Dari mata turun ke hati.
Al-Waqiah; adalah cinta dengar pertama saya. Mendengarnya pertama kali langsung saya jatuh hati.
Dari Telinga Turun ke Jiwa
Sewaktu awal-awal masuk sekolah menengah dahulu, solat berjemaah Maghrib atau Isyak, saya mendengar kakak-kakak senior yang menjadi imam kami sering mengalunkan sebahagian Surah Al-Waqiah ini. Pertama kali mendengarnya saya terus jatuh hati.
Hingga alunan itu menyebabkan saya sering membaca surah itu usai solat Maghrib atau Isyak. Dek kerana sering berdamping dengannya, saya dapat menghafal seluruh Surah Al-Waqiah sewaktu sekitar Tingkatan 3 atau 4.
Jatuh hati dengan Surah Al-Waqiah rasanya lain. Seingat saya sewaktu sekitar Tingkatan 3 dahulu, selalu saya mendengar alunan surah ini di radio Ikim.fm pada waktu malam semasa bercuti di rumah mahupun sewaktu hujung minggu di asrama. Syeikh yang mengalunkan surah ini teresak-esak membacanya sambil diiringi background angin yang menderu di baliknya.
Sentuhan jiwa itu menyentuh ke hati langsung berderai air mata. Walaupun waktu itu, saya belum memahami sepenuhnya bait-bait surah itu, tetapi mungkin saja bukan saya bahkan sesiapa saja mungkin tersentuh jiwa dan menitis air mata mendengarnya.
Menuntun Hati Menuju Allah
Dek kerana suka mendengar surah Al-Waqiah, kesannya bukan saja saya dapat hafaz surah ini tanpa sengaja tetapi kesan paling besar dalam hidup ini adalah ia telah membuka mata hati. Bahawa dunia ini hanyalah sementara dan akhirat itulah yang kekal abadi.
Matlamat kehidupan ini adalah kembali kepada Allah. Surah ini menimbulkan rasa takut dan harap. Takut akan kemurkaannya dan mengharapkan keredhaan-Nya. Surah ini mengajar hati ini untuk mensyukuri pada Zat Yang Maha Memberi.
Kadang-kadang kita tenggelam dalam kenikmatan dunia hingga lupa hak-hak orang lain yang perlu kita tunaikan, hingga lupa pada suruhan dan larangan Tuhan, lebih bahaya lagi apabila kita menidakkan Allah sebagai Pemberi rezeki.
"Apakah kamu menganggap remeh berita ini (Al-Quran)? Dan kamu menjadikan rezeki yang kamu terima (dari Allah) justeru untuk mendustakan(Nya)?"
(Al-Waqiah; 56 : 81-82)
Kadang-kadang kita menganggap segala rezeki itu hanya dari hasil kita, hingga kita lupa yang mengizinkan dan memberkati rezeki itu pada kita adalah Allah.
Al-Waqiah Kini
Hingga ini, kedudukan Al-Waqiah masih sama di hati saya. Hingga nama kereta saya pun saya letakkan nama Waqiah dan kebetulan nombor platnya lebih kurang sama depannya.
Sebelum ini iaitu dua tiga tahun kebelakangan, saya tertinggal surah Al-Waqiah daripada rutin harian. Tidak sama macam dulu di zaman sekolah. Ia tertinggal dari hati dek mengejar rutin harian.
Saya muhasabah. Menyedari kelalaian dan kerinduan itu mengambil waktu. Rindu pada surah Al-Waqiah.
Kini, masa mengatur jadual hidup kembali. Itulah juga teman yang saya jadikan untuk anak-anak. InsyaAllah mungkin di lain entri boleh mencoret tentang pengaruh Surah Al-Waqiah dalam kehidupan berkeluarga dan anak-anak yang sememangnya excited dengan surah ini.
Semoga kita semua menjadikan Al-Quran sebagai tempat rujukan dan teman hidup ini. Jika tertinggal, ia tentu sangat dirindui.
0 comments:
Post a Comment