::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Sep 11, 2020

Keikhlasan: Apakah Kayu Ukur Fikiran dan Tindakan Kita?


~Ya Allah, golongkanlah kami dalam kalangan hamba-hamba-Mu yang ikhlas~

Di dalam Al-Quran diceritakan bahawa syaitan telah bersumpah akan menyesatkan manusia kecuali hamba-hamba-Nya yang ikhlas. 

Ikhlas: Pintu Gerbang Amal 

Berkata Amru Khalid dalam bukunya 'Hati Sebening Mata Air' bahawa ikhlas adalah pintu gerbang kepada amal. 

Maka, mari kita bertanya ke dalam diri dan merenung jauh ke lubuk hati:

Adakah dalam amalan kita sehari-hari adakah kita beramal dengan ikhlas kerana Allah s.w.t semata?

Adakah kita membenci sesuatu kerana Allah dan menyukai sesuatu kerana Allah? 

Adakah kita berkata-kata sesuatu kerana Allah atau selain dari-Nya?

Dalam dunia serba moden dan dalam media sosial yang berkembang tanpa mengira siapa dan usia, begitu banyak perkara yang perlu kita muhasabahkan. 

Di dunia media sosial yang penuh dengan pengaruh ikut-ikutan, kadang-kadang kita terlupa mengikut sunnah Rasulullah dan para sahabat untuk menjadi kayu ukur persepsi dan cara tindak kita. 

Kadang-kadang kita meletakkan apa orang kata atau apa netizen kata sebagai kayu ukur cara hidup dan fikiran kita. 

Kadang-kadang kita meletakkan perasaan dan apa yang kita rasa melebihi dari apa yang terbaik kita lakukan dengan berasaskan hanya kerana Allah semata dan bukan selain-Nya. 

"Dia pernah buat aku dulu. Dia, seluruh keturunan dia dan apa saja yang berkaitan dia memang aku takkan percaya."

"Dia ludah muka aku. Memang patut kena pukul dia tu."

Saudara-saudaraku dan buat diriku sendiri, jika kita lihat besarnya kasih sayang Nabi, Rasulullah s.a.w yang kita cintai dan yang kita ingin meneladaninya, baginda dimusuhi oleh Abu Jahal, tetapi kerana kasih baginda kerana Allah s.w.t, dakwah baginda sampaikan tidak mengenal siapa, hinggalah Ikrimah anak kepada Abu Jahal beriman dan sanggup menjadi pembelanya dan agama ini. 

Apa akan jadi jika Rasulullah mengikut rasa hati seperti kita hari ini dan membenarkan malaikat menimpakan Gunung Thaif ditimpa ke atas penduduk Thaif kerana perbuatan penduduk Thaif yang sanggup mencederakan baginda sewaktu dakwahnya? 

Kisah Ali r.a ketika berperang dan sedang menghunus pedang kepada musuhnya telah diludah oleh musuhnya lalu beliau meninggalkannya. Ketika ditanya mengapa beliau berbuat begitu, katanya, 

"Aku mahu bunuhnya kerana Allah, aku tidak mahu bunuhnya kerana rasa marahku. Ketika dia meludah ke wajahku aku jadi marah dan berang. Aku tidak akan bunuhnya kerana selain dari Allah."

Ibrah Keikhlasan

Ramai antara kita kata kita cinta Nabi dan ingin mengikuti baginda, tetapi adakah perbuatan kita menunjukkan kita benar dan ikhlas mencintai baginda? 

Ramai antara kita berkata ingin menjadi penyambung dakwah baginda, tetapi adakah apa yang kita lakukan samada dalam alam maya mahupun alam nyata menunjukkan kita melakukan semuanya ikhlas kerana Allah taala. 

Rasulullah s.a.w bersabda: 

"Aku pernah bertanya kepada Jibril tentang ikhlas. Lalu Jibril berkata, 'Aku telah menanyakan hal itu kepada Allah', lalu Allah berfirman, 

"(Ikhlas) adalah salah satu dari rahsiaku, yang Aku berikan ke dalam hati-hati orang-orang yang kucintai dari kalangan hamba-hambaKu."

(Hadith Qudsi)

Semoga Allah menjadikan kita antara golongan hamba yang dicintai-Nya. Semoga kita menjadi orang yang mengikhlaskan diri dan jiwa kita semata--mata kerana Allah s.w.t. 

https://cache.desktopnexus.com/thumbseg/1604/1604628-bigthumbnail.jpg

Memetik pesanan Amru Khalid dalam bukunya ini, 4 perkara yang semoga dengannya kita menjadi orang yang ikhlas dan dicintai Allah s.w.t:

1. Selalu memperbaiki niat

2. Selalu berdoa dengan ikhlas

3. Selalu berzikir pagi dan petang dengan doa, "Ya Allah, aku berlindung pada-Mu dari menyekutukan-Mu dengan sesuatu dan aku menyedari itu, dan aku meminta ampun dari apa yang tidak aku ketahui" 

4. Milikilah ketaatan dan kebaikan yang tersembunyi yang tidak diketahui oleh seorang pun, kecuali oleh Allah s.w.t. - kecuali agar diteladani manusia. 

~Kasih sayang seorang Nabi pada umatnya buat kita jatuh cinta pada akhlaknya. Pemaafnya dia membuat kita yakin dialah utusan terakhir dari Allah Yang Maha Esa. Kalau benar cinta, kenapa kita berpaling ke jalan yang lain?~

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino