::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Mar 23, 2019

Saya Nak Jadi Superman



Superman Acuan Al-Quran

"Khubaib nak jadi Superman lah." Kata Khubaib suatu ketika dulu.

"Superman tu apa?" Saja Ummi bagi soalan KBAT sikit.

Sambil Khubaib berfikir tu, Ummi mencelah.

"Superman tu manusia hebat. Khubaib tahu tak siapa manusia paling hebat kat dunia ni?"

"Tak tau". Katanya. Tulus je.

"Manusia paling hebat tu namanya Nabi Muhammad s.a.w. Kalau nak jadi Superman manusia hebat kena lah ikut macam Nabi Muhammad."

"Nak jadi manusia hebat tak? Boleh masuk Syurga. Khubaib kan suka masuk Syurga."

Panjang bebel Ummi.

Laluan Yang Panjang

Alhamdulillah, semalam genap Khubaib Adi 4 tahun.

Fathimah Raudhah pun dah usia dua tahun bulan 12 yang lalu.

Anak-anak sudah semakin membesar.

Masih teringat, ketika Khubaib masih kecil dan hanya boleh merangkak dahulu, Ummi menjaganya dan tinggal bersama kawan-kawan serumah.

Sebelum Subuh jika Ummi di bilik air, jika ada ketukan di pintu, biasanya itulah Khubaib Adi merangkak dari tilam dan ketuk pintu bilik air. 

Tak menangis pun.

Banyak coretan suka duka jaga Khubaib Adi. Jadi, apabila Khubaib lebih manja daripada Fathimah, Ummi faham.

Fathimah, banyak bermanja di rumah dengan Ummi. Tak pernah tidur bermalam tanpa Ummi. 

Tetapi Khubaib lalui hari-hari berjauhan dari Ummi semenjak Khubaib keluar dari perut Ummi dan masuk NICU. 

Tunggu Ummi pulang malam dari tempat belajar di UTM sampai tertidur di rumah Ibu pengasuhnya.

Sanggup bangun malam dengan muka gembira teman Ummi tulis tesis 2-3 pagi. Dan terpaksa Ummi tutup laptop lepas tu. 
 
Jika pergi kedai makan, makan bersama rakan serumah, ada saja pekerja kedai makan yang sanggup tolong jagakan Khubaib sewaktu Ummi makan.

Khubaib seorang yang lebih mudah tersentuh dan lebih sensitif. Maafkan Ummi ye sayang, jika dulu Ummi marah Khubaib tanpa kira perasaan Khubaib yang masih belum matang.

Mendidik dan Dididik Untuk Hebat

Sekarang, apabila Khubaib marah, Ummi pun dia tak nak.

"Khubaib dah tak nak dah Ummi." Sambil menitiskan air mata.

Tetapi bila dah tenang, dah minta maaf dengan Ummi, barulah Ummi ingatkan kembali cita-cita Khubaib tu.

"Kata Khubaib nak jadi manusia hebat, kenalah sabar. Nak masuk Syurga kena sabar. Tak mau lah asyik marah je."

Selamat hari lahir Khubaib Adi. Terima kasih menjadi anak Soleh Ummi. Dan bercita-cita untuk jadi manusia hebat seperti Nabi Muhammad s.a.w.

~Terima kasih Cikgu bagi hadiah Khubaib~


Ummi pun perlu banyak belajar sabar sebagai ibu, anak dan hambaNya.  Mendidik dan dididik untuk jadi manusia hebat seperti baginda Rasulullah s.a.w.

Mar 17, 2019

Diancam: Ada Allah Itu Pasti


~Saat rasa hidup buntu, saat diancam, saat nyawa di hujung tanduk, ada Allah itu pasti pada siapa yang percaya pada-Nya~

"Dan sekali-kali engkau menyangka mereka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.:
(Ali- 'Imran; 3:169)

Sewaktu kecil, saya tidak suka melihat visual peperangan terutama saat insan yang tidak bersalah diperlakukan dengan kejam. Sewaktu di universiti, ketika lazimnya tayangan berkenaan saudara-saudara Muslim di Palestin diperlakukan dengan kejam, saya akan mengelakkan diri daripada melihatnya.

Bukan kerana saya tidak mahu ambil tahu, tetapi hati rasa bagai dirobek ketika melihatnya.
Saya hanya mampu melihat tetapi saya tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Rasa sangat helpless.

Lama kelamaan saya belajar menjadi Muslim yang lebih baik, bahawa menjadi Muslim, saya ada Allah yang Maha Hebat. Dan Allah memberi saya senjata doa yang lebih baik daripada segala kebendaan terutama apabila kita berdoa dengan sepenuh hati membulat pada Tuhan.

Tiada istilah helpless dalam hidup. Sebab Allah itu sentiasa ada. Bak kata salah seorang pensyarah sewaktu di UIAM dulu, katanya 'Allah is very near, at your jugular vein.' Selalu saya ingat pesan itu.

~Hasbunallah wa nikmal wakeel, fa nikmal maula wa nikman naseer~ 


Kesaksian-Nya di Bumi New Zealand

Hari ini di saat dunia dikejutkan dengan serangan keganasan di dua Masjid di New Zealand, sewaktu musuh-musuh Islam bersorak gembira dengan tumpahnya darah di rumah ibadah, mereka melihat ia suatu kemenangan dan kematian yang sia-sia.

Dan Allah menjadi saksi.

Ketika musuh-musuh tanpa kemanusiaan meraikan kehebatan mereka menunjuk kepada dunia dengan anggapan boleh mengancam dan menakutkan umat Islam, mereka silap besar.

Kerana Allah menggantikan anggapan ketakutan itu dengan kesatuan hati umat islam dan peringatan kepada mereka untuk kembali mengharap pada Tuhan.

Umat Islam tidak akan pernah merasa helpless selagi Allah itu ada.

Kalau umat Islam hari ini ibarat anak kecil yang leka bermain dan ditakutkan, percayalah ia akan kembali mendapatkan ibu atau bapanya.

Semalam, esok dan hari ini
Apabila kamu tiada siapa
Allah tetap ada menjaga
Apabila kamu merintih pedih
Allah dengar kamu bersedih

Kasih Allah lebih dari sang ibu
Sentiasa mendakap dan mendapatkanmu
Saat esak atau sendu
Allah di sisi selalu

Hasbunallah wa nikmal wakeel, fa nikmal maula wa nikman nasir.

"...Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung."
(Ali-Imran; Ayat 173)

Semakin umat Islam ditakutkan dan diancam, mereka akan semakin dekat kepada Tuhan.
Satu fakta yang tidak didapat dimengerti oleh musuh-musuh agamaNya.

~Semoga Allah terus mengikat hati-hati kita dengan keimanan dan kasih sayang~

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino