::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

May 17, 2019

Cikgu Bermotivasi Itu Inspirasi!


~Hingga akhir waktu, guru-guru akan tetap menjadi inspirasi penuntut ilmu~

Terima kasih kepada semua cikgu-cikgu yang sentiasa bersemangat di alam jagat ini untuk mengajar kerana cintakan penyebaran ilmu yang berteusan, kerana ingin meraih keredhaan Tuhan, kerana ingin berkongsi dan melihat kejayaan mereka yang ingin menuntut ilmu.

Bukan saja kepada guru-guru yang bergelar Cikgu di institusi pendidikan dan pengajian tinggi, bahkan di mana jua seorang insan itu mendidik dengan penuh keikhlasan, semoga Allah saja yang dapat membalas dan memberi ganjaran.

~terima kasih cikgu, semoga ilmu yang disampaikan akan dimanfaatkan untuk dunia dan akhirat~


Guru Inspirasiku

Ini realiti.
Mungkin ada pelajar yang tinggi resilience nya tidak tergugat dengan pengaruh motivasi dari seorang guru.

Namun, bagi saya seorang guru itu memang boleh mempengaruhi saya untuk belajar dan berusaha.
Saya pernah gagal.

Banyak kali juga. Paling banyak rekod gagal adalah dalam Matematik Tambahan.

Tiga kali saja pernah lulus Matematik Tambahan zaman sekolah. Satu kali lulus peperiksaan Tingkatan Empat, satu kali lulus peperiksaan Tingkatan Lima dan satu kali lulus yang paling terbaik untuk rekod diri sendiri sewaktu peperiksaan SPM. He. Alhamdulillah.

Sewaktu Tingkatan Lima, apabila tiba waktu jadual Matematik Tambahan, kami semua akan bergerak keluar dari kelas ke kelas masing-masing mengikut tahap pencapaian. Yang paling bagus masuk kelas pertama iaitu set 1. Sehinggalah ada yang ke set 6. Saya masuk kelas set 5. 

Pernah juga menumpang kelas set 6  sebab waktu tu Cikgu set 5 tiada. MasyaAllah, hebat  guru-guru  mengajar set 5 dan 6 ni lemah lembut dan kesabaran mereka ni memang sangat tinggi. Sangat terharu.

Waktu tu, apabila nak dekat hujung tahun, rasa sedih kalau tak boleh jawab soalan sebab Cikgu saya sangat bersungguh-sungguh membimbing kami  (saya yang lambat ni).

Rasa nak nangis pula tengok Cikgu yang berusaha bersungguh-sungguh untuk kami. Bagi banyak set latih tubi tapi saya yang dok jawab ni macam kura-kura atau mungkin tahap siput.

Sampai sekarang masih lagi ingat nada suara Cikgu yang lembut ajar kami. Sayu je rasa. Terima kasih Cikgu. Kasih sayang cikgu melunakkan hati kami untuk terus berusaha.

Cikgu Permata

Nak kerja apa pun dalam dunia ni kena ada sabar. Tiada sabar, kerja apa-apa pun bukan saja kita tak gembira, yang di sekeliling kita pun dapat ketidak- gembiraan tersebut.

Cikgu yang tidak penat berceloteh untuk menyampaikan ilmu memang disukai ramai. Dapat guru ibarat permata itu adalah rezeki yang tidak ternilai daripada Allah SWT.

Cabaran Universiti

Waktu zaman ijazah, tak banyak cabaran sebab waktu itu rasa masih dekat dengan guru-guru a.k.a pensyarah.

Pakcik driver bas pun jadi cikgu juga sebab suka cerita pengalaman beliau hampir setiap kali kami naik bas untuk pergi ke kuliah hampir setiap hari di universiti. Biasanya saya akan duduk bahagian hadapan bas, jadi memang banyak dengar cerita pakcik-pakcik.

Rakan-rakan zaman ijazah pertama dulu pun rapat semuanya. Jadi, masalah sokongan untuk belajar itu bukan satu masalah.

Namun, apabila di peringkat Sarjana, di semester 3 hingga akhir, rakan-rakan sekelas tidak lagi dikenali. Hanya kenal nama sahaja. Rakan-rakan sekelas ibarat touch and go.

Di jabatan saya ini, ada pensyarah-pensyarah yang sangat humble. Ada seorang pensyarah yang memang sangat bermotivasi merangkap koordinator program.

Paling terbaik waktu perjumpaan semua pelajar pascasiswazah peringkat jabatan.

"Don't you ever give up or thinking of extending your semester." Kata Profesor Madya kami yang digemari ramai.

Dan macam-macam lagi kata-kata mutiara yang macam faham-faham je perasaan kami yang bercampur baur ketika itu.

Kalau nak daftar masuk kelas beliau, silalah buat segera sebab insyaallah memang biasanya penuh.
She was admired by many people because of her motivation. And we're all inspired.

Keperluan untuk masuk kelas statistik sekali lagi di peringkat Sarjana juga bukanlah perkara yang menggembirakan. Di sekolah dan peringkat ijazah sarjana muda dulu pun dah belajar, dan keputusan peperiksaan saya berkaitan statistik pun biasa-biasa saja.

"Em, kena belajar lagi subjek ni." Keluh sendiri waktu tengok daftar subjek untuk semester tersebut.

Untuk subjek statistik, kami diberi pilihan beberapa kelas yang dikendalikan oleh pensyarah yang berlainan. Kalau tanya senior, semuanya ada kekuatan masing-masing. Saya redha sajalah pilih kelas Profesor pada hari yang sesuai dengan jadual waktu kerja hakiki yang masih terluang.

Allah izin, masuk kelas seorang Prof ini ibarat menyelesaikan semua masalah keserabutan berkenaan statistik yang bersarang di kepala saya semenjak waktu sekolah dulu.

"Mana datang formula P1-p2 ni?" Tanya *Prof pada kami.
"Macammana kita boleh dapat formula ni?"

Semua soalan itu berada dalam otak saya semenjak sekolah lagi.

Profesor jelaskan semua satu-satu. Alhamdulillah memang rasa seronok sangat belajar statistik ketika itu.

Hampir setiap formula dihuraikan sepanjang semester kami belajar. Ibarat satu anugerah daripada Allah untuk saya yang baru nak faham setelah bertahun-tahun meninggalkan zaman persekolahan.

Suatu hari dalam kelas selepas separuh semester berlalu dan ketika kami diberikan semula keputusan kertas Peperiksaan Statistik Pertengahan Semester, Prof ada datang bertanya pada saya.

"Awak pernah belajar statistik ke sebelum ni?"
"Belajar basic saja waktu degree." Jawab saya, tetapi sebenarnya saya bukan nak jawab begitu. 

Saya sebenarnya nak jawab yang saya suka sangat belajar dengan Prof sebab saya dapat faham semuanya.

Terima kasih pada Allah memberi ilmu ini pada saya asbab saya berguru di kelas Prof ini. Terima kasih Prof.

Ini hanyalah sepotong bahagian tentang cikgu-cikgu hebat dalam hidup ini, dan masih banyak lagi tetap dalam hati dan memori.

*Prof NoorAzlan

Inspirasi Hingga Akhir Waktu

Pada guru-guru, ataupun hanya bergelar ibu bapa mendidik anak-anak, guru mengaji, atau guru tadika sekalipun atau rakan sebaya kumpulan belajar sama-sama hatta guru dalam ilmu kehidupan, insyaallah ilmu itu akan sampai ke hati jika disampaikan dari hati.

Kita tidak tahu hati siapa dan bila yang akan kita sentuh.

Kita tidak tahu ilmu mana yang akan diterima dan dimanfaat dalam kehidupan mereka.

Apa yang kita tahu adalah kita adalah penyampai ilmu.

Hanya Allah yang menghitung segala usaha kita.
Hanya Allah yang memegang hati manusia dan menentukan pada siapa dan bila Dia akan beri kefahaman atas ilmu yang diberi.

Selamat Hari Guru buat semua pendidik.

~Hidup tidak akan berhenti mendidik, hatta kepada diri kita sendiri~

May 12, 2019

Hadiah Pertama Ramadhanku


~Daku hanyalah hambaNya yang biasa-biasa, tetapi rahmahNya padaku sungguh luar biasa~

Fasa Ramadhan yang sedang melalui penghujung minggu pertama.


Beberapa hari lalu sebelum hari ibu hari ini, Allah memberi saya hadiah indah di bulan Ramadhan ini.

Bermimpi melihat Allahyarham ayahanda dengan muka bersih tersenyum tanpa kata menyebabkan saya tidak ingin bangun dari lena.

Setelah beberapa tahun tanpa mimpi ayahanda, bermimpi ayahanda kali ini sudah cukup buatku tersenyum gembira bangun dari tidur. Di dalam mimpi, banyak yang saya katakan padanya tetapi hanya senyumannya yang terukir di wajahnya. (Apabila dia tiada, baru rasa nak cerita macam-macamkan..).

Segala puji bagi Allah. Syukur Allah pertemukan kami walau hanya dalam mimpi. Mungkin di bawah sedar saya merindui Allahyarham ayahanda.

Ingatan juga bagi saya untuk berusaha jadi anak yang solehah agar sampai doa dan amal jariah padanya yang berada di alam sana.

Ibnu Taimiyyah apabila ditanya: "Adakah Ruh orang yang telah mati akan bertemu semula?"
Beliau menjawab: "Ruh orang yang hidup apabila ditarik (mati) akan bertemu dengan ruh orang telah lama meninggal dunia, mereka bertanya tentang keadaan orang yang masih hidup."
Rujuk Majmu' Al-Fatawa (24/303 & 368)
~Semoga suatu hari kita akan bertemu lagi dan berbicara apa yang tidak dapat dilafazkan tika di dunia~ 




 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino