::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Aug 27, 2012

Bila Allah Tidak Beri Apa Yang Kita Mahu


~Bila Allah tidak beri apa yang kita mahu, sebenarnya Allah ingin menunjukkan kepada kita apa yang kita perlu, lebih daripada yang kita mahu, kerana hanya Dia yang Maha Tahu~

~Ya Allah, sungguh kami ini fakir tanpa-Mu...~

Saya sedar akhir-akhir ini blog ini semakin suram dan sepi. Mungkin hanya beberapa entri saja yang ditulis sebulan berbanding tahun-tahun yang dulu.

Saya baru sedar bahawa saya sebenarnya sedang menutup atau mengurangkan keterbukaan diri dan hati berbanding tahun-tahun sebelumnya. Bukan saja di laman blog bahkan juga di laman 'Muka Buku'.

Ya, setelah sejenak mengintrospeksi diri.
Mungkin tindakan itu ada pro dan kontranya.

Insya Allah, dan kali ini ia juga berkait rapat dengan penulisan tajuk entri ini iaitu 'bila Allah tidak beri apa yang kita mahu.'

Bila Allah Tidak Beri Apa Yang Kita Mahu

Semua orang pasti pernah berhadapan dengan perkara ini. Ya, saya yakin semua orang pasti punya impian dan cita-cita. Dan ada cita-cita itu telah dikabulkan oleh-Nya dan ada juga yang tidak tertunai.

Kehidupan ini adalah kehidupan.
Itu adalah yang pasti. Dan ia adalah tempat untuk menguji hati-hati insan.

Jadi bagaimana reaksi kita apabila berdepan dengan kekecewaan, berdepan dengan harapan yang tidak kesampaian?

A: "Dia tu menakutkan. Garang sangat."

B: "O, sebelum ni dia tak macam tu. Lembut je. Tapi dengar sebab ada kes dulu, terus dia jadi garang macam tu."

Manusia, apabila ia tidak dapat mengubah keadaan, dia mungkin cuba mengubah persepsinya atau pun mungkin dirinya sendiri.

Ya, saya juga pernah berhadapan dengan kegagalan yang sama berulang kali. Sekali gagal, mungkin mengakibatkan bengkak mata dan patah hati. Namun, apabila sudah berulang perkara yang sama, saya sudah tidak mampu menangis lagi kerana saya sudah melatih hati saya untuk tidak menangis disebabkan oleh perkara seperti itu.

Hati ibarat tanah liat yang apabila ia dipanaskan dengan suhu kepanasan yang sangat tinggi, tanah liat yang mudah dibentuk itu menjadi keras. Sehingga pada satu ketika, ia mungkin pecah apabila dihempas.

Jadi, kembalikan hati kita kepada Allah.
Dan itu juga nasihat saya buat diri saya sendiri.

"Dan sekiranya Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hamba-Nya nescaya mereka akan berbuat melampaui batas di bumi, tetapi Dia menurunkan dengan ukuran yang Dia kehendaki. Sungguh, Dia Maha Teliti terhadap (keadaan) hamba-hamba-Nya, Maha Melihat."
(Asy-Syura; 42:27)

Masa Kecil Mendidik Kita

Masa kecil kita banyak mendidik kita dan membentuk jati diri seorang remaja. Personaliti individu banyak dipengaruhi oleh persekitaran dan sekolah pertamanya iaitu bermula dari rumah.

Kerana itu pemilihan pasangan suami atau isteri serta persiapan diri sendiri amat penting bagi mencorakkan rumahtangga Muslim dan pendidikan anak-anak

Saya dibesarkan di kampung, lebih kurang 5 km dari Pekan Air Mawang di Johol, N. Sembilan. Sekolah yang terdekat juga berada berdekatan pekan. Jadi, jika ingin ke sekolah, setiap hari saya akan menunggu datuk saudara menjemput di tepi jalan besar (lebih kurang 200 m) daripada rumah. Adakalanya saya sampai lewat ke sekolah disebabkan oleh motosikal datuk saudara yang sudah uzur dan tiba-tiba saja terhenti di tengah jalan. Apabila waktu hujan, perlu pakaikan plastik pada kasut yang putih, kerana takut berlumpur kerana jalan dari rumah ke jalan besar adalah tanah merah yang penuh lopak.

Apabila sudah besar sedikit, dalam usia 10  atau 11 tahun (tak berapa ingat), saya belajar menaiki motosikal daripada datuk saudara saya. Dan setiap kali apabila hendak keluar ke pekan membeli barang, sayalah yang akan membawa nenek saya keluar dengan motosikal.

Itu hanya secebis daripada cerita zaman kecil saya. Tetapi apabila saya ceritakan kepada kawan-kawan bagaimana hidup saya sewaktu kecil, kata mereka; cerita saya sama macam cerita kehidupan ibu mereka zaman 70-an.

Saya bersyukur walaupun Allah tidak beri saya kehidupan yang mewah (seperti yang diimpikan oleh ramai orang),  pergi ke sekolah dengan senang seperti orang lain, Allah sebenarnya hendak mengajar saya sesuatu. Ajar untuk menjadi lebih tabah dalam hidup dan bersyukur dengan segala apa yang ada.


Ujian Kehidupan Takkan Berhenti 

Ujian kehidupan ini tidak akan pernah berhenti selagi kita masih hidup di atas muka bumi.

Kehidupan hingga sekarang masih penuh ujian. Cuma setiap manusia, ujiannya berbeza-beza. Allah bagi ikut kemampuan. 

Allah tidak pernah zalim kepada kita, bahkan kitalah yang selalu menzalimi diri sendiri.

Kadang-kadang apa yang kita mahu atau impikan itu, Allah tahu ia tidak baik untuk kita tetapi Allah arahkan kita kepada sesuatu yang lebih baik daripada itu, yang mungkin kita tidak pernah sangka. Atau mungkin Allah ingin mendidik diri dan hati kita sesuatu tentang kehidupan ini yang mungkin kita belum pernah rasai atau ketahui.

Sebab apa?
Sebab Allah kan Maha Tahu. Allah yang cipta kita.

Mungkin jika bukan sebab kegagalan atau kekecewaan kita itu, kita tidak jumpa perkara yang lebih baik yang Allah ingin beri pada kita ini.

Dalam keluarga, dalam mencari rezeki, dalam kerjaya, dalam peristiwa kita sehari-hari, dalam perihal jodoh dan perkahwinan serta banyak lagi; Allah mungkin sudah banyak berikan 'hint' pada kita.
Mungkin Allah dah banyak kali membetulkan arah kita dengan turunnya ujian-ujian kekecewaan dan kegagalan dalam hidup untuk Allah hadiahkan perkara yang lebih baik dalam hidup kita dan juga kesudahan pengakhiran hidup kita.

"Sesungguhnya orang-orang yang berkata, "Tuhan kami adalah Allah" kemudian meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata), "Jangan kamu merasa takut dan bersedih hati; dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) syurga yang telah dijanjikan kepadamu."
(Fussilat; 41:30)

Bila Allah tak beri apa yang kita mahu bukan tanda Allah tak sayang kita, tetapi sebab Allah mahu bagi yang TERBAIK untuk hamba-Nya.

Rasulullah diberi ujian yang lebih besar oleh Allah dan baginda adalah kekasih yang sangat disayangi oleh Allah.

Bersangka baiklah dengan Allah.

Rasulullah s.a.w bersabda;
"Allah s.w.t berfirman: Aku menurut persangkaan hamba-Ku dan Aku bersamanya di mana saja ia sebut (ingat) akan daku."
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dan ini juga ingatan buat diri saya sendiri.
Introspeksi diri untuk membaiki diri dan hati.

Di kesempatan ini, ini ingin saya mengucapkan: 

Salam Aidilfitri kepada semua.
Maaf zahir dan batin.


~Ya Allah, kami ini fakir tanpa-Mu. Hanya pada Engkau sajalah, kami, hamba-Mu ini meminta~

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino