::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

May 19, 2025

Memaafkan: Kisah Kentang Busuk


 ~Ya Allah, aku lupa yang hati ini sebenarnya milik-Mu dan aku hanya memegang amanah sekeping hati ini hingga sampai nanti aku pulang semula kepada-Mu.~

"Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang rida dan diridai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku."
(Q.S. Al-Fajr [89]: 27-30)


Perang Dua Sisi

Entah kenapa seminggu dua ni, setiap kali ceritera tentang memaafkan singgah dan lalu. 
Saya pasti ia bukan sekadar kebetulan atau pun algoritma melainkan algoritma itu jugalah adalah sebahagian ilmu Allah yang benar. 


'Ah, mudah nak cerita tentang memaafkan. Engkau tak duduk tempat aku, senang cakap.'

'Memang boleh memaafkan, tapi aku tetap nak dia dihadapkan depan Allah atas setiap satu perbuatannya' 

'Aku manusia, aku berhak marah, aku berhak sedih, aku terluka sebab aku manusia. Aku bukan malaikat.' 

Dan setiap kali monolog tentang memaafkan itu berlawan dan berperang dengan diri sendiri. 

Antara dua sisi. 


Dan setiap kali itu ada air mata yang berlinang dan menitis memikirkannya.


Di satu sisi, ada kata-kata lain yang menyelinap masuk. 

'Kita lepaskan rasa benci dan marah itu, kita maafkan dia bukan untuk dia. Tapi kita maafkan dia untuk kita.' 

'Kita nak hadap Allah satu hari nanti dalam keadaan jiwa yang tenang, bukan dalam keadaan hati yang masih ada amarah pada lainnya'. 

Dan timbang tara termasuklah  penglibatan AI yang tidak bertauliah namun nasihat dan kata-kata yang boleh menjadi doa anjuran daripadanya yang sangat membekas di hati,

“Aku lepaskan semua beban, kekecewaan dan kegelapan yang terikat padaku kerana dia. Aku tidak mahu menyimpan benci ini kerana ia bukan lagi sebahagian daripada takdirku.”


Dan kata-kata ChatGPT ni terus mengingatkan diri ini tentang kisah kentang busuk. 


Kisah Kentang Busuk

Ini adalah kisah wajib yang biasa saya ceritakan dalam kelas semasa sesi rehat sebentar sewaktu menjadi pensyarah dahulu. Sewaktu itu, beban luka itu belum dalam. 
Dan rasanya kisah ini pernah saya ceritakan dalam blog ini suatu ketika dahulu. 

Saya minta anak-anak murid pejam mata dan bayangkan nama-nama orang yang mereka benci. Jika ada, kira berapa orang (dalam hati saja). 

Dan sekarang berdasarkan berapa orang yang dibenci, bayangkan ambil kentang (mengikut jumlah orang yang dibenci). 

Mulai sekarang, bayangkan setiap hari kita perlu membawa kentang-kentang tersebut ke mana saja.  

'Berat tak?' saya tanya. 
'Kalau dah seminggu, sebulan, setahun kentang tu dibawa, busuk tak?' tanya saya lagi. 

'Rasa terbebankan, bau busuk kan. Dah kalau terbeban bawa ke sana ke mari, kenapa tak buang je kentang tu?'



Dan soalan itu saya refleksi diri sendiri. 

Allahu. Lemahnya saya tanpa Dia. 

Jika dalam bekas hati ini masih tidak saya lepaskan elemen negatif ini, maka tidak ada tempat kosong untuk yang baru (elemen positif) dan lebih baik darinya mengisi ruang bekas hati ini. 

~tak perlu simpan, memenuhkan ruang je~

"Ya Allah, Engkau Maha Membalas dan Maha Menyembuhkan. Aku tidak ingin lagi membawa apapun dari namanya, wajahnya, ataupun kesakitannya. Aku kembalikan semuanya kepadaMu. Cukupkan aku dengan kasihMu dan hadirkan aku kepada yang lebih baik, tenang, dan benar untuk diriku dan anak-anakku."

~Sekiranya ini adalah petunjuk dan bimbingan-Mu, aku redha ya Allah. Dan jadikan aku kembali kepada-Mu dalam keadaan yang Kau redhai.~

May 12, 2025

Hafazan: Tercapai Satu Batu Penanda


 ~Dari jauh, Ummi tetap doa Allah pelihara zuriat keturunanku~

Walaupun Ummi jauh daripada anak-anak, Ummi masih lagi kena ambil tahu tentang sekolah anak-anak, terutama guru hafazan sekolah memang minta ibu bapa pantau hafazan anak-anak di rumah. 

Jadi, biasanya setiap hujung minggu Khubaib akan menghafaz dan rakam serta hantar video tersebut kepada guru hafazan. 

Memang biasanya bukan mudah nak anak-anak menghafaz. 

Bukan senang ye. Bukan ibarat, "Khubaib, jom hafaz Al-Quran."

Dan jangkaan mereka menjawab, "Ya baik, Ummi."

.............

Tapi macam-macam ujian. Ada masa tarik muka masam, ada masa kata susahlah nak hafaz ayat ni, ada masa kata panjang sangat ayat ni. 

Dan anak ni tak boleh menghafaz seorang, perlu 'companion' iaitu ibu atau bapa yang menghafaz bersama. 

Biasanya saya akan guna teknik faham ayat yang dihafaz dengan tengok terjemahan ayat Al-Quran. Sebab saya sebagai ibu, saya juga bukan 'hafizah'. Juz Amma dulu yang kami kena hafaz waktu UIA pun dah lama tak mengulang semula. Allahu. 

Bila pula nak kena ulang ni ye. Kena muhasabah diri balik, buat pelan tindakan. 

Anak-anak bukan robot, untuk kita setakat suruh dia baca, buat, tanpa kita beri panduan atau 'guide'. Sebagai 'guider', kita bukan hanya bagi panduan dan suruh dia jalan sendiri. Tetapi kita kena jalan bersama dengan dia. 

Ibarat kalau nak panjat gunung kan, bayangkan kalau 'guider' bagi panduan kat kaki gunung je, lepas tu pepandailah kita nak naik sendiri, tak ke haru? 

............................

Ada masa pernah waktu malam Khubaib tak mahu pergi sekolah kebangsaan sebab tak hafal sebaris hadith. Waktu ni Ummi masih lagi tinggal di Mersing. Ummi minta Khubaib tunjuk mana yang perlu dihafal. 

"Lah, ini je." Kata Ummi pada dia. Adalah dalam lebih kurang 10 patah perkataan. Hadith yang perlu dihafal dalam bahasa Arab dan terjemahan Bahasa Melayu. Tapi drama dia sampai tak nak pergi sekolah. 

Alhamdulillah, syukur dulu zaman matrik UIA, memang kena hafal macam tu. 

Jadi, dalam menangis dia tu, Ummi tenang je. Ummi pun ajar terjemahan setiap perkataan di samping menghafal yang bahasa Arab tu. Itulah cara Ummi dulu kalau nak menghafaz. Ummi tak pandai nak hafal kalau tak faham makna perkataan. 

Habis mengajar dan mengulang dalam masa 10 minit, Alhamdulillah Khubaib dah boleh menghafal, Dah gembira nak pergi sekolah esoknya. 

Di akhir tu, Khubaib kata "kenapa dengan Ummi, Khubaib macam senang je hafal ni?"
Semuanya datang daripada Allah swt, Alhamdulillah. 

................................

Terinspirasi dengar Podcast Yousaf dan Qawiyaro tentang pentingnya ibu bapa untuk minat dengan Al-Quran sebelum menghantar anak-anak untuk jadi penghafaz Al-Quran. 

Alhamdulillah, barakallah Muhammad Khubaib Adi, pada usia 10 tahun berjaya menghabiskan hafalan juzuk ke-30 pada bulan lepas. Sedih dan terharu Ummi. 

Cuma Ummi belum mampu nak semua apa yang Ummi impikan nak buat pada anak-anak. Nak anak-anak hari-hari baca Al-Quran bersama, dulu Ummi mampu buat waktu tengah hari. Tapi sekarang bila Ummi takde di sisi, Al-Quran pun baca hanya di sekolah je. Sedih Ummi. 

Hanya minta Allah pelihara dan jaga anak-anak Ummi dari jauh. 

Ummi sekarang masih dalam proses reset semula Ali yang dah mula tinggal dengan Ummi. Apabila Ummi takde bersama anak-anak, anak-anak tidur tak tentu masa. Selalu anak-anak yang bercerita apabila jumpa Ummi hujung minggu. Sebulan lebih ni, kebanyakannya Khubaib yang cerita, Khubaib tidur pukul 1 pagi, 2 pagi sebab main game dengan Ali. Ali pula sampai 4 pagi baru tidur sebab layankan laptop dia. 

Biasa ada Ummi, memang anak-anak disiplin. Waktu memula Ali tinggal dengan Ummi minggu ni pun, Ali marah-marah nak tengok cerita ketika dah jam 12 malam. Puas Ummi pujuk untuk tidur. Ada sekali minggu ini, Ali terbangun jam 3 pagi dan minta tengok cerita. Baru sebulan setengah takde Ummi, haru biru hidup anak-anak Ummi. 

Alhamdulillah, dah habis seminggu ni, waktu Ali tidur dah kembali normal jam 11 malam tu dah mula mengantuk atau dah tidur. 

Syukur pada Allah. 

Mohon agar sesiapa yang membaca entri ini, doakan Ummi dapat jaga semula anak-anak, dan didik mereka dengan lebih baik. Sayang sangat dengan mereka. 

“Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami istri-istri dan keturunan kami sebagai penyenang hati, dan jadikanlah kami imam (pemimpin) bagi orang-orang yang bertakwa.” (QS. Al-Furqon: 74)



May 3, 2025

Saham 'Malas'


Dua minggu lepas perasan Ali yang 4 tahun, dah mula guna perkataan malas. 
"Tak nak. Ali malas." 
Tarik nafas panjang Ummi. 

Waktu itu memang Ummi tekad nak hentikan cycle ni. Ummi yakin ambil Ali tinggal bersama minggu ini keputusan yang terbaik, insya Allah. Susah pun takpelah. Insya Allah, Allah ada. 

Khubaib selalu juga guna perkataan 'malas' tu sebagai cara dia 'menjawab' dengan orang yang melukakannya menggunakan perkataan itu juga. Tapi dia tidak pernah menjawab lagi macam tu dengan Ummi. Ummi tahu, dia terluka dan dia sengaja melukai semula. 

Tapi kali ni, Ali pun dah terikut sekali. 


Solusi Sementara 

Semalam, Ummi cakap dengan Khubaib, "Khubaib, lepas ni Ummi tak mau dengar Khubaib cakap perkataan 'malas' lagi. Kalau Ummi dengar, Khubaib kena istighfar 300 kali." 
.
"Banyaknya, Ummi. 100 boleh?" Khubaib cuba nego dengan Ummi. 

"Tak boleh, sebab Ummi nak Khubaib ingat. Lepas tu, Khubaib akan berhati-hati." 

Jadi, malamnya, Khubaib tersebut lagi perkataan tu. Dan ambil tasbih sambil sebelum tu bertanya. 

"Kenapa 300 Ummi?" Sambil muka tak puas hati tu tanya. 

"Sebab Ummi tak nak Khubaib biasakan sebut perkataan 'malas'. Kata-kata tu akan jadi mindset kat Khubaib. Khubaib pun jadi malas sebab asyik sebut perkataan tu. Khubaib nak ke jadi orang malas, esok dah besar jadi suami malas pula. Lepas tu didik orang lain jadi malas. Sampai keturunan seterusnya malas. Dah masuk kubur pun, saham didik malas tu tetap ada. Khubaib nak ke jadi macam orang tu?" Panjang pula Ummi explain

Khubaib diam. Akur. Ummi tahu dia sedang hadam dan faham. 
Khubaib jenis banyak bertanya. Perlu penjelasan. Tak semua mampu didik anak macam ni. 

Kalau jenis malas layan atau explain, Khubaib rasa dia diabaikan, tak dilayan.

Buat sementara , itulah solusi yang Ummi mampu beri. Insya Allah, Allah permudahkan segala urusan untuk anak-anak Ummi, semoga membesar jadi anak Soleh dan Musleh. 




~Semua doa Ummi langitkan, dengan sedar sepenuhnya keterbatasan diri ini. Insya Allah, semoga Allah hadirkan solusi yang lebih baik~
 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino