::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Apr 18, 2010

Tuliskan Ia Di Hati



~Alangkah indahnya hidup ini andai hanya segala yang indah saja yang menjadi ingatan~

Kehidupan adalah satu pentas ujian. Ada ujian yang berbentuk kesakitan, dan ada juga nikmat yang berupa ujian buat manusia.

Dalam hidup ini, kita bertemu ramai manusia yang mungkin silih berganti datang dan pergi, ataupun mungkin menjadi teman sejati kita selama-lamanya hatta hingga ke syurga.

Tiada ukhuwwah yang sentiasa indah dan tidak diuji. Pelangi tidak terbentuk tanpa ada hujan renyai sebelumnya. Ada manis dan ada pahitnya.

Namun, kitalah manusia. Sering cepat melihat satu titik hitam di atas kertas putih yang bersih. Kita lupa melihat banyaknya ruang yang masih putih.

Begitu juga ibaratnya dengan orang di sekeliling kita. Kita sering melihat sebaris catatan kesalahan mereka berbanding berhelai-helai kebaikan mereka kepada kita.

Hargailah mereka yang pernah hadir dalam hidup kita, kerana setiap kehadiran mereka di dalam hidup ini pasti memberi makna dan hikmah yang tersembunyi.

Ia pasti memberi kelapangan dan kebahagiaan pada sekeping hati.

~Moga setiap kesalahan itu ibarat tertulis di atas pasir, ditiup angin lalu mahupun dibawa ombak biru. Moga setiap kebaikan seperti dipahat di atas batu, dan kekal terus dikenang selalu.~

Apr 15, 2010

Allah Itu Dekat




"Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa' apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi perintah-Ku dan beriman kepada-Ku, agar mereka beroleh kebenaran."
(Al-Baqarah; 2:186)


~Allah itu dekat. Kita sentiasa berada dalam pandangan-Nya.~

Apr 4, 2010

Dinding Hati Bersimen Baru




Alhamdulillah, baru selesai hantar 'report research finding' hari ini. Sangat memenatkan. Masih ada tugasan lagi yang berbaki. Esok, menghantar 'slide research presentation' dan kemudian lusa tiba waktu membentangkan projek kajian tahun akhir ini. Semoga semua berjalan lancar. Di kesempatan hari-hari yang berlalu, sempat juga menaip sesuatu. Semoga cerita 'Dinding Hati Bersimen Baru' ini dapat memberi iktibar dan manfaat bersama.


Dinding Hati Bersimen Baru
(1)

Bilik 413 meriah. Nasi beriyani buatan ibu Insyirah dimakan penuh selera. Khalisa, Hani dan Hajar memuji-muji keenakan nasi beriyani Johor yang dibawa pulang dari rumah Insyirah. Afra yang tinggal di bilik bersebelahan turut dijemput memeriahkan suasana. Baru saja tiba membawa bersama pinggan dari biliknya.

"Insyirah, mana Uzma? Tak ajak sekali ke?" Afra yang baru tiba memaculkan soalan.

"Dah pergi kat bilik dia tadi. Berkunci." Insyirah membalas.

"Khalisa, awakkan sahabat baik dia. Takkan tak tau mana dia pergi?" Afra bertanya lagi.

"Entah." Khalisa menjungkit bahu. Wajah Afra tidak dipandangnya. Hajar dan Insyirah berpandangan sesama sendiri.

(2)

Air tasik yang tenang itu sesekali berkocak. Mungkin ada ikan atau hidupan yang hidup di habitat itu yang mengocaknya, atau mungkin juga sesekali tiupan angin kuat menggetarkan zarah-zarah cecair. Khalisa duduk berseorangan di hujung tasik. Bertemankan burung-burung yang berterbangan rendah sambil dia menyaksikan panorama mentari terbenam di ufuk barat.

"Seorang je?"

"Allahuakbar!" Khalisa tersentak. Terkejut dengan kehadiran Insyirah yang tidak disedari.

"Assalamualaikum. Maaf, maaf." Insyirah tertawa kecil.

"Waalaikumsalam. Tau je awak saya kat sini." Khalisa mengalihkan sedikit kedudukannya ke bahagian tepi bangku. Memberi ruang duduk pada Insyirah.

"Inikan tempat 'favourite' awak."

Kedua-dua mereka diam seketika. Menikmati keindahan alam ciptaan-Nya.

"Awak tau tak kenapa kita makin tak nampak matahari tu?" Insyirah memecah sunyi.

"Sebab matahari tenggelam." Cepat Khalisa meneka.

"Kurang tepat, lagi?" Insyirah menggeleng-gelengkan kepala.

"Awak nak jawapan saintifik ke sastera?"

"Baiklah, kita sekarang berada pada satu titik bumi yang sedang berputar. Apabila pandangan kita ditutup oleh permukaan bumi yang sedang berputar pada paksi yang menjauhi matahari, matahari akan hilang dari pandangan. Matahari kelihatan tenggelam, kita semakin kegelapan. Awak dan Uzma, okay?"

Khalisa memandang tepat wajah Insyirah.

"Tadi cerita fasal matahari, sekarang Uzma pulak. Apa kaitan?"

Insyirah mengukir senyum.

"Saya harap sangat awak dan Uzma berbaik semula. Saya tak rasa gembira bila awak dan Uzma berkelahi."

"Tak berkelahi pun. Biasa je." Khalisa mengalihkan pandangan ke tasik.

"Saya rasa awak dan Uzma salah faham."

"Saya salah faham?" Suara Khalisa sedikit berubah.

"Ikhlas itu umpama semut hitam di atas batu hitam dalam kelam malam, Insyirah." Sambung Khalisa.

"Mungkin dia emosional masa tu. Khalisa, apa yang penting sekarang bukan siapa yang salah. Berbaiklah semula. Bermaafanlah."

"Insyirah, hati saya ni dah macam dinding yang kena paku. Paku dah dicabut, tapi kesannya masih ada. Cukuplah Insyirah. Saya tak mahu cerita fasal ini lagi." Ada rasa sebak yang muncul di dadanya.

"Khalisa, apabila kita tutup ruang kita pada sesuatu, kita akan rasa sempit. Rasa sempit dan gelap kerana kurang ruang cahaya yang masuk ke hati kita. Awak fikirkan ya? Kalau awak tak mahu berbaik dengan dia kerana dirinya, berbaiklah dengan dia kerana Allah. Bukalah kembali ruang tu."

Khalisa diam membisu.

(3)

Insyirah yang sedang sibuk membuat 'assignment'nya tersenyum sendiri mengenangkan pertemuannya dengan Khalisa di surau, Maghrib tadi.

"Insyirah, tolong bagi Uzma ye." Khalisa menghulurkan kotak kecil kepada Insyirah.

Insyirah terpaku. "Betul ke ni?"

"Yelah." Jawab Khalisa. Tersipu-sipu.

"Hati awak macammana?"

"Alhamdulillah, dah makin lapang. Makin banyak cahaya masuk. Dinding hati pun saya dah simen baru."

Kedua-duanya tertawa kegembiraan.

~Semoga Allah sentiasa memberi cahaya petunjuk-Nya menerobos ke ruang hati.~
 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino