::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Mar 18, 2016

Sabar: Silibus Kehidupan


~Sabar adalah silibus kehidupan yang tidak habis dituntut sehingga nafas yang terakhir~

Sabar Mendidik

Mendidik anak-anak murid di kolej ini sepanjang enam tahun ini menemukan saya dengan pelbagai ragam manusia.

Saya dididik untuk bersabar.



(1)
Masih ingat lagi, sewaktu mula-mula saya bekerja di institusi ini, seawal usia 24 tahun. Apabila tiba waktu sibuk, saya tidak mahu ditemui mahupun bercakap dengan sesiapa jika tidak perlu. Hingga ada kawan-kawan yang sengaja mengusik saya. Yelah, siap letak kad bertulis "do not disturb." Serius sekali muka waktu itu. Waktu mula-mula menanda tugasan pelajar, pening saya. Boleh hilang sabar sehingga rasa nak membebel sepanjang menanda. Ditambah pula kerja-kerja pengkeranian yang banyak dan belum familiar.


Bila fikir semula, agak kelakar juga. Terima kasih pada kawan-kawan yang mengusik dan meredakan tekanan. Sekarang, saya pula yang mengusik mereka yang baru-baru bekerja bila nampak tertekan.

(2)
Anak-anak murid saya ajar saya untuk mengurus pelbagai karenah dengan tenang. Sebenarnya passion untuk mengajar itu lebih, jadi tekanan daripada para pelajar bagi saya tidak setinggi mana. Bahkan , para pelajar sayalah antara penghibur hati saya. Terutama batch pertama yang banyak beri kenangan pada saya, hampir 200 orang semuanya daripada 4 kelas, saya ditugaskan mengajar batch ini daripada mereka akhir sem1 hinggah sem 6. Mungkin itu yang buatkan kami rapat.

Teringat waktu masuk kelas sem 2, salah seorang Allahyarham pelajar saya bertanya selepas saya perkenalkan diri: "Miss, boleh tau apa yang menarik sangat pasal Miss ni? Sebab Adam (bukan nama sebenar dari kelas B) kata miss ajar best."

Terkedu saya tak tahu nak jawab apa waktu tu.  Itulah rasanya cabaran pertama saya di kelas bermula.

Mendidik anak-anak murid ni bukan hanya setakat nak sampaikan ilmu, tetapi nak bentuk akhlak dan sama-sama menjadi orang yang nak cari redha Allah atas muka bumi ini.

(3)
Baru-baru ini, seorang pelajar tanya pada saya. "Madam suka mengajar atau belajar?"
Mula-mula memang nak jawab mengajar. Tetapi sebenarnya saya suka kedua-duanya. Sebab saya belajar untuk mengajar dan apabila mengajar, saya juga belajar dari mereka dalam kehidupan ini.

Perkahwinan

Sikap saya sering keras terutama dengan lelaki. Namun, perkahwinan yang Allah takdirkan dengan suami saya mengajar saya untuk berlembut, bersabar dan lebih bertoleransi.

(1)
"Tak nak, sudah."
Selalu ayat tu terkeluar sewaktu awal perkahwinan.

Namun, zawj selalu betulkan. "Tengok tu. Cuba cakap lembut dengan suami."

Saya tunduk memuncung mulut seperti orang bersalah. "Baiklah. Tak nak, tak apa." Dengan nada sedikit lembut saya berkata.


Bergurau dengan suami pun saya kena lembut. Mungkin gurauan saya adakalanya kasar tanpa saya sedari. Ya, bak kata zawj, saya bukan bergurau dengan kawan tetapi dengan suami.

(2)
Ya, dulu, bila suami saya bercerita ambil masa lama, bila tak sabar atau tak dapat tangkap apa ceritanya, saya akan tanya "Mana punchline nya?"

Suami saya akan kata, "Sabar. Belum habis cerita."
Memang Allah ajar saya untuk menjadi pendengar setia.

(3)
Biasanya dahulu apabila marah, saya akan mendiamkan diri seribu bahasa. Kemudian, mengharapkan akan dipujuk. Namun, apabila menjelang tengah malam, tiada sesiapa yang memujuk, dek kerana takutkan murka Allah dan kutukan malaikat pada saya sebagai isteri, saya mencairkan sendiri ego yang tinggi, saya pujuk dan mohon maaf pada suami.

Mungkin zawj bukan seperti lelaki romantis yang lain, tidak pandai mengayat (cukuplah saya seorang yang begitu).  Namun, besar pengorbanannya sepanjang perkahwinan ini tidak akan saya lupakan.

Pendidikan Anak

Saya dididik oleh Allah dengan cara membesarkan anak berjauhan dari suami semenjak usianya 3 bulan hinggalah sekarang, insyaAllah setahun. Saya berusaha balik bermain dengan anakanda Khubaib, dan kemudian menyiapkan semua kelengkapan untuk ke pengasuh esok setelah nyenyak tidurnya lewat malam atau di awal pagi. Dengan bantuan rakan serumah, sedikit sebanyak meringankan beban saya.

Banyak Allah didik saya yang bermula dengan serba-serbi kekurangan.

Jadi Gelas Separuh Kosong

~Indahnya sabar~

Hidup ini tidak akan pernah sempurna. Sabar ini adalah suatu silibus kehidupan yang tidak akan pernah habis dituntut. Saya juga selalu kesal atas kesilapan dulu kerana ketidaksabaran saya. Ya, kalau boleh kita nak kembali ke masa lalu mengubah kesilapan kita. Namun, masa lalu adalah masa paling jauh dari kita dan kita tidak akan dapat mengubahnya semula. Cara membetulkannya adalah dengan menjaga dengan baik apa yang Allah beri kita pinjam sekarang ini. Walaupun kekesalan itu masih berbekas, apa yang kita harapkan agar Allah tunjukkan hikmah semua itu pada kita. Mungkin kita belum melihatnya sekarang, kita doa agar Allah akan tunjuk biarpun kemudian.

Melihat diri kita seperti gelas separuh kosong, kita akan rasa kita tidak sempurna, perlu meneguk pengajaran dan nasihat kehidupan daripadaNya.

~Ya Allah, berilah kami kesabaran yang baik~



0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino