::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

May 27, 2013

Baitul Muslim: Meniti Hari Mitsaqan Ghaliza


~Meniti hari untuk membangun rumah tangga sakinah mawadah wa rahmah - moga beroleh redha-Nya. Moga Allah memandang kami pada hari itu dengan pandangan kasih dan sayang-Nya~

~Moga Allah memberkahi hari ini dan hari-hari seterusnya~

Meniti Hari

Meniti hari untuk menikah
Ramai orang berkata indah
Hati resah dan gundah
Mampukah diri menjadi isteri yang benar solehah?

Tinggal beberapa hari lagi ke majlis ikatan janji; Mitsaqan Ghaliza, dengan izin-Nya, Insya Allah.

Selepas ini, mungkin hari yang dilalui tidak akan seperti zaman bujang lagi.
Ada komitmen baru yang menunggu. Ada pahala yang bakal diraih disitu.

Perasaan?

Ramai yang bertanya. Perasaaan bercampur baur. Hanya pada Allah terungkap segalanya. Rasa tidak mampu diungkapkan segalanya hanya dengan barisan kata.

Rasa macam tidak percaya juga ada.
Hanya Allah yang Maha Mengatur segalanya. Dialah Tuhan Maha Mencipta, Maha Perancang yang mengatur hidup manusia yang datangnya sesuatu adakala tanpa disangka.

Kala ini mahu tersenyum, kala ini juga air mata mahu menitis. Melihat masa - cepat benar waktu berlalu.

Kata ibu tempoh hari,
"Selepas ini, ringanlah sedikit tugas ibu. Sudah ada yang akan mengambil alih."

Kata-kata ibu bersahaja tetapi jelas membekas rasa.

Mohon Doa

Sekiranya ada pembaca yang terbaca entri ini, mohon doa kalian agar perjanjian agung ini diberkahi oleh-Nya.InsyaAllah, dengan doa daripada kalian semua, rahmat-Nya mencurah-curah terlimpah dari langit-Nya  menyuburi majlis akan datang ini dengan berkah dan cinta.

InsyaAllah. 

Mungkin entri selepas ini ditulis apabila saya sudah menggalas tugas baru. Menjadi sayap kiri kepada seorang pemuda yang dipilihkan-Nya untuk diri ini, Insya Allah.


Moga puisi Ustadz Chayadi Takariawan dapat menjadi renungan dan ingatan buat diri saya sendiri dan mereka yang membacanya:


"Pernikahan Adalah"

Pernikahan adalah akad atau ikatan
Akad untuk beribadah
Akad untuk membangun rumah tangga sakinah mawadah wa rahmah. 

Pernikahan adalah akad untuk saling mencintai,
akad untuk saling menghormati dan menghargai,

Pernikahan adalah akad untuk saling menguatkan keimanan, 
akad untuk saling meningkatkan ketakwaan, 
akad untuk mengokohkan ketaatan kepada Tuhan, 
akad untuk berjalan pada tuntutan Kenabian. 

Pernikahan adalah akad untuk saling menerima apa adanya, 
akad untuk saling membantu dan meringankan beban, 
akad untuk saling menasihati, 
akad untuk setia lepada pasangannya dalam suka dan duka, 
dalam kesulitan dan kesuksesan, dalam sakit dan rehat, 
dalam tawa dan air mata. 

Pernikahan berarti akad untuk meniti hari-hari kebersamaan, 
akad untuk saling melindungi, 
akad untuk saling memberikan rasa aman, 
akad untuk saling mempercayai, 
akad untuk saling menutup aib, 
akad untuk saling mencurahkan perasaan, 

Pernikahan adalah akad untuk mudah mengakui kesalahan, 
akad untuk saling meminta maaf, akad untuk saling memaafkan, 
akad untuk tidak menyimpan dendam dan kemarahan,
akad untuk tidak mengungkit-ungkit kelemahan, 
kekurangan dan kesalahan. 

Pernikahan adalah akad atau ikatan. 
Akad untuk tidak melakukan pelanggaran, 
akad untuk meninggalkan kemaksiatan, 
akad untuk tidak saling menyakiti hati dan perasaan, 
akad untuk tidak saling menorehkan luka, 
akad untuk tidak saling menyakiti badan pasangan. 

Pernikahan adalah akad untuk mesra dalam perkataan, 
akad untuk santun dalam pergaulan, 
akad untuk indah dalam penampilan,
akad untuk sopan dalam mengungkapkan keinginan, 
akad untuk berlaku lembut kepada pasangan, 
akad untuk memberikan senyum termanis, 
akad untuk berlaku romantis dan selalu berwajah manis. 

Pernikahan adalah akad untuk saling mengembangkan potensi diri, 
akad untuk adanya saling keterbukaan yang melegakan, 
akad untuk saling menumpahkan kasih sayang, 
akad untuk saling merindukan, 
akad untuk saling membahagiankan, 
akad untuk tidak adanya pemaksaan kehendak, 
akad untuk tidak saling membiarkan, 
akad untuk tidak saling mengkhianati, 
akad untuk tidak saling meninggalkan, 
akad untuk tidak saling mendiamkan. 

Pernikahan adalah akad untuk menebarkan kebajikan, 
akad untuk mencari rezeki yang halal dan thayib, 
akad untuk menjaga hubungan kekeluargaan, 
akad untuk berbakti kepada orang tua dan mertua, 
akad untuk mencetak generasi berkualitas, 
akad untuk siap menjadi bapak dan ibu bagi anak-anak, 
akad untuk membangun peradaban masa depan. 

Pernikahan adalah untuk segala
 yang bernama kebaikan!"

Dipetik dari buku Di Jalan Dakwah Kugapai Sakinah


~Wahai Allah, jadikanlah diri kami insan yang soleh dan solehah, penyejuk mata dan pententeram jiwa bagi dia yang dihalalkan oleh-Mu untuk diri ini agar diri ini bisa menjadi insan yang bahagia dan membahagiakan hingga ke Syurga.~

May 6, 2013

PRU 13: Fajar Menyinsing @ Breaking Dawn


~You have heard the wake up call... Breaking dawn, the sun is rising~

Pilihanraya Umum 13 adalah pilihanraya setakat ini banyak mencatat sejarah.
Alhamdulillah, pertama kali saya mengundi.
Semoga Allah mengira undian kita semua di akhirat nanti sebagai saksi. 

 
~Sebahagian daripada sejarah terbesar Malaysia~
Credit image to: http://tunkuaisha.blogspot.com


Perasaan PRU13

Selama 13 kali pilihanraya diadakan, jumlah tertinggi mereka yang keluar mengundi adalah 80% daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar.

Sokongan yang sangat hebat datang daripada kedua-dua belah pihak.
Namun, sokongan pihak yang inginkan perubahan di ambang pilihanraya tidak pernah saya lihat sebegini meriah semenjak kecil. Ia bagaikan ombak besar yang datang berkali-kali.
Dan mereka adalah kebanyakannya generasi atau komuniti siber yang kebanyakannya berusia sekitar usia saya.

Keputusan pilihanraya umum ke-13 dimenangi oleh Barisan Nasional yang kini sudah menjadi kerajaan Malaysia dengan 133 kerusi Parlimen. Selebihnya 89 kerusi diduduki  Pakatan Rakyat. 
Bagi mereka yang mahukan perubahan, kebanyakannya melahirkan kedukaan.

Walaubagaimanapun, undi popular pilihanraya ke-13 kali ini dimenangi oleh pihak Pakatan Rakyat pula (yang sememangnya agak popular di kalangan komuniti siber mutakhir ini).  
 Undi keseluruhan Pakatan Rakyat: 5.5 juta.
 Undi Keseluruhan Barisan Nasional:  5.2 juta.


Muhasabah PRU13

Buat yang berjaya, tahniah! Allah mengizinkan anda menggalas amanah. Amanah adalah satu perkara yang sangat besar kepada seorang pemimpin. Semoga amanah yang dikurniakan menjadi pembantu ke arah Jannah dan bukan sebaliknya. Semoga kemenangan yang diperolehi adalah kemenangan yang telus. 

Ingat, Allah itu Maha Melihat.

Bagi yang kecundang di pilihanraya kali ini, mungkin ada yang perlu kita muhasabahkan. Bagi seorang Muslim, mungkin kemenangan ditangguhkan oleh Allah kerana ia adalah menguji insan.


"Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun."
(Surah Al-Mulk; 67:2)

Pembungkus

Adakalanya kita inginkan sesuatu daripada Pencipta tapi kita lupa untuk mendekatiNya. Adakalanya kita ingin luaran atau sekeliling kita diperbaiki untuk jadi lebih baik tapi kita lupa untuk memperbaiki diri sendiri ke arah kebaikan. Pesan Hasan Al-Banna, seorang pemimpin tersohor Ikhwan Muslimin; 

'Perbaikilah diri kamu di samping kamu mengajak orang kepada kebaikan.'

Kadang-kadang kita impikan dan cita-citakan negara Islam tertegak di atas tanah air kita, tetapi kita lupa untuk menegakkan Islam dalam diri kita. Seperti apa yang telah diperkatakan oleh Syeikh Hassan Al-Hudaibi:

"Tegakkanlah Islam di dalam dirimu, nescaaya akan tertegak Islam di tanah airmu."

Ingatan ini adalah untuk diri saya juga.
Mungkin kita banyak mengusahakan secara external hingga kita terlupa usaha internal kita yang perlu diperhebat lagi.
Mungkin kita lupa tuntutan Allah pada diri yang masih belum kita selesaikan lagi sehingga Allah menangguhkan dahulu makbul doa kita dan menunggu waktunya kita benar-benar bersedia. 

Introspeksi ini bukan saja perlu dilihat pada pihak satu lagi. Namun, amat perlu kepada introspeksi diri; hubungan kita dengan Pencipta dan sesama kita. 

Sayugianya, marilah bersama kita introspeksi diri kita sebagai hamba-Nya. Pasti ada hikmah. Kerana Allah tidak pernah salah.


~Fenomena 'Ini Kalilah' sebenarnya sudah pun bermula~ 


Sajak PRU13: Fajar Menyinsing @ Breaking Dawn
(Khas buat generasi yang mahukan perubahan ke arah kebaikan)


Fajar menyinsing
Mentari masih sembunyi
Hanya cahayanya berserakan
Terangi langit dan awan gemawan

Bila suria sinari buana
Ayam berkokok membangunkan
Manusia; masih ada yang  lena
Manusia; ada yang terjaga tetapi kembali menutup mata
Namun, ada juga yang bangkit untuk bekerja

Fajar kini mula menyinsing
Suria tidak terus menunjuk rupa
Tapi sudah cerahkan daratan
Sedikit demi sedikit
Mengeluarkan manusia dari kegelapan

Usaha, yakin dan doa
Tanah ini pasti akan disinari
Kegelapan tak selama menjadi raja
Kerana janji-Nya suria pasti menyimbah cahaya

Breaking dawn
The sun is rising


~ Fajar menyinsing; hanyalah satu permulaan untuk cahaya bersinar terang.~

May 3, 2013

PRU-13 Kali Ini


~Undi bukanlah hanya satu perkataan sambil lewa, undi itu adalah cakna kita kepada rakyat, masyarakat dan pimpinan negara serta pembinaan generasi seterusnya~

~5 Mei 2013: Hari yang bermakna buat rakyat Malaysia~

Fenomena Ini Kalilah

Fenomena 'Ini Kalilah' dilihat di mana-mana di laman sesawang mahupun laman sosial.

"Pelik ye. Kenapa semua sebut 'ini kalilah'?"  suara memecah kesunyian di pejabat.

Seorang rakan berbangsa Cina berkata,"Naddy, kamu ada di negara mana sekarang?"

Rakan-rakan yang lain kemudian menyampuk sama.

"Ini kalilah kita ubah!" Kedengaran kata mereka dalam keadaan yang tak berapa serentak.


Pilihan Raya ke -13 (PRU 13) 

'PRU13 ini adalah PRU yang mencatat sejarah', kata seorang wanita dipanggil dengan gelaran nenek di kampung. Tidak pernah sesengit ini.

Bukan saja kempen PRU13 dipaparkan dengan pemasangan bendera dan poster di jalan. Bahkan asal buka televisyen saja, kempen terus berjalan baik dengan berita, dokumentari mahupun dendangan lagu yang pelbagai. Begitu juga dengan kempen di laman sesawang yang tak kurang hebatnya.

Mari Mengundi

Saya juga pernah jadi anak muda ; awal 20-an. Seingat saya, waktu PRU12, saya baru saja melepasi tarikh lahir saya dan beberapa minggu kemudian, parlimen telah dibubarkan. Tetapi waktu tu perasaan untuk mengundi tidak secakna ini.

Namun, setelah menjadi seorang pekerja yang sepenuhnya menguruskan sumber kewangan sendiri, yang telah lebih banyak melihat fenomena-fenomena yang terjadi dengan mata yang lebih terbuka, SATU UNDI itu AMAT BERMAKNA.

Marilah mengundi. Tunaikan hak kita bersama,

Pembungkus 

Masih ada dua hari lagi sebelum pilihanraya. Undi, usaha dan doa, doa dan doa.

Semoga Allah memberi kemenangan kepada pihak yang benar dan membenarkan Islam tertegak di atas muka bumi Malaysia ini, InsyaAllah.

~Allah ingin mendengarkan rintihanmu meminta pertolongan-Nya, wahai rakyat Malaysia!~

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino