~Di mana saja Allah boleh menyentuh hati hamba-hambaNya. Terpulang pada kita untuk merasainya dan menilainya dari hati~
Rawatan Hati Di Klinik
Kelmarin, Allah sentuh hati saya dengan satu peristiwa. Rupanya kelmarin merupakan pemeriksaan saya bukan saja dengan manusia tetapi juga Allah nak rawat hati saya yang sudah lama terbiar ini dengan sisi ibrah kehidupan yang lain.
Kelmarin saya ke klinik untuk
temujanji doktor. Di hadapan saya, datang duduk seorang wanita berbaju Tshirt
labuh dan tudung menghampiri siku. Beliau hamil, lebih kurang mungkin sebaya
saya.
Menantikan seorang hamba Allah yang
bakal lahir daripada rahim kita merupakan salah satu nikmat dari Allah. Tentu dia juga merasakan perasaan itu.
Tidak lama kemudian datang seorang
lelaki mendukung seorang anak kecil yang
sedang tidur. Lelaki itu menghulurkan anaknya pada wanita itu. Pasti suami
isteri, agak saya. Kemudian, suaminya meninggalkannya menuju ke bahagian
belakang, tidak pasti ke mana.
Saya melihat anak kecil itu dari
tempat duduk belakang. Kulitnya mulus dan putih. Pasti comel anak kecil ini. Anak
kecil itu terjaga dan merangkul ibunya dan menghadap ke belakang sambil
terpisat-pisat memandang saya.
Baru saya perasan sedikit kelainan
pada wajahnya. Allah beri mereka seorang anak yang istimewa. Setelah anak itu betul-betul
sedar, dia bermain cak-cak dengan saya di balik kerusi. Anak istimewa ini Allah
beri ia kelebihan menyenangkan hati yang lain, moga menjadi pemudah juga ibu
bapa nya ke Syurga.
Terharu.
Kemudian, suaminya balik duduk
berdekatan isterinya.
Rupanya hati saya tidak hanya
tersentuh di situ.
Tiada suara yang keluar daripada
keduanya. Mereka hanya saling mengangkat tangan. Berkomunikasi melalui bahasa
isyarat.
Allahuakbar.
Besarnya ujian Allah pada mereka.
Hanya insan terpilih yang mampu menggalas ujian itu.
Deria Hati
~Deria hati kita mungkin peka nya berbeza~ |
Apa yang ada pada kita adalah nikmat dan ujian. Tetapi berapa ramai antara kita yang menggunakan mata, telinga, mulut serta anggota badan yang lain pada jalan yang benar.
"Harta dan anak-anak adalah perhiasan dunia tetapi amal kebajikan yang terus menerus adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan. "(Al-Kahf, 18:46)
Ada mulut yang berdusta, ada telinga yang tidak mahu mendengar dan ada juga mata yang tidak mahu melihat kebenaran walaupun Allah secara lahiriah tidak menciptakan mereka bisu, tuli dan buta.
Hakikatnya, mereka yang diciptakan lahiriahnya oleh Allah untuk tidak mampu bercakap, melihat dan mendengar sebenarnya lebih jelas dalam melihat, mendengar dan menilai. Bukan melalui anggota badan mereka namun, melalui hati mereka yang tulus suci.
Pembungkus
Ada air mata saya yang mengalir dan hati yang tersentuh melihat keluarga itu kerana dibandingkan dengan diri saya, mungkin mereka lebih redha dan lebih syukur menerima ketentuan Allah dari saya. Saya punya anggota deria yang berfungsi sama seperti majoriti manusia lain, namun mungkin saja saya tidak mempunyai deria hati yang tulus seperti mereka.
~Semoga Allah mengampuni diri ini. Yang kadang banyak menggunakan mulut menyakiti hati, atau yang menggunakan telinga untuk perkara jauh dari zikir kepada-Nya atau yang menggunakan mata tidak pada tempatnya.. ~