::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Feb 28, 2011

Ada Kalanya, Ada Waktunya


~Ada kalanya kita lemah, ada waktu sebaliknya. Namun, ingatlah tiada waktu Allah itu tidak bersama kita. Setiap saat tidak pernah Dia tiada.~



(Al-Isra'; surah ke-17)
61. "Dan (ingatlah), ketika kami berfirman kepada para malaikat, "Sujudlah kamu semua kepada Adam," lalu mereka sujud kecuali iblis. Ia (iblis) berkata, "Apakah aku harus bersujud kepada orang yang Engkau ciptakan dari tanah?"
62. "Ia (iblis) berkata, "Terangkanlah kepadaku, inikah yang Engkau lebih muliakan daripada aku? Sekiranya Engkau memberi waktu kepadaku sampai hari kiamat, pasti aku akan sesatkan keturunannya, kecuali sebahagaian kecil."
63. 'Dia (Allah) berfirman, "Pergilah, tetapi barangsiapa  di antara mereka yang mengikuti kamu, maka sungguh, neraka Jahannamlah balasanmu semua, sebagai pembalasan yang cukup.'


Ada kalanya kau merasa penat membuat kebaikan,
Ingatlah pahalanya sentiasa berkekalan.

Adakalanya dirimu sangat-sangat inginkan kerehatan,
Ingatlah kerehatan dunia adalah sementara.
Yang dikejar adalah kerehatan selamanya di syurga.

Adakalanya kau merasa lemah tak bermaya,
Maka pohonlah kepada Allah, Tuan empunya jiwa,
Dia Maha mendengar setiap doa dan kata-kata,
Moga dikurnia kekuatan hati yang luar biasa.

Adakalanya kau melihat dunia itu mempesona,
Dari kaca mata pandangan manusia fana,
Namun, berjihadlah daripada kata-kata nafsu dan suara syaitan yang menggoda,
Yang perlu diturut adalah pandangan Yang Maha Kuasa,
Berlarilah kepada-Nya untuk akhirat yang kekal selamanya.

Berdoalah sepenuh hati kepada Allah,
Dengan sungguh-sungguh hati dan linangan air mata,
Yakinlah mujahadah itu indah,
Sungguh, Dia Maha Mendengar setiap rintihan jiwa,
Yang Maha Pengasih dan Maha Pencinta itu Pencipta kita,
Mustahil sekecil zarah pun Dia tidak mengenal hati hamba-Nya.


64. 'Dan perdayakanlah sesiapa saja di antara mereka yang engkau (iblis) sanggup dengan suaramu (yang memukau), kerahkanlah pasukanmu terhadap mereka, yang berkuda dan yang berjalan kaki, dan bersekutulah dengan mereka  pada harta dan anak-anak lalu beri janjilah kepada mereka." Padahal syaitan itu hanya menjanjikan tipuan belaka kepada mereka.'
65. 'Sesungguhnya (terhadap) hamba-hamba-Ku, engkau (iblis) tidaklah dapat berkuasa atas mereka. Dan cukuplah Tuhanmu sebagai penjaga.'
(Al-Isra')



~Kita selalu mendengar 'Jagalah Allah, nescaya Allah menjagamu'. Moga ia terpahat di jiwa dan yakin dalam setiap usaha langkah kita menghampiri-Nya.~



Feb 22, 2011

The Colour of Paradise


~Kehidupan dunia adalah ujian keimanan~

Saya teringat cerita seorang rakan. Diceritakan ada kedua suami isteri yang menunggu kehadiran anak selama 5 tahun. Namun, setelah penantian berakhir, mereka bertindak mengasari anak mereka yang masih kecil sehingga anak mereka berlari keluar rumah dan meninggal dunia dilanggar sebuah kereta.

Itulah kehidupan. Setiap yang tidak diberi pada kita adakalanya adalah ujian. Dan apabila didatangkan pula nikmat itu, tidak kita hargai. Dan Allah berhak untuk mengambilnya kembali.

Cerita ini lebih kurang sebuah filem yang baru saya tonton.



The Colour of Paradise

The Colour of Paradise adalah sebuah filem Iran diarahkan oleh Majid Majidi. Diterbitkan pada tahun 1999.

Apa yang menariknya ialah ia menceritakan tentang kehidupan.


"Apa yang ada di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan Kami pasti akan memberikan balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan."
(An-Nahl; 16:96)


Tentang Filem Ini 

Kehidupan seorang kanak-kanak bernama Mohammad, berusia 8 tahun yang tidak dapat melihat dunia dengan kedua matanya tetapi dapat melihat alam ini dengan mata hati. Mohammad kematian ibu dan mempunyai ayah, 2 orang adik beradik perempuan serta seorang nenek.

Mohammad yang pulang bercuti sekolah dari sekolah kanak-kanak cacat penglihatan di Tehran kurang disenangi oleh ayah yang ingin berkahwin lagi. Dan ayahnya, Hashem bertindak untuk menghantar Mohammad jauh dari rumah supaya majlis perkahwinannya berjalan lancar. Keadaan menjadi semakin tegang apabila nenek Mohammad yang berkecil hati dengan sikap Hashem. Nenek Mohammad bertindak meninggalkan rumah dan kemudian jatuh sakit.

Akhirnya, perancangan untuk perkahwinan kedua Hashem gagal setelah nenek Mohammad meninggal dunia. Apakah kesudahan Mohammad setelah kehilangan neneknya?

Sedutan Cerita



Pengajaran

Ramai manusia hari ini punya kedua mata yang sempurna penglihatan. Tetapi mata yang dikurniakan kita banyak melihat kesalahan. Banyak membawa racun ke dalam hati. Kurang melihat kebaikan dan memandang ujian sebagai satu kepayahan.

Ini adalah isi-isi yang juga diketengahkan oleh cerita ini.

Saya tertarik dengan kata-kata Mohammad;

"Cikgu kami berkata bahawa Tuhan lebih menyayangi orang yang cacat penglihatan kerana mereka tidak dapat melihat.
Tetapi saya memberitahu Cikgu; walaupun begitu Dia tidak akan menjadikan kami buta kerana kami tidak dapat melihat-Nya.
Cikgu berkata; Tuhan itu tidak dapat dilihat. Dia berada di seluruh tempat. Awak boleh merasakan-Nya. Awak boleh melihat-Nya melalui jari jemari awak.
Sekarang saya mencari Tuhan di seluruh tempat sehingga pada hari tangan saya mencapai-Nya. Dan ceritakan kepada-Nya semua rahsia di hati saya."

Kredit to Muktasim untuk The Colour of Paradise



~Suatu metafora bagi mereka yang melihat dengan mata hati.~

Feb 18, 2011

Sendiri Menyepi


~Perlahan ku cari...~

Lagu: Sendiri menyepi
Oleh: Edcoustic


Kredit to almahdibracha

Sendiri menyepi
Tenggelam dalam renungan
Ada apa aku seakan ku jauh dari ketenangan

Perlahan ku cari
Mengapa diriku hampa
Mungkin ada salah, mungkin ku tersesat
Mungkin dan mungkin lagi

Oh Tuhan
Ku merasa sendiri menyepi
Ingin ku menangis, menyesali diri
Sampai kapan ku begini
Resah tak bertepi
Kembalikan aku pada cahaya-Mu
Yang sempat menyala

Oh Tuhan aku merasa`
Sendiri
Sampai kapan ku begini
Resah tiada bertepi

Ku ingin cahaya-Mu
Benderang di hidupku




~Ya Allah, tetapkan hatiku di jalan-Mu~

Feb 14, 2011

Ikutilah Baginda, Hidupkan Pasti Bererti


~Ikuti sunnahnya, jangan kita ragu. Cubalah sedaya mampu. Hidupkan bererti (Nowseeheart)~



Selawat dan salam atas baginda Nabi Muhammad s.a.w. 12 Rabiulawal yang bererti.


Rasulullah Dalam Turun Naik Hidup Kita


Kadang-kadang apabila kita fikir kita kesunyian tiada berbapa atau beribu,
ingatlah baginda Nabi Muhammad s.a.w yang semenjak kecil hidup yatim dan piatu,
namun, baginda tetap tabah, tiada sunyi bersama Allah.

Kadang kala apabila kita rasa kesedihan apabila dibenci manusia atas kebaikan yang kita lakukan,
kenangkanlah baginda Rasulullah s.a.w di mana ada manusia sanggup membunuhnya kerana kebenaran yang disampaikan,
namun, baginda tetap tiada duka kerana apa yang dilakukan adalah kerana-Nya.

Andai kita hiba kerana kemiskinan dan kesempitan hidup kita,
lalu hayatilah kehidupan Rasulullah yang melalui detik-detik getir mengorbankan seluruh jiwa dan hartanya untuk agama,
namun, baginda tiada pernah bersedih atas itu, sebaliknya selalu merasakan kebahagiaan iman dalam hatinya.

Jika diri merasa sedih atas ujian yang menimpa, ingatlah orang lain yang menghadapi ujian lebih berat daripada kita.

Allah membawa insan terpilih ini ke dunia; Muhammad Ibn Abdullah sebagai teladan dan contoh dalam setiap aspek kehidupan.

Insan yang tiada pernah bersungut atas ujian, bahkan sentiasa bahagia dan bersyukur pada-Nya.

Insan yang pernah jua mengalami kehilangan insan-insan tercinta; ibu, bapa, datuk dan isteri tercinta, Khadijah a.s, tetapi susurilah sirahnya. Nescaya akan didapati bagindalah insan berhati perkasa.

Manusia Paling Berpengaruh Dalam Dunia

Baginda melalui detik sukar dalam kehidupan dengan darah dan air mata bersama keluarga dan para sahabat.

Kini, risalah Iman dan Islam itu akhirnya sampai kepada kita. Mungkin kerana warisan atau hidayah-Nya.

Jika Muhammad Ibn Abdullah dikatakan sebagai 'The Most Influential Man in History' oleh penulis-penulis Barat seperti dicoret oleh Thomas Carlyle (1841) dan Michael Hart pada tahun 1978, mengapa ia tidak mempengaruhi seluruh dan sepenuhnya hidup kita sebagai Muslim hari ini?

"Barangsiapa mengikuti sunnahku, maka dia mencintaiku, barangsiapa mencintaiku, maka dia akan bersamaku di syurga."
(Hadith)

Lalu, mari kita soalkan diri kita hari ini, sudah layakkah pertemuan kita dengan baginda tercinta dan yang dirindui ini nanti di Syurga?


~Tidak cukup dengan kata-kata, tetapi ia perlu pembuktian pada seluruh amal kehidupan~

Feb 9, 2011

Ibrah Banjir 2011


~Bencana ini mengajak kita kembali~

Ibrah Banjir Ini
"Dan apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di bumi, lalu memperhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang sebelum mereka? Orang-orang itu lebih hebat kekuatannya daripada mereka dan (lebih banyak) peninggalan-peninggalan (peradaban)nya di bumi, tetapi Allah mengazab mereka kerana dosa-dosanya. Dan tidak akan ada sesuatu pun yang melindungi mereka dari azab Allah."
(Al-Mu'min; 40:21)


Maaf, mungkin agak terlewat entri berkisar banjir pada kali ini. Sedang Mesir dan Tunisia dalam dan sedang berevolusi, Malaysia antara negara yang dilanda air bah. Mungkin jumlah nyawa terkorban tidak seramai jumlah seperti di Sri Lanka.

Tapi apakah kita mengambil pengajaran dan iktibar?

Rata-ratanya apabila ditanya kepada mangsa-mangsa banjir sewaktu bersama misi bantuan HALUAN ke Segamat, mereka mengatakan tragedi pada kali ini lebih teruk dari berbanding tahun 2006.




Sekitar tahun 2010/2011 ini, banyak negeri dilanda air bah ini. Kerugian dianggarkan jutaan ringgit. Dalam sekelip mata, harta dan wang ringgit yang dikumpul untuk pembangunan, perabot, kereta dan sebagainya selama bertahun-tahun musnah. 

Ini adalah peringatan. Ini adalah pentunjuk dari Tuhan. Bahwa segala yang berada di atas muka Bumi ini adalah milik-Nya. Segala rezeki itu datang dari-Nya. 

Pelbagai Reaksi Manusia

Ada yang kembali kepada-Nya. 

"Ya, semua ini ujian Tuhan. "

Ada juga yang semakin jauh dari-Nya.

"Siapa sebenarnya bersalah dalam hal ni?"

"Makan pun tak sedap di pusat penempatan banjir ni. Tak ada selera."



Ibrah Untuk Hamba

Wahai manusia,
Yang berjiwa hamba,
Apakah dikira dunia ini selamanya, 
Harta, ladang, ternakan kekal menjadi punya?

Apakah langsung tiada beringat, 
Bahawa kembali manusia ke akhirat, 
Bencana menimpa untuk beringat,
Bukan semakin alpa, 
Allah jua pemilik tubuhmu empat kerat, 
Bisa mengambil segala keringat
Dalam sesaat. 

Wahai diri yang lemah lagi hina,
Tiada nilai diri di hadapannya, 
Andai dunia yang digah,
Lupa ia tempat disinggah, 
Akhir kita kembali kepada ALLAH. 


~Setiap ujian adalah ingatan. Pahala dihitung dalam setiap detik kesabaran. Nescaya beruntunglah orang-orang yang mengingati-Nya dalam kesenangan mahupun kesusahan.~


 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino