::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Jul 15, 2010

Dunia Sebenar : Kerjaya


~Inilah realiti dunia sebenar...~

Dua minggu sudah saya berkhidmat di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur. Memang agak mencabar. Hidup di tempat baru dan bekerja di tempat baru. Rakan-rakan sekerja dan 'housemate' yang baru.

Bukan mudah menjadi pedagang. Hanya Allah tempat bergantung. Hanya Dia yang Maha Mengetahui segala isi hati.

Bekerja tidak sama seperti zaman belajar mahupun sewaktu 'posting nursing management' dulu. Terasa sangat asing.

Kini, segala kepahitan perlu ditelan sendiri. Saya amat rindu sahabat-sahabat saya. Yang punya sama fikrah dan pemikiran. Yang sama-sama berkongsi suka dan duka. Yang sama-sama mampu tertawa biarpun kepenatan sepanjang hari selepas praktikal di hospital mahupun selepas dimarahi di wad. Saya rindu saat-saat itu.

Rasa menjadi sangat pendiam di sini. Mungkin itu lebih baik daripada banyak berkata-kata. Peristiwa ini mengingatkan saya kepada seorang 'houseman' yang masih saya ingat lagi namanya ketika sesi praktikal Tahun 1 di UIAM dulu. Dia sangat pendiam, hatta dengan 'colleagues', jururawat dan pesakit. Hingga saya pernah tertanya-tanya; 'Dia ni memang tak nak cakap dengan orang ke?'
Mungkin disebabkan saya selalu membantunya dan menjadi 'chaperone'nya, maka satu hari dia bertanya:
"Best ke belajar nursing?"
"Okay." Jawab saya dengan riang gembira.
"Saya rasa saya nak berhenti." katanya.

Dalam hati saya, saya berharap hingga kini dia masih lagi seorang doktor.

Tetapi, mungkin pada saat ini, saya pula baru merasai apa yang dirasa. Cuma bezanya saya masih mampu melayan pesakit saya.

Saya berdoa agar saya masih lagi diberi kekuatan oleh-Nya untuk meneruskan kerja ini sebagai ibadah saya sebagai hamba. Setiap hari saya berdoa seperti itu. Apatah lagi menjadi jururawat lepasan ijazah, tidak semua suka kehadiran kita. Di mana-mana jua mungkin seperti itu. Saya mohon agar Allah memberi kekuatan kepada saya untuk beberapa ketika. Kerana saya tetap ingin mencapai apa yang saya impikan. Dan semoga redhaNya sentiasa bersama saya di jalan ini.


~Berhadapan dengan realiti yang memahitkan perlu antidot dari Tuhan, kerana hanya Dia pemilik dan pemegang hati ini~
 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino