::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Apr 18, 2019

Tahniah! Anda Ditimpa Musibah...


Draf entri ini mula ditulis pada 14 haribulan April lalu, tetapi semenjak Fathimah Raudhah kurang sihat sejak beberapa hari lalu, tak tertaip pun sampai habis entri ini. Sebab anak bongsu ni clingy dan manja berlipat ganda bila kurang sihat.

Bukan Salah Entri

"Tahniah! Kerana anda ditimpa musibah"; macam pelik je bunyinya.

Kenapa bukan takziah?

Tahniah kerana anda ditimpa musibah menunjukkan anda sedang disayangi Allah.
 
Tahniah, apabila anda ditimpa musibah dan anda terus bersabar dari mula hingga akhirnya.

~Tahniah, anda ditimpa musibah dan anda bersabar!~

Merupakan perkongsian daripada "me-time" dengan tautan hati bulatan gembira saya minggu lalu. Sewaktu tekanan sedang memuncak, Allah hadirkan titipan kesabaran ini melalui sahabat-sahabat tautan hati.

Baiknya Allah yang Maha Mendengar yang Maha Memujuk hamba-Nya.

Ganjaran Musibah Beserta Kesabaran

Apabila kita dilanda musibah, kita tertanya-tanya bilakah agaknya musibah ini bakal berakhir.

Bilakah ia akan digantikan dengan kegembiraan dan kebahagiaan?

Namun, sebenarnya Allah sedang menghitung pahala atas setiap kesabaran yang kita terapkan dalam jiwa sewaktu menghadapi musibah ini.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah ayat 155-156 bahawa:

"...Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata, 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Dan selepas Allah beritahu tentang khabar gembira pada orang-orang yang sabar, Allah cerita pula ganjaran yang menanti mereka dalam ayat seterusnya; ayat 157 Surah Al-Baqarah:

"Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk hidayahNya."

Apabila manusia bagi sebuah hadiah pada kita, kita rasa bahagia sepanjang hari. Teringat-ingat kebaikannya. Inikan pula Allah nak bagi hadiah kebaikan bukan satu bahkan "berbagai kebaikan dan rahmat" pada hambaNya. 

Setiap musibah datang sesuai dengan jiwa setiap hamba-Nya. Musibah bukan datang secara generalised tetapi individualised. Ia bukan seperti standardised examination yang dipukul sama rata untuk semua orang. Setiap musibah itu unik. Ibarat anak panah yang dilepaskan mengenai sasaran dengan cara yang tepat, waktu yang tepat dan kedalaman yang tepat. 

The trial is perfectly designed for each and every soul. 

Cuma mungkin hikmahnya belum terlihat ketika kita sedang diuji.

Insyaallah, hikmah ujian dan musibah akan tersingkap setelah masa berlalu. Waktu itulah kita sedar dan rasai nikmat kebaikan dan rahmat yang Allah beri yang mungkin kita tidak rasa sebelumnya. 

Bak kata omputih, let time heal your pain.

~Cara Allah mengangkat darjat hamba-Nya~


Anugerah Ibu Ayah

Bagi yang masih ada ibu dan ayah yang masih hidup, apabila tertekan atau dilanda musibah, selalulah luangkan masa dengan mereka. Telefon bagi yang jauh atau ziarah bagi yang dekat.

Insyaallah ada keberkahan di sana dari Allah untuk kita.

Saya juga belajar begitu apabila dah dewasa ni. Tetapi lazimnya bukan cerita masalah tetapi sekadar tanya khabar, dengar cerita mereka. Jika ingin dengarkan nasihat ibu ayah pun boleh, tiada salahnya. 

~Terima kasih Tuhan yang Maha Mendengarkan, yang Maha Mengetahui, yang Maha Memujuk hati~
 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino