::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Aug 13, 2020

Ibrah: Penyakit Misteri Selepas Bertunang


 ~Sakit yang datang menguji itu adalah ingatan Allah untuk sentiasa ingat pada Dia.. Semakin dekat kita pada Dia, semakin nampak cahaya jalan keluar kesulitan ini~

Sewaktu mula-mula kami bertunang, kami berdua diuji dengan penyakit yang misteri. Ia bermula sehari selepas bertunang. 

Pelik tapi benar. 



25 November 2012

Saya mengalami muntah-muntah, sakit perut dan rasa hilang seluruh tenaga. Doktor hanya bagi ubat untuk redakan simptom. 

Bekas tunang saya pula rasa berdebar-debar bermula waktu Asar. Tak keruan. Hanya fikir rasa nak mati. 

Kata suami, sejak itu habis semua laptopnya dibersihkan daripada lagu-lagu  tak terkecuali lagu nasyid mahupun cerita-cerita. 

Malam pertama saya muntah-muntah itu, saya buka ayat ruqyah semasa tidur. Malam itu juga saya mimpi bersama orang berjubah putih yang bawakan saya ke tempat budak-budak mengaji Al-Quran. Alunan bacaan Al-Quran dari bangunan putih yang tersergam itu memang menenangkan. Pakcik (tidak pasti usianya sebab tidak melihat wajahnya) berjubah tu juga tolong bersihkan binatang-binatang kecil yang melekat di baju saya tanpa berkata apa-apa. 

Malam kedua pula saya mimpi berada di suatu tempat yang jauh dari orang lain. Kemudian, datang seorang wanita muda memberikan saya air penawar. Background tempat itu  dah macam dalam cerita Peterpan. 

Ada yang diceritakan kepada saya oleh wanita-wanita yang saya temui sebelum berjumpa wanita berkenaan tetapi biarlah saya simpan detailnya. 

Alhamdulillah keesokkan harinya saya rasa segar dan sihat. Semuanya atas izin Allah. 

Namun, tunang saya ketika itu masih bergelut lagi dengan apa yang dialaminya. Walaupun telah pergi berubat, keadaannya masih sama. 

Jadi, saya pun bertekad mengajak bekas tunang saya ketika itu mengajak berjumpa dengan Ustaz yang saya temui di Kg. Losong dulu. 

Tahun 2011

Awal tahun 2011, saya mengalami gangguan yang hebat dan rasa amat menjejaskan kualiti hidup, itulah titik mula saya bertemu dengan ustaz ini. 

Saya dah berubat banyak kali sebelum itu. Dengan keadaaan saya, saya tidak tinggal mathurat dan Al-Quran dan sampai buntu rasanya memikirkan jalan keluar. 

Sehinggalah berjumpa dengan ustaz di Kg. Losong. Pesan ustaz, zikirlah Lailahaillah Muhammad Rasulullah 4444 kali dan mohon pada Allah. 

Tak mampu buat sehari, buatlah berhari-hari sehingga selesai. Lebih cepat, lebih baik.

Sehingga kini, saya masih ingat dan amalkan lagi. 

Kesan Perkahwinan

Setelah berkahwin, memang masih rasa panas hati saja apabila dengan suami. Rasa nak marah saja padahal hal kecil je pun. 

Al-Mathurat dan Al-Quran, bacaan ruqyah semasa tidur memang tak ditinggalkan tetapi macam tulah. Dan bertahun-tahun lamanya, baru rasa reda. 

Suami yang berada jarak jauh daripada saya masih ada anxiety.
"Orang anxiety saja yang tahu perasaan ni."katanya apabila saya cuba berikan nasihat. 

Tetapi Alhamdulillah, berkat dan rahmat daripada Allah, penyakit misteri jadikan kami orang yang tidak alpa pada Dia dan lebih dekat pada Dia. 

Ibrah Daripada Penyakit Misteri

Sekarang, berbagai zikir jadi amalan seharian. Walaupun jadi surirumah, selalu saya remind diri untuk basahkan lidah dengan zikrullah. Kadang-kadang ada masa alpa juga sekejap especially tertengok media sosial lebih dari masa yang ditetapkan. 

Suami juga kata sekarang dia lebih baik daraipada dulu. Terutama waktu solat berjemaah di masjid dan surau. Dan saya akui part bacaan Al-Quran nya memang sangat baik berbanding waktu kami memula kahwin dulu. 

Waktu bertunang itu, saya rasa terharu. Tunang saya ketika itu tak kenal pun saya sangat. Kami hanya berjumpa 3 kali saja sebelum bertunang. Kami tak pernah bercinta pun. Boleh saja dia nak putuskan tunang dan lupakan segala derita dia tapi dia tak pilih jalan itu. 

Terima kasih bekas tunangku. 

Alhamdulillah atas segalanya. 

Saya bersyukur bahawa Allah sentiasa sayang kami dan ingatkan kami. 

'Kenapa aku diuji?'

Ujian bukan hinaan. Itu tanda kasih sayang Tuhan. 

Ujian adalah ketukan bagi hati. Menaikkan darjat kepada bagi siapa yang menerima dengan hati yang redha, bagi siapa yang menjadikan Allah sebagai sandarannya. 

Ujian yang menimpa Nabi dan Rasul itu lebih berat daripada kita.

Walaupun penyakit misteri itu tidak seperti dulu lagi, kami perlu beringat. Bukan hanya bila ditimpa ujian, kita ingat Tuhan. Sebab mati itu bila-bila, tidak kira masa dan usia. Ujian di barzakh dan akhirat nanti lebih saya risaukan. 

Bak kata nenek saya "Bila kita senang, kita takkan sentiasa senang. Akan datang waktu susah. Jadi beringatlah."

~Ujian adalah tarbiyah, satu ketukan pada hati, untuk kita mengerti bahawa kita, dunia dan seisinya hanyalah milik Ilahi.~

Aug 8, 2020

Al-Waqiah: Cinta Dengar Pertama


Biasa dengar jatuh cinta pandang pertama? 
Dari mata turun ke hati. 

Al-Waqiah; adalah cinta dengar pertama saya. Mendengarnya pertama kali langsung saya jatuh hati. 

Dari Telinga Turun ke Jiwa

Sewaktu awal-awal masuk sekolah menengah dahulu, solat berjemaah Maghrib atau Isyak, saya mendengar kakak-kakak senior yang menjadi imam kami sering mengalunkan sebahagian Surah Al-Waqiah ini. Pertama kali mendengarnya saya terus jatuh hati. 

Hingga alunan itu menyebabkan saya sering membaca surah itu usai solat Maghrib atau Isyak. Dek kerana sering berdamping dengannya, saya dapat menghafal seluruh Surah Al-Waqiah sewaktu sekitar Tingkatan 3 atau 4. 

Jatuh hati dengan Surah Al-Waqiah rasanya lain. Seingat saya sewaktu sekitar Tingkatan 3 dahulu, selalu saya mendengar alunan surah ini di radio Ikim.fm pada waktu malam semasa bercuti di rumah mahupun sewaktu hujung minggu di asrama. Syeikh yang mengalunkan surah ini teresak-esak membacanya sambil diiringi background angin yang menderu di baliknya. 

Sentuhan jiwa itu menyentuh ke hati langsung berderai air mata. Walaupun waktu itu, saya belum memahami sepenuhnya bait-bait surah itu, tetapi mungkin saja bukan saya bahkan sesiapa saja mungkin tersentuh jiwa dan menitis air mata mendengarnya. 



Menuntun Hati Menuju Allah

Dek kerana suka mendengar surah Al-Waqiah, kesannya bukan saja saya dapat hafaz surah ini tanpa sengaja tetapi kesan paling besar dalam hidup ini adalah ia telah membuka mata hati. Bahawa dunia ini hanyalah sementara dan akhirat itulah yang kekal abadi. 

Matlamat kehidupan ini adalah kembali kepada Allah. Surah ini menimbulkan rasa takut dan harap. Takut akan kemurkaannya dan mengharapkan keredhaan-Nya. Surah ini mengajar hati ini untuk mensyukuri pada Zat Yang Maha Memberi. 

Kadang-kadang kita tenggelam dalam kenikmatan dunia hingga lupa hak-hak orang lain yang perlu kita tunaikan, hingga lupa pada suruhan dan larangan Tuhan, lebih bahaya lagi apabila kita menidakkan Allah sebagai Pemberi rezeki. 

"Apakah kamu menganggap remeh berita ini (Al-Quran)? Dan kamu menjadikan rezeki yang kamu terima (dari Allah) justeru untuk mendustakan(Nya)?"
(Al-Waqiah; 56 : 81-82)

Kadang-kadang kita menganggap segala rezeki itu hanya dari hasil kita, hingga kita lupa yang mengizinkan dan memberkati rezeki itu pada kita adalah Allah. 


Al-Waqiah Kini

Hingga ini, kedudukan Al-Waqiah masih sama di hati saya. Hingga nama kereta saya pun saya letakkan nama Waqiah dan kebetulan nombor platnya lebih kurang sama depannya. 

Sebelum ini iaitu dua tiga tahun kebelakangan, saya tertinggal surah Al-Waqiah daripada rutin harian. Tidak sama macam dulu di zaman sekolah. Ia tertinggal dari hati dek mengejar rutin harian. 

Saya muhasabah. Menyedari kelalaian dan kerinduan itu mengambil waktu. Rindu pada surah Al-Waqiah.

Kini, masa mengatur jadual hidup kembali.  Itulah juga teman yang saya jadikan untuk anak-anak. InsyaAllah mungkin di lain entri boleh mencoret tentang pengaruh Surah Al-Waqiah dalam kehidupan berkeluarga dan anak-anak yang sememangnya excited dengan surah ini. 

Semoga kita semua menjadikan Al-Quran sebagai tempat rujukan dan teman hidup ini. Jika tertinggal, ia tentu sangat dirindui. 






 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino