::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Nov 25, 2023

Sahabat: Mari Kita Berjiran Di Syurga


 ~ Kita tak mampu berpisah dengan kenangan, ia akan dijadikan sejarah atau tauladan untuk masa depan. Dan rakan-rakan seperjuangan dulu tidak mampu kita lupakan, moga perjuangan kita semua sampaikan kita ke Syurga yang berkekalan~

Kadang-kadang rasa rindu pada sahabat-sahabat lama saya menerpa. Rasa rindu nak bertemu, nak bersembang seperti dulu, rasa rindu nak berteman dan berjalan petang-petang bersama. Ada juga kami bertelingkah tetapi tidak lama. Bila kenang kenangan lama, ada yang buat saya tersenyum sendiri. 

~Ya Allah, rahmatilah semua sahabat-sahabat saya~

Dulu

Ketika itu saya baru masuk ke Tingkatan 4:

"Prefect ni dah rampas kau dari aku." kata seorang rakan saya yang kami bersahabat semenjak dari Tingkatan 1. 

"Haha." Saya tertawa mendengar ngomelannya. Sahabat saya, Nisa, itu suka bercerita, gaya mak-mak kadang-kadang walaupun itulah personalitinya semenjak kami berkenalan di Tingkatan 1.  Jadi omelannya tu membuat saya tertawa. 

Apabila naik Tingkatan 4 ,saya dilantik menjadi pemimpin pelajar. Jadi, ada masa-masa seperti mulai awal pagi saya perlu lakukan tugas sebagai pemimpin pelajar seperti cek asrama selepas pelajar keluar ke sekolah atau cek kebersihan kelas di awal pagi. Jadi, kami tak dapat jalan ke sekolah bersama-sama seperti dulu. Dah bertukar jadual waktu. 

Ada juga sahabat lain dalam kalangan pemimpin pelajar yang rapat dengan saya, memandangkan kami juga sekelas. Jadi, selepas buat tugasan, kami ke kelas bersama. 

"Prefect dah rampas kau dari aku. Shera pun rampas kau dari aku." selalu ujar Nisa pada saya tiap kali kami bertemu. 

"Lah...Mana ada rampas. Kan aku kawan dengan kau lagi." Pujuk saya. 

Ia berlanjutan sehingga kekadang memang saya perlu bahagikan masa sama rata untuknya dan sahabat saya yang satu lagi. 

"Nisa ada bagi surat kat aku." Kata Shera pada saya pada suatu hari. 

"Aik, surat apa?"

"Surat luahan hati dia. Dia kata aku rampas kau dari dia. Haha." Kata Shera sambil ketawa. Saya lega sebab Shera jenis happy-go-lucky dan tak ambil hati dengan Nisa.

Dan saya pun tak  minta untuk baca surat tu dan tak tahu apa isi kandungan sebenar di dalamnya.

Sekarang

Kami masih bertegur sapa lagi. Kali terakhir saya keluar dengan sahabat-sahabat saya ini ketika saya sudah bekerja dan masih bujang. Keduanya bekerja di bidang yang tak sama dengan saya. Saya belajar di bidang kesihatan. Nisa pula di bidang kejuruteraan. Shera pula dah jadi peguam di firma GLC sekarang. Saya masih rindu sahabat-sahabat saya. 

Masih ada lagi gambar yang saya simpan di mana kami makan bersama-sama sewaktu program rasmi di sekolah dan di meja yang sama. Tak silap saya di tahun akhir persekolahan. Keduanya masih lagi saya bertegur sapa di alam maya hingga kini. 

Edit post:
Entri ni dah sangat lama saya simpan, cuma tak tahu bila nak post. Dan kali terakhir sebenarnya saya jumpa Nisa di masjid di Batu Pahat tahun ini di tempat ambil wudhu' asbab beliau sekeluarga keluar daripada highway Utara Selatan yang sangat sibuk dalam perjalanan JB ke rumahnya di Cyberjaya.
Sambil nak berwudhu', saya terpandang seseorang di pintu masuk. Dan saya terus bertanya, "Khairunnisa Khairil Mokhtar?"
Dan berlangsunglah kemeriahan kami bercerita  di situ.

Dan kali terakhir jumpa Shera sewaktu ke majlis walimahtul urus beliau yang pernah saya ceritakan dulu. 

Akan Datang

"Teman-teman pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa." 

(Surah Az-Zukhruf; 67) 

'Hari itu' adalah pada hari yang akan datang. Semoga kita semua bersama dengan ahli keluarga kita, sahabat dan kenalan kita di Syurga sana. 

Sudah beberapa ketika kami semua tidak berhubung. Hampir beberapa tahun semenjak awal saya mula berumahtangga. Namun, akhir-akhir ini memang menebal semula rindu pada teman-teman saya. Kerana mereka itulah telah mencorak sebahagian episod hidup ini. Dan saya berharap mereka akan menjadi sebahagian episod saya di alam yang kekal di sana. Sebagai sahabat dan jiran di Syurga. 

Semoga persahabatan dan ukhuwah itu akan kekal hingga ke Syurga. 

~Doa kepada teman-teman yang kita sayang agar menjadi teman dan jiran kita di Syurga adalah suatu hadiah yang amat bermakna~ 

Nov 23, 2023

Sabar dan Nikmatilah Perjalanan Ini


Alhamdulillah seronok tengok dinding Facebook dan suapan entri orang-orang berkonvokesyen. Insya Allah, we'll be there, soon. Ambil vibes mereka. Lalui setiap milestone dan hentian untuk menuju ke situ. 

Sempena mengambil vibes mereka yang bergraduasi, Alhamdulillah telah dapat tarikh Proposal Defense 2 minggu lagi. Walaupun sebenarnya dah hantar permohonan tu hujung bulan Ogos, masih tak berani nak tanya admin Kulliyyah. Sebab rasa research proposal belum habis baik siap pembetulan lagi. 

Ditambah pula dengan kesibukan sebagai penulis menyiapkan manuskrip buku teks yang diketuai bekas pensyarah saya dan kolaborasi dengan pensyarah bidang perubatan, saya perlu beri prioriti kepada manuskrip sebab date line lebih awal. 

Dah hantar manuskrip Isnin lepas, baru berani nak tanya admin Kulliyyah tentang status permohonan Proposal Defense samada telah diluluskan di senate meeting

Rupanya admin pun terlepas pandang dan Alhamdulillah dah lama rupanya lulus. Lepas tu, baru lah hantar softcopy research proposal tersebut. Alhamdulillah syukur dah dapat tahu tarikh PD dan insya Allah akan melalui next milestone ini dalam journey PhD dalam masa terdekat. 

Teringat kata-kata mentor saya merangkap cikgu tuisyen PhD saya,  bahawa perlu seize the moment perjalanan PhD ini. Memang kita nak sampai destinasi tu dengan cepat, tapi bila dah sampai tu sekejap je sebenarnya. Ambil skrol dan pakai jubah tu sekejap je tapi yang akan kita kenang adalah perjalanan bertahun-tahun untuk naik ke pentas itu sebenarnya. 

~Gambar 2016 GBBT Master. Insya Allah, next bergambar jubah dan topi bulat~

Tapi tidaklah bermaksud berlama-lama duduk dalam perjalanan ini (sampai lebih expected graduation date). Set the goals, timeline, and seize the moment setiap milestone yang kita lalui. Apa yang kita boleh rancang, kita usahakan, manakala rezeki itu daripada Allah SWT. 

Hayatilah dan hargailah momen perjalanan ini, dan nikmatilah ia. Selepas selesai sesi mengambil skrol dan memakai jubah nanti, kita mulakan pula satu lagi perjalanan menuju destinasi yang baru. 

Terima kasih kepada cikgu tuisyen saya Dr Roket, bukan saja untuk tesis juga untuk kehidupan. 

~Be patience and seize the moment~

Nov 16, 2023

Bekerja Sebagai Hamba-Nya


~Kerjaya juga adalah ibadah.~

Saya terdetik untuk menulis di sini apabila melihat perkongsian ada yang telah mengisi borang sukarelawan KKM semalam untuk ke bumi barakah. (Tulisan entri ini sebenarnya dah beberapa hari lalu, tapi baru nak post hari ni). 

Sewaktu single dulu sukalah pergi program pasukan bantuan paramedik untuk bantuan bencana atau sunat anak-anak kecil bersama NGO mahupun bersama universiti. 

Subhanallah, indah rasa itu. 


Kerjaya Perspektif Si Kecil Nadiah

Sewaktu kecil paling ingat zaman sekolah rendah, jika mak tanya, "Nadiah, dah besar nak jadi doktor?"

Saya jawab, "Tak nak." 

Saya ingin menjawab sebabnya tapi saya diamkan saja. 

'Saya tak nak jadi doktor macam ayah, boleh rawat pesakit, tapi tak ada masa untuk melawat saya.' Itulah getus hati waktu itu. Yelah, walaupun ayah bukanlah doktor perubatan moden, tetapi ayah ada klinik dan jumpa pesakit, jadi macam tu lah fikiran dan sangkaan anak kecil yang tidak memahami. 

Teringat kata-kata Pakcik Rosdi Baharom tentang fenomena anak lapar ayah, bahawa anak-anak perlukan perhatian seorang ayah. 

Anak-anak apabila masuk sekolah rendah, mereka mencari father figure untuk mereka contohi (yang ini tak ingat sumbernya).  

Cuma waktu tu, walaupun tak berminat ikut jejak langkah ayah, saya terinspirasi nak jadi macam abang sebapa, yang belajar di luar negara. Jadi, nak belajar sungguh-sungguh macam beliau. Dah besar sikit darjah 5 ke 6, saya teringin pula nak jadi macam Dr Fadzilah Kamsah (Doktor yang ada PhD). Ha, macam-macamkan. 

Apabila dah besar, belajar dan faham serba sedikit tentang agama, saya lihat pentingnya melihat kerjaya itu satu ibadah. Dan pentingnya melibatkan anak-anak untuk faham tentang pekerjaan kita. Pentingnya anak-anak juga melihat dan faham bahawa ibu bapa yang bekerja itu juga sedang menjalankan sebahagian ibadahnya kepada Allah. Dan bahawa sesungguhnya seluruh kehidupan ini adalah ibadah. Terpulang pada kita bagaimana untuk mengaturnya. 

Pernah juga beberapa kali bawa anak-anak untuk bersama dengan misi bantuan bersama NGO, sambil beritahu anak, kenapa kita perlu jadi orang-orang yang membantu orang lain. Kita kerja, cari rezeki bukan hanya untuk diri sendiri. Tetapi hidup mati kerana Allah dan jadi manfaat kepada ummah. 

~Dah besar (remaja) baru tahu, rupanya Almarhum ayah ada PhD. Semoga diri ini juga menjadi pencinta ilmu lillahi taala, mengikut jejak langkahnya~

Simpan sini kad ini, walaupun klinik ini hanya tinggal kenangan. Semoga anak-anak ambil contoh yang baik dari Ummi, dan arwah atuk. Jadilah generasi yang cintakan ilmu, manfaatkan ilmu untuk dekatkan diri kepada Allah, dan untuk menempah Syurga Allah dan menggapai redha Allah dengan ilmu yang bermanfaat walaupun tidak semestinya dengan ilmu yang formal. 


~Semoga kita semua terus menjadi generasi yang cintakan ilmu yang benar, dan mencambahkan ilmu di dada dan memanfaatkannya seperti air yang terus mengalir~

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino