::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

May 5, 2018

Saya Sayang Kawan-Kawan Saya


~Saya sentiasa sayang kawan-kawan saya kerana Allah.~

Antara Kawan Rapat Saya

Hari ini mengingatkan saya dengan salah seorang kawan saya di STJ dulu. Beliau adalah antara kawan rapat pertama saya di sekolah. Kami sekelas di tingkatan 1 Al-Ahzan. Kelas 1A bukan dikategorikan sebagai kelas paling top cuma ia adalah kelas di mana semua pelajarnya mengambil Bahasa Jerman.

Kami berkawan sebaik saja selepas minggu orientasi habis iaitu sesudah bermulanya sesi pembelajaran. Namun, selepas beberapa ketika saya lihat beliau sudah semakin jauh daripada saya. Berkawan dengan mereka yang lebih happy-go-lucky dari saya. 

Mungkin saja sebab awal-awal pembelajaran saya agak nervous berada di kalangan mereka yang lebih pandai daripada saya dan saya cuba berusaha bersungguh-sungguh dalam akademik. Saya semakin serius. Mungkin itu tidak menyeronokkan.

Namun, selepas beberapa ketika saya melihat prestasi akademik yang bagus hingga top 3 dalam kelas, saya dah jadi tak konsisten dan main-main sehingga dapat nombor dua digit.

Tetapi kami masih tak serapat seperti dulu lagi.  Kawan saya semakin jauh daripada saya.

5 Tahun Berlalu

Peperiksaan SPM bakal bermula. Dua minggu sebelum SPM, kawan rapat saya telah kehilangan ibunya. Walaupun saya melihat beliau dari jauh, saya tetap sayang kawan saya dan saya pergi padanya dan berinya kata-kata semangat sewaktu beliau sedih.

Saya tahu tidak ramai pelajar puteri suka Pengawas Asrama apatah lagi Ketua Asrama Puteri. Apakan daya, a great power comes with great responsibility.  Saya hanya melaksanakan amanah. 

Kawan saya digelar 'otai' di kalangan kawan-kawannya. Saya jua tak tahu samada beliau masih bersama saya atau tak, tapi yang pasti saya sayangkan kawan saya.

Waktu itu SPM dah bermula dan saya sedang menelaah pelajaran di dalam dorm asrama. Ada ketukan di pintu...

"Naddy, boleh tak aku nak belajar sama dengan kau?"

Perasaan saya waktu itu terkejut dan gembira. Setelah lima tahun, kawan saya itu kembali merapati saya.

Saya iyakan saja. Saya tahu prestasi akademiknya agak membimbangkan. Walaupun saya bukan dari kelas paling pandai, saya iyakan saja untuk membantu dan belajar bersama.

Kemudian, ketika kami menelaah, beliau memecah keheningan dengan berkata:
"Kalaulah dari dulu aku kawan dengan kau, tentu aku tak jadi macam ni."

Saya memandangnya penuh sayu.  Hati saya menangis. Saya juga tak tahu mengapa beliau kata begitu.

Tetapi sekurang-kurangnya saya tahu bahawa beliau juga sayang pada saya.

Ikatan Hati

Sudah beberapa tahun, saya belajar di UIAM Kuantan. Akhirnya saya berjumpa dengan kawan saya yang belajar di institusi berhampiran. Beliau masih seperti dulu. Dengan berbaju kurung dan bertudung bawal seperti kami di sekolah menengah. Istiqamah, alhamdulillah.

Saya doakan beliau akan terus istiqamah menuju kebaikan.

~Semoga kita menjadi sahabat hingga ke Syurga~


Beberapa tahun kemudian, saya mendapat undangan walimatulurus daripadanya. Saya hadir dan gembira melihat beliau telah pun menikah dengan lelaki soleh, insyaAllah, iaitu senior saya merangkap pengawas dan naqib sekolah dulu.

MasyaAllah. Hebat perancangan Allah.

Saya sayang kawan-kawan saya dan saya sentiasa doakan yang terbaik untuk mereka.

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino