::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Jul 6, 2012

Mencari Penawar: Yakin Yang Tidak Pudar


~Moga yakin kita kepada Maha Pencipta tidak akan pernah pudar kerana kita adalah orang-orang yang percaya dan membulatkan hati kepada-Nya~

~Pertolongan Allah itu pasti datang bila tiba waktunya~


"Saya dah puas mencari penawarnya. Bertahun lamanya. Saya rasa seperti macam ingin putus asa pun ada." Ujar Nublah. Hatinya sebak.

"Jangan putus asa. Setiap penyakit pasti ada penawarnya. Insya Allah." Insyirah, rakan serumahnya memujuk.

Nublah tersenyum sendiri. Moga benar apa yang dikatakan oleh Insyirah kerana dia juga yakin begitu. Semua penyakit pasti ada penawarnya kecuali mati.

"Kes adik ni lain sikit. Tapi Alhamdulillah, adik masih boleh mengawalnya. Amalkan baca ayat-ayat Al-Quran ini dan zikir-zikir munajat. Insya Allah, lama kelamaan akan sembuh." Kata ustaz yang entah orang ke berapa ditemuinya.

"Ustaz memang tak dapat nak tolong ubatkan. Caranya; hanya dengan amalan awak saja." Kata ustaz lain pula.


Allah.. bergetar hatinya mendengarnya.

Ya, perlu yakin. Setiap apa yang diizinkan oleh Allah ini pasti ada hikmahnya. Mungkin Allah mahu dia sendiri menjaga dirinya, tidak lalai dan alpa daripada mengingati Allah.

Tidak akan Allah buat sesuatu perkara itu sia-sia.

"Insya Allah, awak kuat orangnya." kata rakannya.

'Insya Allah', desis hati kecil Nublah.

Ayat-ayat Matsurat (himpunan ayat Al-Quran dan doa yang dikumpul oleh Hassan Al-Banna) sudah menjadi ayat hafalannya. Zikir-zikir munajat sentiasa berkumandang di gegendang telinganya dan dia hanya pastikan hanya perkara yang baik sahaja akan menjadi halwa telinganya.

Doa dan tawakal.
Itu sahajalah yang mampu dilakukan ketika ini beserta amalan setiap hari.

"Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa:) "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada oranga-orang sebelum kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."
(Al-Baqarah; 2: 286)

"Nublah, ada berita gembira!" Panggil Kak Iffah dari jauh. Kak Iffah jugalah yang sentiasa menyokong dan membantu Nublah dalam hal-hal sebegini.

"Tadi akak jumpa Ustaz Faiz, kataya ada Ustaz di Pahang yang boleh ubatkan, Insya Allah. Kata Ustaz Faiz, cara ustaz tu mengubat memang mengikut syarak." tambah Kak Iffah dengan nada yang teruja. Terhangut-hangut dia menarik nafas selepas menyampaikan khabar gembira.

Ya, bukan semua pengamal perubatan mengamalkan pengamalan Islam sepenuhnya. Ada segelintir yang mengambil kesempatan atau beramal di luar syarie.

"Alhamdulillah, betul ke ni?" Nublah, antara percaya dan tidak.

Allah... terasa seperti rintihan doanya kepada Allah ini seperti sudah dikabulkan.
Terasa ia seperti hadiah besar yang turun dari langit.

'Mungkin sudah sampai masanya.
Ya, mungkin sudah tiba masa doanya dikabulkan oleh Dia', bisik hatinya sendiri. 

Dia sentiasa yakin Allah itu Maha Mendengar. Yakin itu tidak pernah malap dari hatinya. Bahkan keyakinan itu sentiasa bersinar terang tanpa kenal putus asa. Kerana dia tahu Allah takkan pernah menghampakan hamba-Nya.
Setiap sesuatu itu pasti terkandung hikmahnya.

Bahkan para Nabi menghadapi kesulitan dan ujian yang lebih besar daripada ini, dan dengan pertolongan Allah ujian-ujian besar itu seolah-olah menjadi kecil di hadapan mereka.

Pertolongan Allah itu pasti datang.

Dan mungkin kini sudah tiba masanya. Dan dia memohon doa dari semua yang ada di langit dan di bumi ini, kerana Allah; Pencipta alam ini juga bersamanya.


Nublah tidak pernah bersendiri.
Yakin pada-Nya tidak pernah pudar.

~Mana mungkin yakin pada-Nya menyirna apabila setiap hari diri disimbah cahaya cinta-Nya~

Setiap manusia diberi ujian yang berbeza-beza. Moga Allah memberi kita penawar terhadap setiap permasalahan yang kita hadapi dini hari dan agar kita terus percaya kepada-Nya.

~Mana mungkin yakin pada-Nya menyirna apabila setiap hari diri disimbah cahaya cinta-Nya. Yakin pada-Nya tidak pernah pudar~


0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino