Doa Rasulullah s.a.w kepada Ibnu Abbas sewaktu beliau masih kecil:
"Ya Allah, dalamkan pengetahuannya dalam agama dan alimkan dalam hikmah dan ajarkan ia takwil Al-Quran."
(Hadith Riwayat Ibnu Majah)
~Doa Rasulullah s.a.w pada Abdullah Ibn Abbas~ |
Pejam celik, pejam celik masa pantas berlalu.
Seketika dulu, apabila dua-dua anak masih berada di bawah jagaan Umminya sepenuh masa, terasa seperti lambat lagi anak-anak untuk meninggalkan rumah dan memulakan dunia baru iaitu zaman persekolahan.
Sekolah Pertama
Benar, rumah adalah sekolah pertama anak-anak. Tidak dinafikan bahawa anak-anak banyak mengikut acuan Ummi termasuk perilaku dan percakapan. Kadang-kadang tertawa sendiri melihat gelagat anak yang copy paste ibunya. Sebab apa yang dilihat adalah cerminan luar sedar tingkah laku Ummi bersama anak-anak.
"Khubaib Adi... Khubaib Adi... Habis basah tikar Ummi." Bebel Ummi sambil mengelap sisa tumpahan di lantai.
"Fathimah Raudhah... Fathimah Raudhah... Habis rosak mainan Khubaib." Mengomel si abang sulung yang berusia 3 tahun lebih apabila memeriksa permainannya yang dirosakkan oleh adiknya.
Itu antara cerminan dan salinan perilaku anak-anak.
Sebagai Muslim, kewajipan ibu bapa lebih eksklusif lagi untuk menghubungkan setiap aspek kehidupan anak-anak untuk merasakan hidup berTuhan.
Ia eksklusif untuk bagi anak-anak merasa bahawa Allah itu wujud dan Dialah pencipta dunia dan segala isinya.
Bukan suatu tugas yang mudah tetapi tidak juga susah. Kena bagi anak rasa seronok ada Allah. Kena bagi anak rasa bahawa setiap yang dilakukan adalah di bawah pemerhatian Allah.
Itulah suatu seni yang masih Ummi pelajari sehingga hari ini dan insyaallah sampai akhir hayat nanti.
Syurga Yang Best
Suatu masa dahulu pernah Ummi berkata begini untuk memujuk Khubaib supaya lebih berkelakuan baik;
"Khubaib kan anak soleh. Nak masuk Syurga kena jadi soleh kena buat baik."
Balas Khubaib "Khubaib tak nak masuk Syurga."
Eh?
"Kat Syurga ada air sungai yang cantik, ada air terjun. Khubaib tak suka?" Tanya Ummi lagi.
"Tak nak." Kata Khubaib. Ya, dia masih kecil lagi. Baru sekitar usia awal dua tahun.
Ada masanya Tok Wan datang dan kata pada Khubaib, "Kat Syurga ada makanan sedap. Ada aiskrim, Khubaib nak?"
Khubaib termenung seketika. Mungkin memikirkan adakah berbaloi ganjaran aiskrim sekiranya dia berkelakuan baik.
"Ada aiskrim?" Soalnya.. "Khubaib suka aiskrim."
Namun, ganjaran itu tidak menjanjikan konsistensi tingkah laku yang baik selepas itu.
Mungkin ia sudah tidak menarik lagi.
"Khubaib tak nak aiskrim dekat Syurga." Katanya.
Ummi menelaah apakah kesukaan Khubaib. Ya, taman permainan dan keretapi mainan. Cerita kartun kalau ada kenderaan binaan atau keretapi memang kesukaan Khubaib.
"Khubaib nak main taman permainan dalam Syurga tak? Kalau Khubaib soleh, buat baik, Allah akan bagi Khubaib main taman permainan dalam Syurga."
Khubaib tersenyum lebar nampaknya.
"Taman permainan yang besar? Khubaib nak. Taman permainan yang besar, ada keretapi, boleh ke Ummi?"
"Boleh, insyaallah. Kalau Khubaib soleh, dapat masuk Syurga, minta pada Allah. Insyaallah Allah bagi."
Sehingga hari ini, itulah antara motivasi Khubaib.
"Khubaib suka taman permainan dalam Syurga." Tersenyum lebar dia sampai nampak gigi.
~Gambar hiasan- tak tahu bagaimana sebenarnya imaginasi anak kecil tentang taman permainan di Syurga~ |
Motivasi Kehidupan Abadi
Banyak lagi sebenarnya cerita perjalanan motivasi Khubaib yang sekaligus menjadi peringatan kepada diri ini, bukan saja sebagai ibu tetapi sebagai hamba Allah.
Peringatan bahawa kita semua akan kembali.
Kita ingin kembali ke kampung halaman kita.
Cuma ada masanya kita lupa dan lalai di tempat persinggahan kita di dunia ini.
Insyaallah, tahun depan Khubaib dah boleh bersekolah bersama rakan-rakannya.
Ummi yang rasanya nervous lebih untuk menghantar Khubaib yang masih manja Umminya ni.
Insyaallah moga urusan persekolahan Khubaib dan rakan-rakan sebayanya di luar sana dipermudahkan oleh Allah. Semoga Allah sentiasa menjaga mereka.
~Taman permainan Syurga adalah satu motivasi besar untuknya. Moga kita dapat bersama-sama di dalamnya suatu masa nanti~