalani 3/4 dari 'internship' yang sebenar. Perlu kepada 'management patient holistically'. Kami dipertanggungjawabkan atas beberapa orang pesakit dan perlu memastikan semua prosedur dibuat dan pesakit kami dijaga dari seluruh aspek holistiknya; (Spiritual, Body and Mind). Semua prosedur rawatan perlu dijalankan. Jururawat bukan robot yang hanya mengikut suruhan 'other health care providers' dan pesakit juga bukan bahan simulasi atau eksperimen. Semua yang dilakukan perlukan rasional pemikiran. Setiap langkah yang dilakukan perlu hati-hati. Kerana natijahnya melibatkan nyawa yang dipertaruhkan tiada gantinya. Bukan hanya sesuka hati melakukan sesuatu tanpa 'assessment' dulu. Bukan senang-senang hati membuat sesuatu tanpa memikirkan yang kita rawat dan jaga ini adalah manusia, bukan hanya sekadar jasad untuk dirawat.

Kami juga belajar dan praktikal pengurusan wad, tentang bagaimana cara menjadi 'team leader' untuk wad, kemasukan dan discaj pesakit, dan tak lupa juga pengalaman kerja shif malam. Belum sampai giliran saya lagi untuk menguruskan hal kemasukan dan discaj pesakit serta kerja shif malam. Tentang shif malam, rata-ratanya respon negatif yang didengar tentang itu. Mungkin juga agaknya kerana masih tidak biasa lagi bekerja di waktu malam tatkala ramai manusia tidur lena. Entahlah, tiba masa giliran sendiri nanti, akan saya rasai.

Saya sukakan ilmu 'nursing' walaupun tidak pernah bermimpi untuk berkerjaya di hospital dulu (kerana saya dulu pening bau ubat). Banyak juga saya belajar tentang kehidupan bila saya berhenti singgah di transit hidup ini.

Dulu, jika fikir tentang kerjaya, apa yang penting saya mahu bahagia dengan kerjaya saya. Ya, waktu itu saya masih jahil. Tidak pernah terfikir untuk bekerja atas jalan dakwah dan kerana Allah. Waktu itu, masih samar-samar lagi dalam erti mencari tujuan sebenar kehidupan. Yang saya tahu waktu itu, saya hanya mahu bahagia dan keluarga saya bahagia. Jadi, cita-cita idaman saya juga dari kecil hingga remaja sering bertukar ganti. Dari penyanyi (walaupun suara tak sedap), pensyarah, ahli arkeologi, ahli kaji bumi, ahli biokimia, kaunselor dan lain-lain yang saya tak mampu ingat. Saya hanya mengikut arus lalu, kerana masih tidak tahu hala tuju. Ke pulau mana ombak memukul, ke situlah saya pergi meninggalkan jejak.



Kerjaya adalah wasilah dakwah. Dan kita bukan hamba kerjaya. Kita hamba Tuhan, hamba Allah. Kerjaya adalah jalan untuk menuju-Nya.

Matlamat adalah Allah. Bukannya pada kerjaya atau pada gelaran yang ada padanya, pada pangkat yang paling tinggi ada padanya. Semuanya harus berbalik dan kembali padaNya.

Saya juga akan membuat perkiraan sekali lagi. Tentang kerjaya. Harus berfikir serius tentangnya. (Resume juga perlu dihantar tidak lama lagi.) Saya tidak hidup hanya untuk diri saya. Saya ada Allah, ada ibu ayah, ummah dan juga 'baitul muslim' sendiri suatu hari nanti (andai ada jodoh di dunia ini, Insya Allah.)

Saya juga sedang mencari kelebihan yang ada untuk diterjemah menjadi amal bakti pada ummah dan menegakkan syiar Islam di bumi Allah.

~Carilah kepakaran kamu, agar kamu boleh membantu ummah dan membangun Islam bersama kamu.~

Oct 12, 2009

Ingatan Dia Pada Hamba



"Tak ada suatu negeri pun (yang durhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat atau kami azab (penduduknya) dengan azab yang keras. Yang demikian itu telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz)."
(Al-Israa'; 17:58)

~*17.58 adalah waktu susulan gempa yang terjadi di Padang setelah 17:16. Maha Suci Allah. Dialah Yang Maha Besar.~

Akhir-akhir ini, banyak sungguh kejadian bencana yang terjadi. Taufan Ketsana dan Parma di Filipina, banjir teruk di India, gempa di Sumatera. Ia bukan hanya sekadar pergerakan plat di bawah bumi yang seringkali bergerak beberapa 'sentimeter' sahaja, namun lebih pada peringatan Tuhan pada hamba-hamba yang sering lupa bahawa dunia ini adalah milik-Nya dan kepada-Nya kita akan dikembalikan.

Menurut kata pakar meteorologi, Datuk Dr. Azizan Abu Samah, pergerakan plat bumi sedalam satu kilometer ke dalam bumi boleh menyebabkan kelajuan ombak mencecah 360 kilometer sejam, kira-kira mengambil masa hanya satu jam saja untuk menenggelamkan Kuala Lumpur hingga ke Pulau Pinang. Wahai diri, betapa kerdilnya kita. Dalam sekelip mata, hilanglah kita dari direktori dunia. Tiada apa yang ada pada kita melainkan insan bertakwa di sisi-Nya.

Kita lupa pada Tuhan apabila meletakkan pergantungan bukan pada Dia. Kita letak pada manusia.

Kita lupa pada Dia apabila kita mengutamakan dunia dan seisinya lebih dari Tuhan Yang Sentiasa Memandang kita. Kita pandang pada yang lain selain dari-Nya.

Kita lupa meletakkan cinta yang pertama untuk-Nya biarpun seringkali dilafazkan dengan kata hanya untuk-Nya. Jasad menjadi saksi biarpun lidah ini menipu tingkah laku hati. Kerana cinta ciptaan perasaan yang bukan semata-mata untuk menegakkan syiar Allah itu akan selalu diuji.

Ingatlah diri, ingatlah padaNya. Usah sekali-kali palingkan pandanganmu dari-Nya.

~Wahai diri, sedarlah dikau bahawa dirimu hanya hamba!~

Oct 10, 2009

Tawakal Itu Indah


Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.
-Ayat Seribu Dinar- (At-Talaq: 2-3)

Bukankah sudah dijanjikanNya bahawa orang-orang yang bertakwa itu akan diberikan jalan keluar untuknya. Masih tidak percaya?

Tawakal kepada Allah itu amat manis dan indah rasanya apabila menjadi manusia yang berserah diri dan membulatkan hati pada Allah. Tawakallah setelah kita berusaha, kerana keputusan itu milik Allah dan usaha itu milik kita sebagai hamba.

Hati yang resah gelisah akan dikurniakan ketenangan dan kebahagiaan setelah membulatkan perkara ini kepadaNya. Setelah buntu mencari jalan keluar, berserah pada Allah, Tuhan Yang Maha Tahu. Akuilah kita sebagai hamba tidak mampu berfikir sejauh melihat masa hadapan, melihat mana satu jalan penyelesaian yang terbaik pada sebuah permasalahan di sisi kita yang tidak punya ilmu padanya. Ibarat sebuah kapal yang berlayar, bila tersesat jauh di lautan, hilang kompas dan peta di tangan, lihatlah bintang di langit sebagai penunjuk arah. Semuanya berbalik kepada Allah. Letakkan dahi separas kaki, pohon padaNya Yang Maha Mengerti dan Mengetahui segala isi hati.

Bila terlalu cuba memerah keringat, minda berfikir ligat hingga terbawa-bawa dibisik syaitan dan nafsu, kita harus sentiasa beringat. Kembali kepadaNya. Sentiasa berbicara denganNya. Dia sebenarnya merindukan rintihan hamba-hambaNya, mungkin itulah sebab kenapa kita ditimpakan masalah dalam kehidupan kita.

Em, sayangnya Dia pada kita.... Bukankah beruntung wahai diri apabila Pencipta alam semesta ini sentiasa ingin melihatmu. Sentiasa ingin dirimu berbicara denganNya. Bukankah Kau manusia istimewa yang terpilih menjadi hamba.

Jadilah hamba Allah. Bukan pada nafsu, bukan pada dunia dan seisinya. Tawakal kepada Allah bererti membuktikan penyerahan diri kita kepadaNya. Tawakal itu manis. Tawakal itu indah. Indah hidup bersama Allah, menjadi Muslim sejati hingga ke hujung nyawa. Hidup untuk Allah, mati jua untukNya.

"Dan apabila manusia ditimpa bahaya, dia berdo'a kepada kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah kami hilangkan bahaya itu darinya, dia kembali (ke jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdo'a kepada kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang yang yang melampaui batas apa yang mereka kerjakan."
(Yunus; 10: 12)



~Ya Allah, jadikanlah kami hamba yang sentiasa mengingatiMu dalam keadaan berdiri, duduk mahupun berbaring. Moga kami tidak termasuk golongan yang lalai atas apa yang telah Engkau perintahkan ke atas Kami dan bukan pula kami orang-orang yang melampaui batas.~

Oct 9, 2009

Redha Allah Pilihan Solehah





"Solehah, boleh Hajar bercakap dengan Solehah sekejap? Sibuk?" Hajar mengintai dari tirai pintu bilik rakannya.

"Boleh...Boleh... Masuklah." Solehah meletakkan penanda buku di tempat bacaan tadi sebelum menutupnya rapat. Mengemas buku-buku di tepinya untuk memberi Hajar ruang duduk di sebelahnya.

"Hajar nak sampaikan sesuatu. Rasanya setakat ni Solehahlah orang yang paling sesuai." Solehah hanya mendiamkan diri.

'Sesuai? Tentang apa?' Monolog Solehah sendiri.

Menanti butir-butir kata yang keluar dari mulut rakan sebiliknya. Wajahnya penuh tanda tanya.

"Kawan suami Hajar minta tolong suami Hajar carikan calon isteri untuknya melalui Hajar. Hajar tak nampak calon lain lagi selain Solehah." Ujar Hajar.
Menarik nafas di hujung kata-katanya. Merah padam muka Solehah. Serta merta terasa malu hingga menyebabkan mukanya terasa panas.

"Oh, orang mana?" Solehah cuba menutur kata.

"Tengah menuntut di Mesir. Tahun Akhir." Sambung Hajar lagi.

Solehah hanya diam membisu. Tidak tahu untuk berkata apa. Hanya kedengaran bunyi kipas menemani luahan hati yang tidak terluah.

"Solehah masih belum dipinangkan?" Hajar cuba meneka di balik kebisuan Solehah.

Lama Solehah mendiam diri.

"Belum."

Solehah melihat kembali dirinya selama ini. Mengenali lelaki yang hanya memberi setakat isyarat-isyarat cinta belum membuktikan apa-apa apatah lagi jika tidak pernah ditutur sendiri kepada tuan empunya hati mahupun walinya. Belum pun berkhitbah lagi. Biarpun hati sudah berkenan namun dipendam rapat. Takut-takut ia sekadar fatamorgana perasaan.

Dia melihat antara rakan-rakannya, ada yang hanya menunggu si jejaka biarpun tidak dilafazkan oleh lelaki yang memberi bunga-bunga harapan padanya. Lelaki yang sanggup menunggu untuk pulang dari kelas bersama. Hampir segala-galanya ingin dilakukan bersama. Bersungguh-sungguh si jejaka menunjukkan rasa cinta dan pengorbanannya. Namun, si jejaka tidak pernah mengucap kata-kata untuk menikahinya. Tup.. tup... Apabila berjauhan si jejaka sudah ada lain pasangan. Hampir sahaja mengatakan bahawa dia tidak pernah memberi apa-apa harapan. Tentu saja Solehah tidak mahu menjadi seperti itu.

Solehah tahu hanya dengan peraturan Allah sahaja cinta yang fitrahnya suci boleh dimurnikan dengan undang-undang mengurus fitrah. Agar ia terus kekal bersih dan suci. Sungguh senang untuk menutur kata ingin menjejak langkah Khadijah, ingin menauladani Fatimah, namun, liku-likunya amat terasa.

"Solehah, Hajar ingin ceritakan pada Solehah kisah seorang laki-laki ketika dia menghadap Hasan bin Ali, dia bertanya, "Wahai Hasan, puteriku akan dipinang, kepada siapakah aku harus menikahkan?" Hasan bin Ali menjawab, "Nikahkanlah puterimu dengan orang yang bertakwa. Sebab bila ia mencintainya pasti akan menghormati dan memuliakannya, dan bila ia tidak mencintainya pasti tidak akan menzalimi puterimu."
Hajar serahkan pada Solehah ye. Jika Solehah dah bersedia, beri tahulah Hajar. Solatlah Istikharah dan mohon pada Allah. Moga Allah permudahkan urusan. Allah tahu apa yang terbaik untuk Solehah."

Hajar memegang erat tangan Solehah. Sentiasa cuba memberikan sokongan pada sahabatnya.

Solehah hanya mengangguk-angguk tanda faham. Tanda faham bahawa kehidupan ini hanya kerana Allah dan untuk Allah. Cinta kerana Allah dan kerana ingin redha Allah.


~Ya Allah, jadikanlah cintaku kepadaMu menguasai seluruh yang aku cintai. Dengarlah permohonan hambaMu wahai Yang Maha Mendengar. Jangan Kau biarkan ku sendiri walau sekelip mata pun menentukan takdir untuk diriku. Ameen~

Jalan Dekat Pada-Mu



~Apa yang ada jarang disyukuri, apa yang tiada sering dirisaukan.~


Begitulah ragamnya manusia.

Ya Allah, begitulah juga diri hambaMu ini.
Sudah ku lalui jalan onak dan duri.
Kini derap jalan perlu terus ke depan
Ku harap Kau tunjukkan ku jalan

Di hadapan ada persimpangan
Masih cegatku di sini
Mengharap cahaya terang
Untuk Kau suluhkan jalan
Agar mudah hati menempuhi
Agar tepat dipilih hati

Bila dihadapkan dengan pilihan
Diri menjadi keliru
Bila tiada pilihan
Mengeluh hati tidak menentu

Dunia ibarat air laut
Yang diminum hanya menambah haus

Ya Allah, tunjukkanku jalanMu
Jalan untuk mencintaiMu
Jalan orang-orang yang cinta padaMu
Agar dekat cintaku untukMu...

Oct 6, 2009

Pengurusan Jiwa Mukmin


~Antara tanda kebahagiaan orang mukmin itu adalah bukan dengan banyaknya harta, banyaknya anak, lebar sawah dan ladang serta besar kereta dan rumah, namun, puncak kebahagiaan itu adalah dengan bersihnya hati dan tenangnya jiwa.~

Petang semalam sementara menunggu Maghrib, saya mendengarkan radio Ikim.fm slot Cerna Minda, subtopik Pengurusan Jiwa., dikupas oleh Ir. Ahmad Jais. Ini bukanlah bulat-bulat dari apa yang didengar, namun sebagai ilmu yang sedang diproses disamping untuk disebar-sebarkan.

Sedar atau tidak sedar, Malaysia kini sudah ramai yang bermasalah jiwa akibat dari jiwa yang tidak diuruskan dengan baik. Maka, ramai cuba membunuh diri dan orang lain, sewenang-wenangnya melakukan kerosakan di atas muka bumi tanpa perilaku belas kasihan dan bermacam-macam lagi tindakan di luar kawalan rasional fikiran.

Jiwa yang diuruskan dengan baik dapat bertindak serasionalnya. Jiwa yang tabah dapat menghadapi segala tohmahan tanpa rasa dendam. Jiwa yang positif akan sentiasa optimis terhadap apa yang berlaku di depannya.

Indahnya sebuah keluarga apabila ahli rumahnya dapat menguruskan jiwa. Bapa yang pulang penat dari bekerja masih mampu membantu isterinya dan meluang masa bersama anak-anaknya kerana tenangnya jiwa biarpun di fikiran masih terbayang bebanan tugasan yang bertimbun-timbun di pejabat untuk dilaksanakan. Ibu yang pulang dari tempat kerja juga masih mampu tersenyum ceria tanpa sebarang rungutan menguruskan rumah dan seisi keluarga kesan dari terurusnya jiwa. Anak-anak juga sentiasa menghormati dan memahami ibu bapa biarpun ada ketikanya kehendak mereka tidak dipenuhi ibu bapa. Semuanya kesan dari baiknya pengurusan jiwa. Nah, alangkah indahnya jika sebuah masyarakat yang dipenuhi oleh individu-individu yang dapat menguruskan jiwa mereka dengan baik.

Menguruskan kambing sekandang lebih mudah dari menguruskan jiwa yang dianugerahkan kepada manusia. Jadi, masih ramai lagi manusia yang tidak dapat dengan baik menguruskan jiwanya. Ada rasa hasad dengki, iri hati, cepat melenting dan sebagainya. Sifat-sifat mazmumah umpama lalang yang tumbuh di atas ladang jiwa yang tidak diurus sebaiknya.

Jiwa ini banyak ransangan. Bukan dari internal sahaja bahkan dari persekitaran yang meransang jiwa menjadi 'Ahli Jiwa Kacau' yang harus dimuhasabah dan diurus segera. Ada sahaja dugaan yang datang dari makhluk yang bernama manusia yang sering menguji kekuatan jiwa dan hati. Sentiasa beringat agar buatlah setiap perkara itu kerana Allah, bukan kerana manusia. Kerana mendapatkan redha manusia seperti mengejar dunia yang tiada sudahnya, sehingga ke akhir nafas nanti redha dan matlamat manusia dan dunia itu tidak memberi untung apa-apa di akhirat sana. Redha Allah, Kalam Allah itulah yang selalu diperhatikan dan diberi perhatian.

Usah ketatkan jiwa. Berusaha melapangkan dada. Menjadi hamba yang redha dan bertolak ansur sesama kita selagi ia tidak bersalahan dengan undang-undang yang telah Allah sediakan. Mungkin ada antara makhluk-makhluk Tuhan yang bergelar manusia ini kurang kefahaman. Maka kefahamanlah yang perlu diberikan agar ia bisa membuahkan sebuah kesedaran. Berikan kefahaman dan kesedaran kepada seseorang, mungkin ia dapat disebar-sebarkan kepada yang lainnya pula.

Pengurusan jiwa yang baik tidak akan mengikat ia dengan dunia. Ia hanya berhajat kepada Allah dan hanya kerana Allah. Pemberian maaf kepada yang pernah menyakiti hati itu lebih mulia. Apabila diri terkasar pada kenalan-kenalan kita, rendahkan ego dengan permintaan maaf. Jiwa tak merasa aman terhadap apa-apa yang bersalahan dengan fitrah sucinya jiwa. Jiwa yang mudah sensitif pada persekitaran menunjukkan ia mudah dibentuk, mudah dididik dan diuruskan dengan baik.

Salah satu sifat manusia ialah ia tidak boleh dari manusia atau bermasyarakat. Ia perlu hidup berkumpulan atau berjamaah. Manusia perlu sentiasa diperingatkan kerana ia mudah lupa. Kerana itu jugalah Allah menciptakan manusia berpasangan-pasangan seperti wanita yang baik untuk lelaki yang baik agar keduanya mampu kuat menguatkan dan ingat-mengingatkan. Agar yang lupa itu diperingatkan dan yang ingat itu sedia memberi peringatan.

"Dan bersegeralah kamu mencari keampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa, (yaitu) orang yang berinfak, baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan, dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, (segera) mengingat Allah, lalu memohon ampunan atas dosa-dosanya, dan siapa (lagi) yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedang mereka mngetahui. Blasan bagi mereka ialah ampunan dari Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan (itulah) sebaik-baik pahala bagi orang-orang yang beramal."
(Ali-Imran; 67: 133-136).

Oct 4, 2009

Kisah Raja Dan Kolam Susu


~Muslim dengan muslim yang lain itu ibarat satu bangunan, saling kuat menguatkan~


Lama benar rasanya tidak bertemu dengan rakan sekolah saya. Rindu benar. Alhamdulillah, di kesempatan masa yang sebentar kami bertemu di majlis walimah sahabat lama, masih sempat berkongsi sesuatu. Mungkin bukan sekadar sesuatu, bahkan mungkin sebuah citra yang benar mungundang rasa pada Pencipta, mengisi rindu yang bersemayam sekian lama dengan cerita kehidupan dan isian ke dalam acuan hati.

Biarpun berada dalam gerakan kerja Islam yang berlainan, kami masih boleh berbicara dengan tenang antara berdua. Masih boleh duduk berbincang dengan rakan-rakan yang lain (yang juga berlainan gerakan Islam) untuk membangun Islam. Kami masih lagi mampu untuk membantu satu sama lain ibarat satu bangunan yang saling kukuh mengukuhkan. Adakalanya juga dulu, saya pernah menemani sahabat saya itu ke usrah bersama-sama adik-adik usrahnya, masih boleh duduk bersama. Ilmu yang ada itu perlu diserap. Serapan bahan mentah yang terbaik akan dipilih dan diproses untuk menjadi sebuah produk. Hasil produknya adalah keimanan yang terpancar dengan kemilaunya akhlak. Ingatlah, akhlak yang indah pasti sentiasa mempesona ibarat bunga kembang di taman.

Kisah raja dan kolam susu ini diceritakan sahabat saya ketika kami dalam perjalanan balik dari rumah walimah teman. Moga ia membawa sesuatu untuk kita fikir-fikirkan.

Pada suatu hari, seorang raja memerintahkan rakyatnya untuk membuat sebuah kolam berisi susu yang sangat besar. Dan raja itu telah memberi tempoh beberapa hari untuk membuatnya. Maka, ada di antara rakyat-rakyatnya yang benar-benar mengisi susu ke dalam kolam, ada yang mengisi susu bercampur air, ada yang mengisi air sahaja, dan ada yang hanya lalu lalang tanpa berbuat apa-apa. Walau bagaimanapun keadaannya, kolam susu itu tetap dapat dihasilkan bila sampai waktunya.

Begitu juga dengan bangunnya Islam, ia tetap akan bangun mengikut janji Pencipta. Namun, di golongan manakah kita?

Belajar untuk mencipta ikhlas itu penting. Kerana ikhlas itu umpama semut hitam di atas batu hitam dalam kelam malam. Terlalu sukar untuk dilihat, diukur, dan dikesan. Carilah ikhlas itu di dalam setiap amal perbuatan baik kecil mahupun besar kerana kita tidak pasti mana satu amal itu akan diterima oleh Tuhan Yang Merhatikan.

Kisah ini terjadi kepada Imam Hasan Al-Banna yang sedang menyusun kerusi di dalam dewan, yang juga sebentar lagi akan menyampaikan ucapan. Perlakuannya diperhatikan oleh seorang sahabat dengan mengatakan bahawa Imam Hasan Al-Banna tidak perlu bersusah untuk melakukan kerja menyusun kerusi.

Lalu, As-Syahid dengan rendah hati berkata: "Aku harus melakukan kerja ini kerana aku tidak tahu mana satu amalku yang diterima Allah. Mungkin aku boleh berpidato dan segalanya tetapi bagaimana hati ini riak dan tidak ikhlas dalam melakukannya, segalanya tertolak oleh Allah. Jadi dengan hal sekecil ini cuba mencari ikhlas dengan berharap ia menjadi asbab diterima amal soleh oleh Alla s.w.t.

Wahai hati, berusahalah untuk meruntuhkan tembok pemisah kasih sayang sesama insan. Rasa diri lebih banyak kelebihan dari kekurangan ibarat mencipta racun yang membunuh sebuah jiwa yang mengharap pada Tuhan, yang merasakan diri ini hanyalah hamba. Dan hamba tidak selayaknya menilai hamba yang lain dengan rasa takbur dan riak berselingkar di dada. Rasakan bahawa diri ini terlalu banyak lompangnya yang perlu ditampal untuk menjadi jalan-jalan indah menuju Ilahi. Sudah yakinkah kita bahawa kita manusia paling bertaqwa di sisiNya? Berusahalah hati dan jangan berangan-angan kosong terhadap Allah. Jangan biarkan amalan yang dilakukan ibarat memetik sebakul padi yang hampa tanpa isinya.

~Ya Allah, jadikanlah kami insan-insan yang sentiasa dengan rendah hati merasakan sentiasa ada kekurangan kami untuk diperbaiki. Moga setiap amalan mendekatkan hati-hati kami kepada-Mu Ya Tuhan. ~

Oct 3, 2009

Di Jalan Dakwah Aku Menikah


~Di jalan dakwah aku menikah...~

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
Seseorang perempuan itu dipilih untuk menjadi isteri berdasarkan kepada empat ciri-ciri iaitu kerana harta bendanya, kerana keturunannya (kemuliaan keturunan), kerana kecantikannya, kerana pegangan agamanya. Maka kerana itu pilihlah (berilah keutamaan) kepada perempuan yang berpegang teguh kepada agama, nescaya kamu bertuah (beruntung).
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)




"Bila datang lelaki yang soleh, jangan lepaskan." Kata bapa yang tidak banyak bicaranya tentang persoalan cinta.

Indahnya hidup apabila dihiasi restu ibu bapa beserta curahan rahmat Allah dalam setiap langkah. Moga perjalanan hidup ini akan terasa indah bila menyempurnakan tuntutan Allah dan pesanan Rasulullah.

Alhamdulillah, hari ini memenuhi jemputan walimah dari rakan sekolah yang dikenali sudah 10 tahun lamanya, semenjak di tingkatan 1 lagi. Beruntunglah bagi dirimu wahai sahabat apabila ikatan yang sah telah terpatri, baitul muslim yang dibina didasari iman taqwa kepada Allah dan sentiasa berbumbungkan keredhaan Allah s.w.t.

Saya melahirkan kekaguman pada usaha kedua pasangan yang sah ini. Yakin dengan janji Allah biarpun keduanya masih bergelar pelajar perubatan di luar negara. Tahniah buat Arif dan insan yang telah dipilihkan Allah untuknya, Shazana. Moga perjalanan kalian berdua kembali meneruskan pengajian di Czech Republic akan berada dalam lindungan Allah s.w.t. Moga pelayaran bahtera kalian yang sudah berkemudi bersama akan selamat sampai hingga ke taman syurga.

Saya percaya bahawa apa yang dipilihkan Allah untuk kita sememangnya terbaik bagi kita. Bukan hanya sekadar teori. Bahkan banyak dalam realiti, pasangan yang dikahwini itu pastinya saling lengkap melengkapi, apatah lagi bila redha Allah dijadikan matlamat dan taqwa menjadi bumbung penyelamat dari bencana dugaan nafsu dunia dan seisinya.

~Moga Allah sentiasa meneguhkan hati-hati kita di jalanNya...~
Get More Islamic Testi Here!
 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino