::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Jan 30, 2012

Ibrah Kasih Nenek Tercinta


~Diri ini manusia biasa, yang perlu diingatkan selalu dan kadang-kadang perlu diberitahu andai diri terleka dan alpa~

~Kasih nenek tidak kurang hebatnya~
-Source-
Ibrah Cuti Tahun Baru Cina

"Nadiah tak balik cuti Raya Cina?" ibu menelefon beberapa hari sebelum Tahun Baru Cina.

"Tak balik kot."

Memikirkan bahawa saya sudah lewat membeli tiket ditambah kerja yang perlu dihantar sesudah cuti dan faktor-faktor lain seperti belum gaji dan sebagainya, maka, saya bercadang untuk pulang pada cuti Maulidur Rasul dan Thaipusam.

Tanpa mengetahui bahawa nenek saya sakit di kampung hingga sukar nak bergerak hatta untuk memasak.

Panggilan telefon dari ibu sesudah cuti Raya Cina mengejutkan saya. Lalu, nenek di kampung yang telah membesarkan saya selama ini saya hubungi.

Pada awal perbualan, nenek tenang saja tetapi ada bunyi sedih pada nadanya di tengah perbualan.

"Bulan dua ni pun tak balikkan?" Nenek saya bertanya.

"Balik, Maulidur Rasul nanti Nadiah balik."

"Nanti Nadiah balik awal ye. Nadiah balik Sabtu." sambung saya.

"Takpelah, kerjalah. Wan dah baik dah." Bunyinya seperti merajuk. Comel. 'Wan' ganti nama panggilan nenek di kampung saya.

"Takpelah, nanti Nadiah balik, Nadiah masak bubur untuk Wan ye. Masak sup sedap-sedap." Memujuk. Suaranya mengiyakan seperti anak kecil.

Ya, saya akaui juga kesilapan saya. Sepanjang cuti Tahun Baru Cina tempoh hari, ada ibu mengingatkan saya untuk menelefon nenek. Tapi saya hanya beranggapan tentu nenek saya sibuk dengan kehadiran keluarga makcik-makcik saya yang pulang ke kampung.

Kasih Nenek

"Nadiah tak sama macam anak Wan yang lain." Ibu mengingatkan saya.

Ya, bila fikir-fikir semula memang saya sendiri merasakan bahawa nenek sayang saya secara uniknya.

Teringat suatu ketika dahulu apabila makcik saya yang bongsu menelefon saya.

"Nadiah, bila nak balik? Wan kata nak belanja ikan bakar kat Melaka."

"Wah, 'best'nya!" Saya teruja. Beza umur kami tidak jauh beza. Macam adik dan kakak.

"Balik cepatlah. Wan kata nak tunggu kau balik baru Wan nak belanja."

Jika waktu musim buah dahulu pun, jika saya tidak balik, Wan pernah kata nak gadai pokok buah di belakang rumahnya.

Comel.

Tetapi rupa-rupanya kasih Wan tak pernah berubah.  Hingga kini.

Dunia Bekerja & Beramal

Saya akui jadual saya sering penuh atau saja saya penuhkan dengan kerja-kerja pejabat mahupun kerja luar sebagai daie.

Hingga kadang-kadang saya lupa bahawa orang-orang yang rapat dan sayang pada saya masih memerlukan kehadiran ini.

Saya bukan saja ada ibu dan bapa yang saya perlu jaga hati mereka. Namun, saya juga ada nenek yang amat menyayangi diri ini.

Dunia bekerja dan beramal tidak hanya pada orang-orang yang kita kenali tetapi lebih-lebih lagi kepada ahli keluarga yang kita sayangi. Kita sering nak menggembirakan orang lain di luar lingkungan keluarga kita tetapi kita lupa ahli keluarga yang menyayangi kita.

Hatta Uwais Al-Qarni juga meminta kebenaran ibunya untuk meninggalkan ibu yang tercinta sebentar bagi menemui Rasulullah. Dan beliau tidak menunggu lama apabila tidak berjumpa baginda, sebaliknya pulang segera menemui ibunya kembali.

Silap saya bahawa kadang-kadang saya menganggap orang lain seperti saya. Menabahkan hati untuk terus sendiri.

Silap saya bahawa saya ini sering bersangka bahawa orang tidak memerlukan diri saya ini kerana diri saya sendiri yang melatih hati ini untuk menjadi begitu.

Ya, hari ini saya menulis tentang kesilapan saya.

Rupanya hati ini kering. Saya tidak perasan perkara itu.
Ya, kadang-kadang saya ini kata orang 'LamPi' atau lambat pick up. Mungkin bukan kadang-kadang tetapi selalu.

Alhamdulillah, baguslah apabila Allah ketuk hati ini.

Daripada Abdullah Ibnu Mas'ud r.a:'
Aku telah bertanyakan pada Nabi s.a.w;
"Apakah amalan yang paling dicintai oleh Allah taala?"
Nabi s.a.w bersabda: "Solat pada waktunya,"
Aku bertanya lagi: "Apa lagi wahai Rasulullah?"
Baginda bersabda: " Kemudian berbuat bakti kepada ibu bapa,"
Kemudian, aku bertanya lagi "Apa lagi wahai Rasulullah?"
Baginda bersabda: "Berjihad di jalan Allah."
Kemudian Rasulullah berkata kepada aku, "Andai kamu bertanya lagi, nescaya akan aku menjawabnya."
(H. R Bukhari & Muslim)

~Nenek di tengah-tengah bertudung coklat dikelilingi sebahagian anak-anak dan cucu-cucu~


~Wahai Allah, ketuklah hati ini selalu agar ia tidak membeku. Berilah hidayah pada diri ini agar menjadi manusia yang lembut hati di jalan-Mu~

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino