~Saat apapun ujian yang melanda, anggaplah itu suatu nikmat kerana Allah sedang melihat kita, menghitung sabar kita yang akan diganjarkan dengan Syurga~
“Maha Suci Allah yang menguasai (segala) kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun.”[Surah Al-Mulk; 67: 1-2]
Nikmatilah Saat Ini
Saat yang ada ini biarpun dalam suka ataupun duka,
hayatilah. Biarpun susah ataupun payah, nikmatilah kerana saat yang ada ini tidak
akan pernah kembali lagi.
Saat kita dalam kemiskinan, hayatilah menikmati satu mata
lauk dengan nasi seharian. Kerana mungkin apabila kita sudah kaya, nikmat lauk
yang bermacam-macam mungkin tidak sesedap sewaktu kita dalam kemiskinan.
Saat susahnya membesarkan anak-anak kecil, kita sering
meminta agar mereka cepat membesar. Namun, apabila mereka dewasa kita pasti
merindui saat-saat keletah anak-anak kecil kita.
Saat kita lelah menelaah pelajaran dan meminta-minta agar
kita cepat menikmati alam pekerjaan, maka hayatilah hidup menjadi seorang
penuntut ilmu. Kerana apabila kita telah meninggalkan alam menjadi pelajar,
kita pasti merindui zaman yang telah berlalu.
Setiap saat yang kita lalui pasti ada kesusahan dan
kepayahan sebagai asam garam dalam kehidupan. Fitrah kehidupan. Itu janji
Tuhan.
"Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (yaitu) orang-orang apabila ditimpa musibah, mereka berkata inna lillahi wa inna ilaihi rojiun (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali)."
[Surah Al-Baqarah; 2: 155-156]
Bekalan Memaknakan Nikmat
Seringkali kita tidak mampu melihat kesukaran dan kesulitan
sebagai nikmat. Kerana menjernihkan mata hati untuk melihat perlukan bekal
untuk sentiasa menjernihkan lensa hati.
“Demi masa. Sungguh, manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling nasihat-menasihati untuk kebenaran dan kesabaran.”[Surah Al-Asr; 103: 1-3]
Ambillah Al-Quran sebagai surat nasihat daripada Tuhan. Dan pasti ia akan membina lapisan iman dengan kesabaran. Khusyukkan hati dalam sujud kepada Tuhan, nescaya rintihan kepadaNya pasti membuahkan balasan.
"Wahai orang-orang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar."[Al-Baqarah; 2: 153]
Allah tidak pernah jauh daripada kita. Saat kita sedih dan kecewa dan terus mengharap pada-Nya, Dia Maha Mendengar dan merindui kita di saat ini. Dan pasti setiap kesulitan itu pasti ada kemudahan seperti yang telah dijanji.
~Nikmatilah saat ini kerana ia tidak akan pernah berulang semiripnya lagi~