::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Mar 21, 2017

Apabila Impian Kamu Hanya Mendarat di Bulan


~Apabila impian kamu hanya mendarat di Bulan sebelum kamu usaha, itu bukanlah impian tetapi mimpi. Itu bukanlah cita-cita tetapi angan-angan kosong tidak sehabis usaha.~

Kata pepatah Inggeris:
"Shoot for the moon. Even if you'll miss, you'll land among the stars."
 atau 
"Sasarkan Bulan. Jika kamu gagal, kamu akan mendarat di antara Bintang-Bintang".

Pepatah 'Modified': Sasarkan Bintang. Jika kamu gagal, kamu akan mendarat di Bulan.

Mungkin waktu pepatah itu dibuat, eksplorasi sains dalam bidang astronomi masih belum banyak diterokai. Kerana hakikatnya Bulan itu lebih dekat dengan kita berbanding Bintang-Bintang. Bintang yang paling dekat pun adalah Matahari.

Mungkin lebih baik dengan "Sasarkan Bintang. Jika kamu gagal, kamu akan mendarat di Bulan." Hanya sekadar pendapat.


Paling penting, ini bukan kisah tentang astronomi.

Misi Roket Belum Berlepas

Semua orang ada impian kan? Ada yang dicapai, ada yang lambat sampai dan ada yang tidak kesampaian. Apapun, semua itu ada hikmahnya.

Hari ini saya menerima surat yang mengatakan 'dukacitanya...' Sedih. Mungkin sebab ini impian yang saya harapkan dan yang saya betul-betul usahakan selama ini.

Saya membungkam sebentar di bilik. "Aik, tidur dah?" tanya suami.
"Tak tidur. Tengah down ni." Sambil menekup muka ke bantal.
"Cepat sangat putus asa." Kata suami bersahaja. Sinis je.

Saya mengiyakan sebenarnya kata-kata suami. Memang saya begitu. Sikap saya 'kalau satu pintu tu dah tertutup, masih banyak lagi pintu yang akan terbuka.'

Tapi sebenarnya, saya memang cepat putus asa jika sesuatu yang sangat saya harapkan mengecewakan saya. Mungkin sebab saya tak mahu sedih lama-lama [alasan ke ni?]

Dalam kes saya ini, sebenarnya masih belum 100% kemungkinan Roket untuk berlepas ke Bintang itu dibatalkan. Kerana, saya lihat masih ada lagi ruang yang Allah bagi saya untuk merealisasikan impian ini. Saya cuma kena usaha sikit saja lagi, dan selebihnya saya tawakal pada Dia. Sebab usaha saya masih lagi belum capai 100%.

Bak kata suami saya, "Baru ada dugaan sikit, dah kecewa."

Roket Impian Saya VS Mainan Anak

Khubaib, anak saya yang mencecah usia dua tahun sering saja 'tantrum' dengan permainannya. Apabila kecewa, dia akan mencampakkan permainannya itu. Dalam kesedihan dan kekecewaannya itu, dia tetap sayang pada permainannya dan mengutip semula permainan tadi.

Walaupun dia kecewa, tetapi dia tidak putus asa.

Mungkin itulah yang tidak ada pada saya. Banyak kali saya lihat. Namun, baru hari ini, Allah bagi saya lihat dengan mata hati dan berfikir jauh ke lubuk hati.

Impian roket saya nampak lebih besar daripada permainan Khubaib. Namun, kecekalannya lebih besar daripada saya yang sudah dewasa. Orang besar tetapi cekalnya kecil.

Allah nak ajar saya hari ini.

Walaupun pada mulanya saya rasa Projek Roket saya ini hanya mampu ke Bulan, namun kini mungkin tidak lagi. Kerana selagi kita belum 100% usaha, kita belum tahu natijahnya.

Ketakutan pada impian yang tidak kesampaian perlu ditangani. Perlu berani usaha sebelum mengalah.

Saya lemah. Dan saya memang perlukan Allah.

~Sasarkan ke Bintang. Jika kamu tersasar, kamu mungkin mendarat di atas Bulan. Peribahasa ini hanya sesuai pada mereka yang sedang dan sudah berusaha. Berusaha!~ 

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino