::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Dec 16, 2012

Bila Dunia Melelahkan Jiwa


~Siapakah yang mampu menolong tatkala kamu menemui kebuntuan, kesakitan, kesusahan? Sungguh, hanyalah pada Allah penawar segala kesukaran, gelisah dan kebuntuan.~

Tiada Kekuatan Melainkan Daripada-Nya

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang memberikan nikmat Iman dan Islam, dua nikmat yang paling bermakna dalam kehidupan seorang hamba.

Allah, Dialah pemberi nikmat untuk terus bernafas, memberi nikmat kesihatan walau jadual hidup selalu terisi ke sana ke mari, Dialah yang memberi tenaga ketika diri diperlukan untuk terus bekerja sebagai khalifah-Nya.

Maha Suci Allah, yang menjadi sumber kekuatan kepada insan yang serba lemah ini.
La haw lawala quwwata illa billah.

Benar, ada masa-masa ingin menangis sepuasnya, terasa penat dan lelah merajut dada. Namun, segala-gala dengan izin-Nya jua, Mungkin, inilah masanya yang tepat untuk menangis dengan penuh harap kepada Tuhan Penguasa Alam Semesta. Agar hamba yang lemah ini tidak pernah melupakan Pencipta-Nya.

Wahai Allah, ampunilah diri ini.

Dia Pemegang Segala Urusan

Tinggal seminggu lagi kelas semester 1 di UTM akan berakhir. Alhamdulillah. Kelas awal semester untuk mengajar pula sudah bermula 2 minggu dan minggu ini bertungkus lumus menjadi ahli jawatankuasa bagi kursus para peserta termasuk dari pihak CEO hinggalah ke kakitangan sebuah syarikat pembekal instrumen hospital dan medikal.

Allah... berturut-turut semuanya. Minggu depan bersedia pula untuk menerima kedatangan MQA dan penghantaran tugasan sarjana yang bagi 2 subjek.

Alhamdulillah, meminta daripada-Nya agar dipermudahkan segala urusan. Dan Dialah yang memberi ilham apabila hamba-Nya memerlukan. Alhamdulillah, sudah hampir 50% tugasan yang pertama siap dalam masa beberapa jam ini.

Maha Suci Allah. Maha Suci Allah. Maha Suci Allah.

Adakan masa untuk Allah dan Allah akan memberi masa kepada kita.
Jagalah Allah dan Allah dan Allah akan menjaga kita.

Wahai dunia,
Jangan engkau mengejarku dengan permintaanmu
Kerana permintaanmu
Takkan pernah cukup dari satu
Akan sentiasa meminta waktu
Dari diriku

Wahai Allah
Jangan biarkan dunia itu mengikat hatiku
Hingga terisi hati dengannya
Bukan dengan diri-Mu yang sesungguhnya

Wahai Allah
Hamba hanya akan kuat
Dengan diri-Mu
Jangan biarkan hamba jauh
Dan meninggalkan-Mu
Kerana sesungguhnya nikmat hidup itu
Ada apabila hatiku dekat pada-Mu

"Dan bersabarlah engkau (Muhammad) bersama orang yang menyeru Tuhannya pada pagi dan senja hari dengan mengharap keredhaan-Nya, dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia; dan janganlah engkau mengikuti orang yang hatinya telah kami lalaikan dari mengingat Kami, serta menuruti keinginannya dan keadaannya seudah melewati batas."
(Al-Kahf; 18: 28)
Moga Allah sentiasa menjaga hati ini.


Lagu Hamza Namira- Hansa
(untuk terjemahan inggeris, klik pada kotak putih di bahagian bawah video)
Sesungguhnya kebahagiaan hakiki itu hanya akan hadir dengan adanya Dia di hati,
Bukan dunia yang mengisi.
Moga tertaut hati tetap pada-Nya,
Bukan pada dunia
Yang sentiasa meminta dan menggusarkan.

~Tatkala dirayu dunia dengan pelbagai cara, meneduhkan hati dibawah rahmat dan kasih-Nya benar-benar pengubat jiwa yang berkesan di kala kelelahan dikejar dunia yang penuh permintaan~

Dec 4, 2012

Ukhwah: Antara Masam, Pahit dan Payau


~Sudut pandang tawadhuk seorang hamba; moga kita sentiasa bertaubat dan beristighfar kepada-Nya~

~Warna warni ukhwah~

Pesan baginda Rasulullah s.a.w:
"Alangkah baiknya orang yang sibuk dengan aib mereka sendiri dengan tidak menyibukkan diri dengan mengaibkan orang lain."
(H.R A-d-Dailami)

Ceritera 1:

Teringat apabila menjadi orang tengah secara mengejut bagi menyelesaikan konflik dua rakan.
Perbualan berlaku antara keduanya dan keadaan semakin panas apabila isu ungkit mengungkit berlaku.
Lalu dengan pantas orang tengah yang kurang pengalaman ini bersuara.

"Boleh tak kalau dua-dua tak ungkit-ungkit pasal masalah-masalah dulu. Kalau nak cerita pasal tu, sampai bila tak selesai. Sekarang ni, patutnya fikir macammana nak selesaikan masalah, bukan tambah masalah."

Fuh, lega akhirnya dapat meluahkan perasaan ketika pertengkaran kecil berlaku.

Kedua-dua 'defendan' dan 'plaintif' terdiam. Mungkin sedang merenungkan kembali isi ayat dan matlamat sebenar perbincangan.

Alhamdulillah. Akhirnya mereka kini bahagia dengan rahmat-Nya dan izin-Nya.

Ibrah:

Kata Ustaz Cahyadi Takariawan:
'Tak penting mencari dan mengesan siapa yang salah. Perkara yang penting adalah mencari siapa yang terlebih dahulu bersedia meminta dan memberi maaf. Mengesan siapa yang salah hanya perlu sekiranya kita di mahkamah."

Dalam hubungan atau ukhwah kerana Allah dalam bentuk apa sekalipun; adik-beradik, keluarga, suami isteri mahupun persahabatan, indahnya jika ia dipraktiskan sebegitu.

Ukhwah, adakalanya manis bila wujud pelbagai rasa. Seperti bangunan, ia tidak ampuh bila dibina hanya dengan satu jenis bahan sahaja. Tetapi ia akan lebih kukuh apabila ada banyak bahan campuran bersama. Begitu juga kehidupan, spesifiknya di sini hubungan silaturrahim. Ada masam, pahit dan payau. Tetapilah semua itulah yang memaknai sebuah kemanisan atas dasar perhubungan kerana Allah.

Apabila ada kemanisan, ia mengingatkan kita kepada Allah. Dan ada waktu-waktu kepahitan, kemasaman mencuka dan kepayauan hati, mereka yang berukhwah itu juga tetap kembali kepada Allah. 

Maka benarlah firman Allah:

 "Teman-teman karib pada hari itu sebahagiannya akan menjadi musuh kepada sebahagian yang lain kecuali mereka yang bertaqwa." 
(Az-Zukhruf; 43:67)
~Ukhwah yang terindah adalah apabila ia dibina hanya kerana Allah~


~Moga ikatan yang terbina adalah daripada talinya yang paling ampuh ; yaitu atas dasar keimanan dan ketaqwaan kepada-Nya~


 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino