::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Aug 30, 2022

Ummi, Khubaib Dan Trofi Tak Tersangka


~Nikmat manakah yang ingin ku dustakan~

Ummi bersyukur Ummi memilih menjadi sebagai surirumah sejak tahun 2016 walaupun ada masanya tidak sepenuh masa. 

Alhamdulillah Ummi bersyukur Allah izinkan Ummi jadi surirumah dalam tempoh 5 tahun pertama anak-anak membesar. Cuma Khubaib je satu tahun pertama Ummi berkerjaya, dan Khubaib duduk di rumah pengasuh, ada kalanya sampai malam disebabkan Ummi ulang alik UTM sewaktu sarjana dulu. 

Perlu Ke Semua Orang Jadi Surirumah? 

Menjadi surirumah bukanlah penyelesaian atau pilihan terbaik untuk semua orang. 

Pelbagai faktor perlu setiap wanita fikirkan sebelum menjadi surirumah. 

Sebelum jadi surirumah, Ummi dan Abi buat pertimbangan daripada segi kewangan. Perbezaan sebelum dan selepas menjadi surirumah. 

Keduanya, perjanjian dengan Abi, sebab Ummi ada tanggungan lain, komitmen kewangan seperti hutang pinjaman pelajaran dan rumah yang Ummi dah ada sejak Ummi bujang lagi. 

Ketiganya, faktor kesihatan Abi masa tu yang menyebabkan Ummi rasa bertanggungjawab untuk jadi isteri dengan ilmu kejuruwatan dan sedikit ilmu perubatan pada Ummi untuk Ummi berbakti di sisi suami dan akhirkan PJJ kami. 

Yelah waktu tu terfikir, 'aku ni jadi jururawat, ajar orang lain untuk rawat orang lain, tapi takkan tak nak gunakan sepenuhnya ilmu itu untuk suami sendiri?'

Inilah tiga faktor utama. Faktor-faktor lain masih banyak lagi. Tetapi ini yang terkuat untuk Ummi resign daripada bekerja sebagai pendidik anak-anak bangsa dan berubah menjadi pendidik si kecil di rumah. 

Surirumah Inspirasi 

Waktu mula-mula terinspirasi jadi surirumah ni zaman sekolah menengah dulu. 

Rakan sekolah saya, dengan adiknya sekali Naqib dan Pemimpin Pelajar sekolah. Dan adik beradik nya memang terkenal dengan akhlak yang baik, ilmu agama, dan kepimpinan. Apabila dapat tahu ibunya seorang surirumah lepasan Universiti Oxford, saya rasa sangat kagum kepada ibunya yang mendidik. Masya Allah didikan ibunya di rumah mencetak generasi anak-anak yang hebat. 

Tak lupa juga ada rakan-rakan yang saya kenali sejak zaman sekolah dan universiti, ibu mereka menjadi surirumah dan bekerja semula apabila anak-anak telah besar sedikit. 

Surirumah Berilmu

Jadi apa-apa saja pun kita perlukan ilmu. Baiki diri dan tingkatkan kualiti kerja kita. 
Termasuk lah jadi surirumah. 

Pengurusan masa:
Yang ni ilmu yang memang sangat penting. Tak ada siapa yang nak susun jadual kita di rumah. Surirumah perlu sangat belajar pengurusan masa. 

Self-care:
Self-care, penjagaan diri atau me-time ni memang sangat penting. Sebelum kita berfungsi dengan baik, kita perlu pastikan tangki spiritual, fizikal, sosio-emosional dan mental kita dalam keadaan yang baik. 

Dalam jadual kita sebagai surirumah, berapa peratus dalam seminggu kita peruntukkan untuk kita isi, baik pulih semua tangki-tangki ni? 

Ilmu keibubapaan, perkahwinan, dekorasi, memasak dan lain-lain seumpama nya adalah ilmu dan skil yang akan kita gunakan dengan baik jika kita dah servis 4 tangki tadi. 

Kejayaan-kejayaan Anak-anak

Hari ini saya menitiskan air mata. Melihat satu demi satu kejayaan anak-anak. Mungkin kecil bagi orang lain tetapi besar bagi seorang ibu. 

Dan saya masih belajar menjadi ibu yang baik. Menjadi surirumah yang baik. Menyibukkan diri untuk misi saya tanpa perlu disibukkan oleh orang lain. 

Hari ini menjemput Khubaib dari sekolah tahfiznya. Khubaib bawa balik trofi Johan Pertandingan Azan tahap 1. 

Terkejut Ummi dan Abi. Memang macam tak percaya. 

Minggu Khubaib ke Pertandingan Azan tu, Abi pergi kursus luar daerah. Tak dapat praktis Azan dengan Khubaib. 

Jadi, Ummi kelam kabut juga. Minta Khubaib praktis dengar azan di laptop. Kemudian minta dia azan depan Ummi. Ada macam pitching lari. 

Seminggu sebelum pertandingan,  Khubaib bercerita, masa latihan ada ramai lagi abang-abang yang masuk pertandingan azan. Ada seorang abang darjah 6, suara dia sedap sangat. Khubaib seorang je Tahun 1 yang masuk pertandingan Azan. 

Ummi cakap, "Tak apalah, tu kira pendedahan awal untuk Khubaib. Tak dapat nombor 1 pun tak apa. Khubaib belajar lah dulu daripada abang-abang tu."

Melihat kejayaan akademik dan kepimpinan anak-anak; Khubaib yang jadi ketua darjah di sekolah kebangsaannya, diberi kepercayaan ajar rakan-rakan mengeja dan membaca, jadi Johan Pertandingan Azan sekolah tahfiz, Fathimah antara dua pelajar dalam kelas yang tak perlu hadir ujian membaca sebab exempted, Fathimah tak lokek dengan kawan-kawan dan boleh mengaji dengan baik, dan Ali yang suka tengok buku - semua ini adalah dengan izin-Nya memberi motivasi untuk Ummi.

Di sebaliknya pasti ada cabaran dalam mendidik, ada tangis, ada ketawa.


Sahabat-sahabat dan kenalan saya yang di luar sana yang sama-sama berkerjaya sebagai surirumah seperti saya, berpendidikan, yang mungkin juga pernah berhadapan soalan seperti sindiran, dan kini mungkin sedang melihat hasil pengorbanan kami ini tentu merasai nikmat sebegini apabila melihat kejayaan-kejayaan anak-anak samada akademik, kokurikulum, kepimpinan dan akhlak. 

Sesungguhnya semua hanya kerana Allah dan dengan izin Allah.

Alhamdulillah infiniti syukur kepada-Nya. 

Nota 30 Ogos 2022. 
Ibu merdeka yang berusaha mendidik anak-anak merdeka dengan acuan-Nya. 

~Selamat Hari Merdeka ke-65 buat semua.~

Aug 21, 2022

Anak: Hargai Potensi Diri Mereka


Berhenti membandingkan anak dengan anak yang lain, seperti seorang lebih tinggi darjatnya daripada yang lain. 

Beriman dengan Firman-Nya

Beriman dengan Allah dan percaya kan firman-Nya bahawa yang membezakan manusia di antara manusia lain hanyalah nilaian taqwa di sisi-Nya. 

"Khubaib, kenapa buku-buku ni campur-campur besar dengan kecil? Hari tu kan Ummi dah ajar." Bagitahu Ummi pagi-pagi sambil membetulkan buku-buku Khubaib dalam beg. 

"Dah namanya Khubaib, memanglah macam tu." Jawab Khubaib. 

"Boleh je nak berubah." Balas Ummi. 

Ummi risau sebab nampak red flag kat situ. Macam dah tertanam kat minda dia yang dia memang akan macam tu. 

Bahaya sangat untuk anak. Apabila bapa atau ibu cakap pada anak tentang kekurangannya tanpa ajar anak cara untuk mengatasinya. Beri galakan pada dia. Berhenti rendahkan self-esteem anak-anak.  

Kalau anak lemah pada satu bahagian, tentu ada bahagian lain yang dia sangat bagus. Bagi peluang anak teroka minat dia sendiri, di samping ibu bapa beri galakan pada anak. Yang bahagian lemah tu perlu dibaiki sama-sama. Tak ada result yang akan datang cepat. 

Mendidik ni perlu sabar. Nak didik diri sendiri untuk terus buat baik pun bukan mudahkan? Semua perlukan kesabaran. 

Doa 

Ummi doakan semoga Allah juga berikan kesabaran untuk Ummi baiki diri sebagai seorang hamba, ibu, isteri dan anak yang solehah. Begitu juga pada sesiapa yang sedang membaca entri ini, semoga Allah kurniakan kesabaran yang baik (sobrun Jamil) dalam mengharungi perjalanan hidup ini. 

Doa kepada Allah agar anak-anak juga mudah dididik dengan sebaiknya. 

Hati manusia ni semua Allah yang pegang. 

Pelindung Anak

Insya Allah, Ummi akan terus melindungi anak-anak Ummi. Walaupun mungkin ada perkara yang perlu dikorbankan. 

Insya Allah, tak ada perkara mustahil di dunia ini jika kita terus berusaha, Allah tak pernah sia-siakan usaha kita. 

"Ummi, tadi kat sekolah Cikgu kata ada orang yang dapat markah 0 Akhlak." Cerita Khubaib dalam kereta. 

"Khubaib ke yang dapat 0 tu?" Saja Ummi test dia. 

"Taklah, Khubaib rasa Khubaib betul semua." 

"Haha. Konfiden je." Sakat Ummi dengan Khubaib. Tahap konfiden dia tu memang Ummi pun tak ada macam tu waktu sebaya dia. 


Apapun, tahniah untuk Muhammad Khubaib Adi. Barakallahu fik, sayang ku Khubaib. Semoga Allah berikan kefahaman yang jelas tentang Deen-Nya. 

Keputusan ni ibu bapa je yang tahu dulu. Surprise untuk Khubaib. 


Aug 18, 2022

Perkahwinan: Bukan Cerita Fairytale


~Happy ending hanya apabila kita tiba di Syurga~

Bukan Cinderella

Kisah perkahwinan atau spesifiknya berumah tangga ini bukan kisah perkahwinan dalam cerita dongeng Disney zaman kanak-kanak yang kita tengok dulu. Yang kisahnya melalui kepahitan, cubaan dan cabaran hidup akhirnya tamat apabila kita disatukan dalam medan perkahwinan. 

Waktu awal perkahwinan dulu, masih PJJ dengan suami, tanya seorang kakak dalam kelas Master saya kepada saya: 

"Dah berkahwin ke?"

"Dah, baru kahwin, masih dalam proses berkenalan lagi." Jawab saya sambil tersenyum. 

"Proses berkenalan dengan suami bukan awal perkahwinan saja tetapi di sepanjang proses perkahwinan." Katanya. 

Terdiam saya sejenak. Satu pencerahan yang baru untuk saya. 

******

Sekali Air Bah, Sekali Pantai Berubah 

Waktu itu belum melalui fasa itu. Ye lah. Masih dapat ilmu secara teori. 

Kini apabila telah lebih 9 tahun usia perkahwinan, sangat bersetuju dengan statement ini. Sangat relatable

Kita berkahwin dengan manusia yang dinamik. Manusia yang suka perubahan dan akan ada perubahan pada dirinya walaupun sedikit, selari dengan berubahnya (bertambahnya) digit usia kita. 

Tanggungjawab dan cabaran hidup kita  menggugah jiwa-jiwa kita. Maka, apa yang kita lihat, dengar dan baca setiap hari membentuk diri dan hati kita. Maka, tangki jiwa kita yang diisi secara pasif (daripada persekitaran) dan aktif (daripada inisiatif input kita sendiri) mempengaruhi setiap tindakan dan perlakuan kita. 

People are constantly changing. 
We are what we decide what we want to be. 

Kita sendiri yang memilih kita nak berubah jadi yang lebih baik atau sebaliknya. 

Walaupun banyak kajian mengatakan resilience iaitu daya tahan dipengaruhi oleh cabaran hidup sewaktu kecil, tetapi resilience setiap anak-anak daripada ibu bapa yang sama juga berbeza hingga mereka membesar dan menjadi pasangan hidup individu lain.

Macam berat pula nak cerita tentang resiliencecy atau daya tahan diri seseorang itu, insya Allah mungkin di lain entri boleh sambung lagi.

*******
Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang

Benar, personaliti seseorang dikaitkan dengan masa silamnya. Tetapi ada juga mereka yang berjaya keluar daripada rantaian adversity of childhood  life (zaman gelap kanak-kanak) mereka. 

Sewaktu zaman sekolah di STJ dulu, beberapa rakan saya yang hebat juga datang daripada broken family atau ibu bapa yang telah berpisah. 

Mereka pilih untuk berubah, take the challenge dan jadi orang yang hebat. Semuanya dengan izin Allah. Allah tak pernah kejam. Allah Maha Melihat. Dan Allah Maha Melihat apa yang kita usahakan untuk perbaiki diri kita dan Dia ada menemani langkah kita. 

~Kredit kepada sahabat amazing saya, Puan Maznah Ibrahim atas perkongsian gambar ini~


Stop blaming and move on. Percayalah Allah pilih kita untuk lihat kita berusaha meningkatkan darjat kita di sisi-Nya. Semakin kita dekat dengan Allah dan isi jiwa dan hati kita dengan perkara yang betul dan tindakan yang Allah redha, kita akan lihat cahaya di lorong gelap yang sedang kita lalui.

Ha, apa pula kaitan dengan perkahwinan pula kan? 

*******
Manusia Bukan Robot

Suami atau isteri kita bukan robot. Kita tak boleh kawal suami atau isteri kita. Kita tak boleh kawal dia nak isi masa dia dengan tengok handphone, tengok social media yang mana atau main mobile legend sebab dia adalah orang dewasa. 

Berikan suami atau isteri me-time mereka atau buat apa yang mereka suka selagi masih dalam landasan syarak atau selagi tidak melampaui batas. Kalau dia nak bersukan, sokonglah minatnya. Kalau mereka nak berjumpa rakan-rakan sambil 'mengeteh', berikanlah ruang untuknya. Begitu juga dengan suami kepada isteri.

Isikan sama-sama dalam rumah kita perkara bermanfaat untuk buat bersama. 

Kalau ada yang kita tak berkenan, cakap baik-baik dan elakkan bertekak terutama depan anak-anak. 

Betul, the struggle is real. Orang kata, 'cakap senanglah.'
Tak ada satu penyelesaian yang sama untuk semua isu dan konflik dalam rumahtangga. 

Perlukan tolak ansur dua manusia yang bernama suami dan isteri. Usahakan selagi mampu. Jika tak mampu, ambillah langkah-langkah penyelesaian yang lain.
Move on, jangan terlalu makan hati sampai kita sendiri tertekan, depress. Jika langkah terakhir, melepaskan itu lebih baik, kita serahkan kepada Allah, istikharahlah dan solat hajat agar Allah tunjukkan dan mudahkan jalan yang terbaik. 

Kita hanya mampu ubah diri kita dan doa kepada Allah agar pasangan kita juga berubah menjadi lebih baik. 

******
Panjang pula entri ini. 
Semoga ia bermanfaat. 

Manusia sentiasa ada perubahan. 
Mari kita ubah jadi lebih baik bermula dengan diri sendiri dulu. 
Baiki hubungan kita dengan Allah, dan Allah akan baiki kehidupan kita, insya Allah. 
 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino