::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Feb 24, 2012

Usah Ungkitkan Kebaikan Itu


~Mungkin dulu kita pernah berkorban nikmat yang kita kecap atau perkara yang kita hajat, tetapi mujahadahkanlah hati untuk tidak menyebut-nyebut kembali apabila pengorbanan itu tidak dihargai~

"Ah, menyesal bagi peluang dulu, sudahnya macam ini balasannya."

"Buat baik pun, sekarang dibalas tuba."

~Berbuatlah kebaikan walaupun diri disakiti~


Usah ungkitkan pengorbanan yang pernah dilakukan,
apabila pengorbanan itu tidak dihargai. 
Usah ungkitkan nikmat yang pernah dikorbankan, 
apabila kini dicaci dan dimaki.
Usah ungkitkan peluang yang telah diberi, 
apabila hati telah dilukai. 

Babak-babak di dalam kehidupan, 
memang penuh dengan dugaan. 
Kita bukan hidup di Syurga, 
Tempat di mana hanya ada bahagia. 
Kita hidup dengan manusia, 
Penuh warna dan ragamnya. 

Kadang-kadang mahu lari, 
Dari manusia sebegini. 
Kadang-kadang mahu hanya mengalah, 
Namun, hati bertanya sampai bilakah?
Kadang-kadang mahu mengungkit, 
Tapi ia hanya menambah sakit. 

Ingatlah, 
Syaitan itu sedang memburu, 
Meracun hati bersama nafsu, 
Untuk keluarkan kata-kata sehebat peluru, 
Biar terngadah telinga menadah, 
Biar tertembak segala yang di pundak. 

Namun, 
Hati hamba dengan iman, 
Ingin menurutkan Allah dan bukan syaitan.
Mahu menjadi seperti Rasulullah, 
Membalas kejahatan dengan kebaikan, 
Ya, ia perlukan mujahadah, 
Kerana jalan mendapat Syurga bukannya mudah.

Diri hanyalah hamba. Punya hati dan rasa. Segala dugaan, kita mohon agar Allah berikan hati ketabahan. Agar Allah berikan hati kekuatan untuk berhadapan dengan manusia di dunia. Apabila terasa hati ingin menjerit, carilah Tuhan. Biarlah kebaikan itu tidak dilihat manusia. Cukuplah Allah sebagai saksinya. Biarlah pengorbanan dahulu tidak diungkit, moga Allah memberi penawar  kepada hati yang sakit.

~Wahai Allah sebaik-baik saksi, maka saksikanlah segala kebaikan ini dan berilah ketenangan kepada hati walaupun hati disakiti.~



 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino