::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Feb 9, 2017

Baitul Muslim: Ketidakadilan Ibu Bapa Yang Jadi Kebiasaan


~Menjadi ibu bapa ibarat menjadi pelukis seni, satu warna dan satu lakaran memberi impak besar pembentukan kanvas hidup anak kita~

Hari pertama dan kedua kedatangan Fathimah Raudhah ke dunia disambut baik oleh Khubaib 'Adi. Melompat-lompat keriangan apabila melihat adiknya di dalam baby cot sambil menyebut "Baby! Baby!". 

Namun, menjelang hari ketiga dan seterusnya, sikapnya yang suka bertukar macam singa. Asal dekat saja dengan Raudhah, dia akan memukul dan membaling mainan atau bantal pada si adik. 

Saya memahami andai ini ragam cemburu kedatangan orang lain yang seolah-olah jadi pengganti. 

Khubaib 'Adi sudah tidak tidur sebelah umminya lagi. Sudah tidur sebelah abi saja. Itupun jauh daripada umminya. Sebelah ummi sudah ada orang lain yang ummi selalu peluk dan susukan pula. Mungkin nampak seperti seolah-olah sayang ummi dah bertukar pada yang lain. 

Saya selalu katakan pada Khubaib setiap kali setelah temper tantrum nya berlaku, "Ummi sayang Khubaib 'Adi. Ummi sayang Raudhah. Dua-dua ummi sayang." 

Nampaknya hanya sekejap saja reda Khubaib. Setelah itu, marah pada adiknya datang lagi. 

~Menyatukan hati anak-anak adalah ujian ibu bapa dan saham masa depan~

Solusi
 
Balik berpantang di Mersing, saya membelek-belek buku Prophetic Parenting yang masih belum dihabiskan bacaan. Saya membaca di bahagian Bersikap Adil dan Menyamakan Pemberian untuk Anak.
Satu hadith yang riwayatkan oleh al-Baihaqi benar-benar menjentik hati saya. Mungkin inilah sebab Khubaib 'Adi berkecil hati. 

"Bahawasanya seseorang sedang duduk bersama Nabi s.a.w. Tidak lama kemudian datanglah anak lelakinya. Dia pegang, lalu cium, dan dudukkan di pangkuannya. Kemudian datanglah anak perempuannya. Dia pegang dan dia dudukkan di sampingnya. Nabi s.a.w bersabda, 'Engkau tidak berlaku adil terhadap mereka berdua.'"
(Hadith Riwayat Al-Baihaqi) 

Macam selalu nampakkan situasi di atas? 

Saya membaca dua kali hadith tersebut sebab macam tak nampak apa salahnya.
Selepas membaca huraian tulisan Dr. Muhammad Nur Abdul Hafizh Suwaid, baru saya faham. 

'Kaedah pendidikan mana di dunia ini, dan sekolah guru mana di bumi ini yang sanggup mengingatkan tentang masalah 'remeh' tentang berlaku adil dalam ciuman dan duduk di pangkuan?? Tidak lain adalah dari cahaya kenabian'

Tulisan Dr Muhammad bukan setakat menjentik hati bahkan menampar-nampar diri saya. 

Kita biasa melihat situasi di atas di mana-mana hingga kita anggap itu satu perkara biasa. Sampai kita lupa kebiasaan itu adalah satu kesalahan. 

Refleksi 

Ya, mungkin di sebalik rasa excited, saya cium dan belai anak yang baru hadir ini sehingga lupa untuk buat perkara yang sama pada si abang. Sedangkan si abang melihat dan memerhati lalu berkecil hati. 

Pembentukan anak sememangnya bukan setakat daripada apa yang kita kata tetapi banyak daripada apa yang kita buat. 

Saya aplikasikan nasihat Rasulullah s.a.w sebaik saja hadith itu membuka mata hati saya.
Alhamdulillah Khubaib 'Adi sudah tidak macam tu lagi. Benar, temper tantrum nya tetap ada. Sebab lapar, penat, ataupun kecewa dengan mainannya. Namun, bukan kerana cemburu dengan adiknya. Itulah harapan saya. 

Kekadang sewaktu dukung si adik, Khubaib 'Adi juga minta didukung. Selepas waktu berpantang ni, saya masih berjaga-jaga supaya tidak bawa barang berat. Oleh itu, memandangkan permintaan si abang, saya duduk dan memangku kedua-duanya. 

Menjadi adil ni tidak susah sebenarnya, tetapi mungkin kita saja yang terlepas pandang untuk menjadi ibu bapa yang adil pada anak-anak.
Kita saja yang banyak khilaf dalam memerhati hal yang nampak remeh pada anak.
Kita mahu anak-anak kita bersatu hati tapi kita sendiri memecah belahkan hati-hati mereka tanpa kita sedari. 

Pendidikan Rasulullah Terbaik

Saya menghabiskan Sarjana Psikologi Pendidikan namun saya tidak jumpa tentang ini. Hal yang nampak remeh tetapi boleh membiakkan cemburu menjadi iri hati, lalu menjadi hasad dengki. Wal'iyadzubillah. Semoga dijauhkan kita dan anak-anak kita daripada perkara ini.

Nampak simple masalah adik beradik saling cemburu. Nampak common situasi memeluk dan mencium seorang anak tetapi tidak pada anak yang lain. Mungkin atas alasan yang kita cium tu masih bayi. Namun, hakikatnya kecil atau besar, mereka tetap anak-anak kita yang perlukan hak yang sama. 

Rasulullah s.a.w sememangnya pendidik yang terbaik. 

Jom, kita jadi ibu bapa yang adil hatta pada setiap dakapan pada setiap anak yang ada.
Meminjam tagline: betulkan yang biasa dan biasakan yang betul

~Hatta pada satu ciuman dan dakapan pada anak boleh memberi satu perbezaan persepsi sayang yang besar pada anak dengan anak yang lain~
 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino