~Anak-anak adalah permata. Untuk bersinar, ia perlu digilap. Bukan sekejap, tetapi berkali-kali dan berterusan. Itulah proses didikan~
Setiap anak-aak ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Sebagai ibu bapa, kena yakin setiap anak-anak ada potensi cuma tinggal perlu digilap saja. Kalau di Barat, ada teori Multiple Intelligence atau Kepelbagaian Kecerdasan oleh ahli psikologi, Howard Gardner tahun 1983 yang mengatakan bahawa setiap manusia mempunyai pelbagai kecerdasan. Ada yang berbeza kekuatan potensi dari seorang individu kepada individu yang lain. Sedangkan dalam Al-Quran Tidak ada manusia yang diciptakan oleh Allah di dunia ini dilahirkan 'bernasib malang' atau tidak mempunyai potensi diri dan kecerdasan seiring dengan firman Allah:
"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya."
(Surah At-Tin; 95:4)
Khubaib dan Fathimah ada kelebihan dan kekurangan yang berbeza. Alhamdulillah, Khubaib ringan tulang mengerjakan solat 5 waktu. Waktu sekitar umur 4 tahun lebih bermula waktu PKP, mula-mula hanya ajak Khubaib solat bersama. Lama-lama dia suka solat sama-sama. Hingga satu hari, kalau tak ajak dia solat bersama, Khubaib akan merajuk. Termasuklah solat Subuh, kalau tidak dikejut solat Subuh, marah betul dia pada Ummi. Jadi, semenjak itu Khubaib solat 5 waktu hingga sekarang.
Fathimah pula lebih suka dengan Al-Quran sejak kecil. Kalau mathurat Ummi tu selalu hilang dari tempat asalnya, rupa-rupanya dia buat baca di ruang tamu, di bilik dan di mana-mana yang dia suka. Kalau ajar Iqra' waktu kecil, bila Ummi kata okay dah sudah, Fathimah pula sibuk nak baca lagi.
Allah jadikan anak-anak ini saling lengkap melengkapi. Khubaib akan selalu ajak adiknya Fathimah solat bersama. Fathimah pula akan ajak abangnya untuk baca Iqra' bersama.
"Amami nak baca Al-Quran." kata Fathimah.
"Khubaib nak baca esok jelah." kata Khubaib.
"Amami nak baca sekarang." Fathimah kata sambil mula merengek.
"Yelah, yelah." Khubaib mengalah.
Macam itulah anak-anak. Ada sikap toleransi dan saling melengkapi.
Solat Tanpa Ummi
Kadang-kadang terfikir juga, kalau Ummi mereka tak bersama dengan mereka, adakah anak-anak boleh solat sendiri?
Suatu hari beberapa bulan lalu, anak-anak dan Abi mereka balik ke rumah nenek selama 2 hari. Disebabkan Ummi ada kerja urgent yang perlu disiapkan, maka Ummi tinggal di rumah saja.
Waktu tu, Ummi mula risau sebab Abi mereka akan solat di masjid. Jadi, risau juga jika tiada siapa nak pantau dan ajak anak-anak solat. Mungkinkah mereka akan terlupa nak solat nanti?
Jadi, malam itu selepas Isyak, Abi memberi laporan tentang anak-anak pada Ummi. Terkejut juga sebab kata Abi, nenek ceritakan tentang anak-anak solat jemaah sama-sama bila telah masuk waktu.
Allahu, terus hiba rasa hati. Sebagai ibu, hanya mampu usaha mendidik anak-anak dan berdoa seperti doa Nabi Ibrahim agar dikurniakan anak-anak yang soleh dan zuriat keturunan yang mendirikan solat. Sesungguhnya yang pelihara anak-anak adalah Allah.
Pembungkus
Ummi sendiri pun masih bertatih untuk memurnikan ibadah kepada Allah. Mendidik anak-anak ibarat mendidik sendiri. Nak solaat tepat waktu, nak solat khusyuk, semua itu masih menjadi continous struggle untuk diri sendiri. Kadang-kadang, anak yang ingatkan Umminya.
~Anak-anak adalah cerminan diri. Semoga permata yang digilap insyaAllah akan terus bercahaya dalam rahmat-Nya disamping ibu bapa yang terus memperbaiki diri~