::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Sep 18, 2013

Tragedi Kemalangan 12 September


~Moga kesakitan ini gugur bersama dosa-dosa dan menjadi permulaan kembali penyucian jiwa dan pembersihan hati~



"Dan musibah apa pun yang menimpa kamu adalah perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan banyak (dari kesalahan-kesalahanmu)."
(Asy-Syura; 42:30)



12 September 2013

Hari Khamis, saya dan dua orang lagi sahabat sepejabat pulang daripada kuliah Pasca Siswazah kami di UTM Skudai. Sekitar 8.20 malam Allah mengizinkan kami terlibat dalam tragedi kemalangan jalan raya di Lebuhraya Senai Desaru. Kami dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi dengan ambulan.

Kasihan sahabat saya; Ismi yang belum lagi habis waktu berpantang dan Sarah juga yang trauma di bahagian muka dan meleleh darah pekat keluar dari hidungnya.

Ambulan singgah di Klinik Kesihatan Sungai Mas untuk menghantar sahabat saya itu ke satu lagi ambulan di mana jururawat berkepakaran perbidanan ditugaskan untuk menjaganya di dalam kenderaan itu. Maka, dua ambulans membawa kami ke Hospital.

Ismi dibawa ke bahagian Obstetrik. Saya dan Sarah dibawa ke Bahagian Kecemasan di zon Kuning. Kekurangan katil menyebabkan proses pemeriksaan sedikit lambat. Alhamdullliah, sekitar jam 3 pagi 13 September 2013 kami dimasukkan ke wad.

Ibrah

Moga musibah ini mendekatkan diri kepada-Nya.

"Tidak ada suatu musibah yang menimpa (seseorang), kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa beriman kepada Allah, nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."
(At-Tagabun; 64: 11)

 Wahai Allah, berilah petunjuk kepada hati-hati kami agar kami menjadi dekat pada-Mu.

"Tidaklah seorang Muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon-pohon yang menggugurkan daun-daunnya."
(Hadith Riwayat Muslim)

Moga diri ini boleh bermula dengan hati yang sebersih-bersihnya untuk menjadi hamba yang diredhai.
Moga dengan musibah ini, hati kami menjadi lebih lembut dan mencintai Engkau dan menyayangi mereka yang menyayangi kami.

Jazakumullahu Khairan Kathira

Terima kasih murabbi, Dr. Fauzanah yang bergegas ke tempat kejadian, menemani kami hingga ke hospital. Begitu juga sahabat dan sahibah; 'Atiqah, Ustaz Suheil dan Cikgu Khairi.

Terima kasih buat zawj yang ku cintai kerana Allah; Mohd Razif yang sanggup datang dari Mersing bersama keluarga mentua dan menemani diri sesampainya di unit kecemasan hingga ke pagi dan menjaga diri ini sebelum berjauhan semula demi tanggungjawabnya. Begitu juga ibu mertua yang setia menemani di sisi di dalam wad sepanjang malam hingga keesokan harinya.

Terima kasih buat Ma dan Abah yang sudi menjaga diri yang kurang upaya ini siang dan malam hingga ke hari ini, menjaga makan, minum, ubatan dan bantuan pergerakan.

Juga terima kasih kepada insan-insan yang tidak dikenali yang telah membantu kami serta kawan-kawan yang setia memberi sokongan.

Semoga Allah membalas jasa dan kebaikan kalian semua dengan sebanyak-banyaknya.

Tragedi Sepintas Lalu

Sepantas kilat semuanya berlaku. Kereta yang berpusing hilang kawalan kemudiannya terperosok masuk ke tebing tepi lebuhraya. Seakan mimpi. Ya, seakan mimpi yang pernah muncul dalam tidur saya dulu.

Saya terlihat ada darah di beg udara yang telah kempis di depan saya. Lidah saya merasakan ada sesuatu mengalir di bibir. Darah. Darah daripada gigi depan.

"Naddy, apa kita nak buat ni?" tanya sahabat selaku pemandu kereta.

"Ok, jom kita keluar."
Saya cuba membuka pintu kereta. Alhamdulillah, dapat dibuka sedikit. Tapi kemudiaannya menjadi sukar dibuka. Mungkinkah tersekat?

"Naddy, pintu kita tak boleh buka." Sahabat tadi bersuara.

'Bismillahirrahmanirrahim', bisik saya lalu menendang pintu kereta supaya terbuka.

Alhamdullillah, segala kekuatan datang dari-Nya.

"Sarah, keluar ikut pintu ni." Sekeluarnya saya dari kereta itu, saya mencari seorang lagi sahabat yang duduk di belakang. Ternyata pintu belakang sudah terbuka dan terlihat beliau terduduk di tanah.

"Naddy, apa yang dah jadi ni?" Tanya beliau sedikit keliru.

Tidak lama kemudian, orang ramai datang memberikan bantuan.

Begitulah sedikit rentetan tragedi 12 September 2013.
~Ampunilah kami, Ya Allah~

~Ya Allah Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami.~

1 comments:

هيداﻳﻪ محمد on October 21, 2013 at 12:24 AM said...

Alhamdulillah puan naddy,puan ismi,miss sarah selamat.Ada hikmah disebaliknya.Allah masih memberi peluang untuk kita terus beribadat kepadaNya.Tragedi puan naddy mengingatkan kisah tragedi sy dulu yg pernah accident teruk.

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino