::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Jul 23, 2013

Ceritera Maaf: Takkan Pernah Ada Kita Yang Sempurna


~Takkan pernah ada kita yang sempurna di dunia, maafkan dan memohon kemaafan serta teruskan kehidupan yang sementara ini untuk menjadi hamba yang terbaik di sisi-Nya. Semoga kekhilafan lalu menjadikan kita lebih celik melihat hikmah dari-Nya~


~Kehidupan sentiasa bermula dengan sangka baik kepada Tuhan agar kita terus melihat hikmah walau di mana kita berada~
Ceritera: 
5 Ramadhan.

Satu mesej masuk tertera di telefon bimbit seorang gadis yang sedang menghayati makna-makna surat dari Tuhannya. Selesai bacaannya, Hasna menekan butang kekunci.
Mesej dari rakan seperjuangannya, Aini, semasa di kelas Sarjana Ijazah Muda dahulu dibacanya.

'Hasna, Ramadhan ini, sahabat-sahabat sekelas A-Level ajak kita iftar sama-sama. Reunion jom!'

Waktu di kelas A-level memang tidak lama. Tetapi memori di sana memberikan kenangan yang terkesan.

Hasna teringat kekhilafannya ketika di sana.

'Maaf, sahabatku. Mungkin tak dapat hadir.' Hasna membalas. Bacaannya diteruskan. Semoga Allah memberkati setiap tingkah lakunya untuk menjaga setiap hati-hati yang hadir nanti.


12 Ramadhan

Aini menghirup udara segar dan kemudian duduk di sisi Hasna. Peluh-peluh kesan berjoging sebentar tadi menitik dari dahi dan badan mereka.

Keduanya memerhatikan keindahan  panorama alam yang indah, matahari masih malu-malu menyerlah di balik awan, air tanpa ombak di taman Wetland, Putrajaya benar-benar menyebabkan keduanya tidak habis memuji-muji kebesaran-Nya.

"Tak nak pergi iftar reunion minggu depan?" Aini memecah keheningan.

Hasna hanya menggelengkan kepalanya.

"Kenapa? Sebab Thalhah?" Aini menantikan jawapan dari sahabatnya. Mereka rapat. Berkenalan semenjak di bangku sekolah sehingga sama-sama menuntut ilmu di Edinburgh.

Lama Hasna mendiamkan diri.

"Cukuplah hanya ingin menjaga hati."

Aini sedikit terkejut.

"Eh, ada hati ke sakit hati? Kata dulu dah maafkan dia. Lupakanlah cerita lama." Pujuk Aini.

"Aini, manusia ni jika dia dapat Alzheimer atau penyakit nyayuk baru boleh lupa tau." Kata Hasna sedikit berseloroh.

"Em, betul juga. Jadi apa isu utamanya?" Tanya Aini lagi.

"Maafkan tak semestinya lupa. Pernah dengar tak tentang kisah Wahsyi Ibn Harb?" Hasna bertanya.

Aini hanya mencebikkan bibirnya.

"Wahsyi adalah hamba Jubair yang ditugaskan membunuh Saidina Hamzah. Jadi, apabila Wahsyi memeluk Islam, Rasulullah enggan melihat wajah Wahsyi."

"Kenapa? Rasulullah tak maafkan dia ke?"

"Rasulullah maafkan Wahsyi cuma dia minta Wahsyi berada jauh darinya sebab apabila terlihat wajah Wahsyi, baginda akan terkenang Saidina Hamzah."

"Tapi Hasna boleh usaha lupakan? Semua manusia pernah buat salahkan." Aini mengggenggam tangan Hasna.

"InsyaAllah, usaha itu ada. Tapi biarlah kita teruskan kehidupan kita masing-masing. Kekhilafan lalu terlalu pekat. Betul, semua orang tidak maksum cuma rasa yang paling pahit itu untuk hilangnya dari deria rasa ambil masa yang lebih lama. Harap Aini faham."

Aini mengangguk.

"Jom!" Hasna bangkit dari tempat duduk di tepi tasik itu. Mentari semakin terik. Hanya awan komulonimbus yang memayungi mereka.

Aini melihat Hasna berlalu. Ada ibrah yang didapati hari ini untuknya. Ibunya juga begitu. Sudah lama berpisah dengan ayah. Walaupun, ibu benarkan mereka adik beradik berjumpa ayah, ibu masih enggan berhadapan dengan ayah sehingga ke hari ini.

Benar, apa yang sering dikatakan pepatah moden: ' jangan sekali-kali mengetuk paku ke dinding hati kerana walaupun ia telah dicat dan dibaiki, bekas ketukan masih tetap ada.'

Benar, memaafkan itu lebih mulia. Semoga Allah menjadikan kita orang-orang kuat kesabaran dan keimanannya.  Semoga kekhilafan lalu menjadikan kita lebih celik melihat hikmah dari-Nya.

"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu, Allah menyediakan Syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa. Yaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya baik di lapang atau sempit dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain, Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan."
(Sural Ali-Imran: 133-134) 

Semoga Allah menerima amalan kita semua yang mengharap keredhaan-Nya.

~Kehidupan ini sentiasa dimulakan dengan sangka baik kepada Tuhan agar kita mampu melihat hikmah dari-Nya menerusi mata hati walau di mana kita berada~

1 comments:

Unknown on February 10, 2014 at 12:52 PM said...

saya suka entry ni ... saya pun dalam kategori boleh maafkan..setakat ini boleh cuba berjumpa dan berkata - kata secara formal sahaja..tapi untuk menjadi sangat rapat/mesra sangat mustahil

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino