::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Oct 23, 2020

Sisi Taubat Nasuha Yang Baru Saya Tahu


~Bertaubat sebelum terlambat. Taubat adalah keperluan harian, kerana setiap hari kita perlukan Tuhan~

Kita bukan macam zaman umat terdahulu, berbuat ingkar, tiada lagi esok buatmu. Kita buat salah dan silap, Allah tetap beri kita rezeki. Kita buat dosa pada Allah dan makhluknya, Allah tetap beri kita bermacam nikmat hidup di dunia. Nikmat manakah yang kita ingin dustakan? Sebelum datang esok Hari Penyesalan, hari inilah kita mulakan taubat sebelum rugi kemudian hari. Masa tidak akan dapat diundur, hidup mendapatkan bekal di dunia pun hanya sekali. 

Allah s.w.t berfirman:

"Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya (nashuha). (At-Tahrim:8)

Merutinkan Buku Dalam Hidup Serba Virtual 

Dalam mengharungi kesibukan kehidupan sehari-hari, ada di antara kita mengisi masa lapang kita dengan tengok youtube, facebook, instagram, tik tok dan bermacam-macam lagi. Tidak dinafikan ada mesej-mesej kebaikan daripadanya yang boleh diambil iktibar dan ilmu pengetahuan, ada juga sebaliknya. Media sosial hanya alat. Kitalah yang menilai dan memilihnya. Teringat pula tajuk popular debat zaman sekolah dulu; 'Internet membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan.'  

Jadi, bagi diri saya sendiri nak baca bahan-bahan ilmu pengetahuan bercetak ni memang satu cabaran. Sebab cabaran kadang-kadang sibuk, lupa, terlebih masa tengok internet ataupun asyik terlelap apabila membaca tak sampai satu helai pun buku. Jadi, untuk mengatasi masalah ni, macam-macam juga saya buat seperti bawa buku untuk dibaca dalam kereta (baca bila kereta berhenti), dan yang terbaru saya guna Pomodoro Timer. Alhamdulillah untuk saya ia agak berkesan, insyaAllah mungkin lain entri saya kongsi tentang kaedah Pomodoro ni. 

Disebabkan saya suka tukar-tukar bahan bacaan (dalam 2-3 genre buku untuk selang dibaca), jadi ambil masa agak lama nak habiskan. Sekarang masih baca buku sirah, kewangan dan penyucian jiwa. Tapi sebab saya target bukan untuk kejar deadline, cuma berharap ia dapat diserap dan dihadam oleh hati. Semoga memperbaiki amalan diri. Tapi tentang konsistensi bacaan tu memang perlu saya baiki. 

Penyucian Jiwa: Taubat Nasuha

Buku Hati Sebening Mata Air tulisan Amru Khalid masih lagi dalam bacaan saya. Membaca bab taubat, langsung sampai saya ke subtopik taubat nasuha. Taubat nasuha yang saya faham dan biasa dengar dan baca adalah taubat yang dilakukan secara bersungguh-sungguh, dengan sepenuhnya. Erti taubat ini juga turut disebut oleh Amru Khalid sebagai taubat syamilah (taubat dengan menyeluruh). 

Erti taubat yang kedua ini adalah sisi taubat nasuha yang tidak saya ketahui. Iaitu nashuha berasal dari perkataan nashihatu (nasihat). Maksudnya ia akan menasihati pemiliknya. Saya ambil kata-kata Amru Khalid di sini:

"Ingatkah hari ketika kita bertaubat? Ingatkah saat kita di masjid mendengarkan pelajaran taubat, lubuk hati kita berkeinginan untuk bertaubat? Setiap kali kita bermaksiat, kita akan berkata, 'Tidak, aku ingat taubatku.' Taubat nasuha akan selalu menasihati sang pemilik setiap kali ingin berbuat dosa."
~Allah Yang Maha Penyayang Maha menerima taubat hamba-hambaNya~

 Taubat Untuk Semua

Kita adalah pendosa. Jika bukan dosa besar yang kita lakukan, mungkin kita ada melakukan kelalaian dan kesilapan-kesilapan seperti melalaikan atau melambatkan solat, mungkin ada bersangka buruk, meninggikan ego dan pelbagai lagi kesilapan kita dalam hidup ini yang padaNya kita memohon ampun agar taubat kita diterima. Aib dan kelemahan kita jika tiada orang yang tahu, hanya kerana Allahlah yang telah menutup diri kita dari terlihat aib. Besar dan luasnya rahmat dan kasih sayang Allah. 

Taubat untuk merendahkan diri kita di hadapan Allah. Kita hanya hamba, jauh dari sempurna. Bertauladankan akhlak Rasululah dan panduan Al-Quran, kita menampal lompong-lompong kelemahan pada diri ini. 

Semoga Allah istiqamahkan kita dalam menjadi hamba-hamba-Nya yang sentiasa berusaha memperbaiki diri ke arah kebaikan, insyaAllah. 

~Sedangkan Rasulullah setiap hari memohon keampunan dari-Nya, kita pula bagaimana? Ikutilah bisikan hati untuk bertaubat pada Ilahi~

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino