::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Jan 24, 2013

Rasulullah: Ekspresi Cinta Kita


~Cintaku padamu  moga bukan hanya ekspresi kata. Ya Allah jadikanlah kami ini hamba yang mencintai-Mu dan mencintai Rasul-Mu~

12 Rabiulawal: Maulidur Rasul

 12 Rabiulawal datang lagi. Suatu masa dahulu, kelahiran inilah yang di nanti-nanti. Cahaya rahmat yang menerangi seluruh alam.

"Katakanlah (Muhammad), 'Jika kamu mencintai kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu.' Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."
(Ali-'Imran: 3:31)


Apakah Ekspresi Cinta Kita?

Cinta bukan hanya sekadar lafaz di bibir, tetapi dibenarkan oleh hati dan dibuktikan dengan amalan.

Bila cinta, kita akan sentiasa ingin mengikuti kesukaan orang yang kita cintai dan menjauhi perkara yang ia benci.

Bagaimanakah ekspresi cinta kita?

Moga Allah menggolongkan kita ke dalam hamba yang diredhai-Nya dan dirindui oleh Baginda Rasulullah s.a.w sebagaimana kita jua merindui Baginda.

~Selawat dan salam atas junjungan baginda Rasulullah, para sahabat dan keluarganya; Cahaya seluruh alam.~

Jan 21, 2013

Fenomena 'Listen, Listen, Listen' : Suatu Introspeksi


 ~Mari mengintrospeksi diri sendiri melalui fenomena ini.~

~Berhikmah: Kasih sayang adalah rahmat dari-Nya~

Fenomena Listen, Listen, Listen 2013

Seminggu ini, hangat di media maya memperkatakan tentang fenomena listen, listen, listen and let me speak hatta di laman web, imej mahupun video-video yang diadaptasi ceritanya.

Saya tidak mahu berkomentar tentang siapa benar mahupun siapa yang salah ataupun siapa yang patut begini atau siapa yang patut sebegitu. Terlalu banyak sudah mereka yang berkomentar di media maya.

Melihatkan video yang sangat luas ditayangkan secara percuma di media maya, usah lihat siapa di dalamnya. Tetapi mari kita melihat fenomena ini dengan memuhasabah diri. Kerana sebenarnya situasi ini bukanlah yang julung kali berlaku di dunia mahupun di Malaysia ataupun pertama kali di kalangan mahasiswa. Tetapi ia sebenarnya berlaku di sekeliling kita, mungkin melibatkan kita sendiri.

Apa Sebenarnya Berlaku?

Apa isunya? Apa akar umbi sebenar yang diperkatakan?

Ia adalah berkenaan adab ataupun akhlak.

ADAB. AKHLAK.

Ya, akhlak yang semakin hilang dalam diri kita. Kita mungkin berakhlak dalam sesuatu urusan sahaja tetapi dalam urusan lain, akhlak kita itu hilang.

Bagi seorang Muslim, akhlak adalah buah kepada pohon keimanan.

"Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan Syurga yang seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa, (yaitu) orang yang berinfak, baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. 

Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan, dan juga orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri (segera) mengingat Allah, lalu memohon ampunan atas dosa-dosanya, dan siapa (lagi) yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedang mereka mengetahui."

(Ali-Imran; 3:133-135)

Antara Dua Darjat

Saya mempunyai anak murid di mana mereka adalah remaja dan anak-anak muda. Majoritinya sekitar usia 18 hingga awal 20-an.
Yang jiwanya penuh dengan gelora dan semangat yang membara.
Yang emosinya masih lagi perlu dibimbing seadanya.

Saya juga mepunyai anak murid yang hampir sebaya, seusia mahupun menjangkau usia 40 tahun. Dan saya amat merasa rendah diri tatkala tangan ini dikucup oleh mereka.
Malu.

Dua golongan ini wujud di sekeliling saya. Dan saya tidak pernah membezakan mereka sewaktu pembelajaran di dalam kelas.

"Give respect if you want to be respected."

Saya selalu mendengar dan mengingati slogan itu.

Itu juga yang diajar oleh baginda Rasulullah s.a.w dalam akhlak baginda.
Indah bukan?

Saya juga pernah melalui pelbagai situasi melibatkan anak-anak murid yang masih muda. Ada juga kadang-kadang ia agak mengguris hati.
Hentikan sebentar aliran emosi itu.
Zahirkan ia hanya pada tempatnya. 

Tapi sebagai seorang Muslim, lihatlah ini sebagai satu potensi untuk membimbing mereka yang kita sayangi ke arah yang benar.
 
Ia Ada Dalam Peribadi Rasulullah

Rasulullah banyak mengajarkan kita melalui kehidupannya. Moga sirahnya bukan setakat bacaan tetapi untuk kita uli-ulikan hati supaya mencontohi akhlak agung baginda ini.

Memang kita tidak akan pernah sempurna. Tetapi kita boleh mencontohi yang sempurna. 
"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah."

(Al-Ahzab; 33:21)
Di tahap mana pun ilmu kita berbeza dengan orang lain, kita masih perlu hormat menghormati hamba-hamba-Nya.

Di usia manapun beza kita dengan mereka, kita masih lagi perlu mengasihi hamba-hamba-Nya.

Di golongan manapun kita, kita semua masih hamba-hamba-Nya.

Hormat dan menghormatilah.
Kasih mengasihilah.
Sayang menyayangilah. 
Kerana kita semua hanya hamba-hamba-Nya.

Bertanyalah dengan hikmah.
Menjawablah dengan hikmah.
Berinteraksilah dengan hikmah.

Usah biarkan kata-kata kita dipengaruhi oleh emosi dan amarah.
Kerana kata-kata berisi amarah akan berpotensi mencetuskan balasan amarah.

Asuhlah kata-kata untuk berisi kelembutan dan kasih sayang.
Kerana kata-kata berisi kelembutan dan kasih sayang akan menyampaikan mesej 'saya berkata begini kerana menyayangi kamu kerana Allah.'

Suatu Introspeksi Diri

Biasakan diri menghadapi situasi emosional ini dengan berkata lembut atau diam.

"Dan jika engkau berpaling daripada mereka untuk memperoleh rahmat dari Tuhanmu yang engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka ucapan yang lemah lembut."
(Al-Isra': 17:28)
 Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda:
"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia berkata akan yang baik atau diam."
 (Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)
 Saya juga masih perlu banyak belajar mengawal diri dan menjaga hati.

"Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang rugi."
(Al-A'raf; 7: 23)
Semoga Allah memelihara hati dan memberi petunjuk kepada kita semua.
Ameen.


~Kekerasan hanya akan menjauhkan dan kelembutan itu bisa mendamaikan~
 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino