::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Aug 30, 2022

Ummi, Khubaib Dan Trofi Tak Tersangka


~Nikmat manakah yang ingin ku dustakan~

Ummi bersyukur Ummi memilih menjadi sebagai surirumah sejak tahun 2016 walaupun ada masanya tidak sepenuh masa. 

Alhamdulillah Ummi bersyukur Allah izinkan Ummi jadi surirumah dalam tempoh 5 tahun pertama anak-anak membesar. Cuma Khubaib je satu tahun pertama Ummi berkerjaya, dan Khubaib duduk di rumah pengasuh, ada kalanya sampai malam disebabkan Ummi ulang alik UTM sewaktu sarjana dulu. 

Perlu Ke Semua Orang Jadi Surirumah? 

Menjadi surirumah bukanlah penyelesaian atau pilihan terbaik untuk semua orang. 

Pelbagai faktor perlu setiap wanita fikirkan sebelum menjadi surirumah. 

Sebelum jadi surirumah, Ummi dan Abi buat pertimbangan daripada segi kewangan. Perbezaan sebelum dan selepas menjadi surirumah. 

Keduanya, perjanjian dengan Abi, sebab Ummi ada tanggungan lain, komitmen kewangan seperti hutang pinjaman pelajaran dan rumah yang Ummi dah ada sejak Ummi bujang lagi. 

Ketiganya, faktor kesihatan Abi masa tu yang menyebabkan Ummi rasa bertanggungjawab untuk jadi isteri dengan ilmu kejuruwatan dan sedikit ilmu perubatan pada Ummi untuk Ummi berbakti di sisi suami dan akhirkan PJJ kami. 

Yelah waktu tu terfikir, 'aku ni jadi jururawat, ajar orang lain untuk rawat orang lain, tapi takkan tak nak gunakan sepenuhnya ilmu itu untuk suami sendiri?'

Inilah tiga faktor utama. Faktor-faktor lain masih banyak lagi. Tetapi ini yang terkuat untuk Ummi resign daripada bekerja sebagai pendidik anak-anak bangsa dan berubah menjadi pendidik si kecil di rumah. 

Surirumah Inspirasi 

Waktu mula-mula terinspirasi jadi surirumah ni zaman sekolah menengah dulu. 

Rakan sekolah saya, dengan adiknya sekali Naqib dan Pemimpin Pelajar sekolah. Dan adik beradik nya memang terkenal dengan akhlak yang baik, ilmu agama, dan kepimpinan. Apabila dapat tahu ibunya seorang surirumah lepasan Universiti Oxford, saya rasa sangat kagum kepada ibunya yang mendidik. Masya Allah didikan ibunya di rumah mencetak generasi anak-anak yang hebat. 

Tak lupa juga ada rakan-rakan yang saya kenali sejak zaman sekolah dan universiti, ibu mereka menjadi surirumah dan bekerja semula apabila anak-anak telah besar sedikit. 

Surirumah Berilmu

Jadi apa-apa saja pun kita perlukan ilmu. Baiki diri dan tingkatkan kualiti kerja kita. 
Termasuk lah jadi surirumah. 

Pengurusan masa:
Yang ni ilmu yang memang sangat penting. Tak ada siapa yang nak susun jadual kita di rumah. Surirumah perlu sangat belajar pengurusan masa. 

Self-care:
Self-care, penjagaan diri atau me-time ni memang sangat penting. Sebelum kita berfungsi dengan baik, kita perlu pastikan tangki spiritual, fizikal, sosio-emosional dan mental kita dalam keadaan yang baik. 

Dalam jadual kita sebagai surirumah, berapa peratus dalam seminggu kita peruntukkan untuk kita isi, baik pulih semua tangki-tangki ni? 

Ilmu keibubapaan, perkahwinan, dekorasi, memasak dan lain-lain seumpama nya adalah ilmu dan skil yang akan kita gunakan dengan baik jika kita dah servis 4 tangki tadi. 

Kejayaan-kejayaan Anak-anak

Hari ini saya menitiskan air mata. Melihat satu demi satu kejayaan anak-anak. Mungkin kecil bagi orang lain tetapi besar bagi seorang ibu. 

Dan saya masih belajar menjadi ibu yang baik. Menjadi surirumah yang baik. Menyibukkan diri untuk misi saya tanpa perlu disibukkan oleh orang lain. 

Hari ini menjemput Khubaib dari sekolah tahfiznya. Khubaib bawa balik trofi Johan Pertandingan Azan tahap 1. 

Terkejut Ummi dan Abi. Memang macam tak percaya. 

Minggu Khubaib ke Pertandingan Azan tu, Abi pergi kursus luar daerah. Tak dapat praktis Azan dengan Khubaib. 

Jadi, Ummi kelam kabut juga. Minta Khubaib praktis dengar azan di laptop. Kemudian minta dia azan depan Ummi. Ada macam pitching lari. 

Seminggu sebelum pertandingan,  Khubaib bercerita, masa latihan ada ramai lagi abang-abang yang masuk pertandingan azan. Ada seorang abang darjah 6, suara dia sedap sangat. Khubaib seorang je Tahun 1 yang masuk pertandingan Azan. 

Ummi cakap, "Tak apalah, tu kira pendedahan awal untuk Khubaib. Tak dapat nombor 1 pun tak apa. Khubaib belajar lah dulu daripada abang-abang tu."

Melihat kejayaan akademik dan kepimpinan anak-anak; Khubaib yang jadi ketua darjah di sekolah kebangsaannya, diberi kepercayaan ajar rakan-rakan mengeja dan membaca, jadi Johan Pertandingan Azan sekolah tahfiz, Fathimah antara dua pelajar dalam kelas yang tak perlu hadir ujian membaca sebab exempted, Fathimah tak lokek dengan kawan-kawan dan boleh mengaji dengan baik, dan Ali yang suka tengok buku - semua ini adalah dengan izin-Nya memberi motivasi untuk Ummi.

Di sebaliknya pasti ada cabaran dalam mendidik, ada tangis, ada ketawa.


Sahabat-sahabat dan kenalan saya yang di luar sana yang sama-sama berkerjaya sebagai surirumah seperti saya, berpendidikan, yang mungkin juga pernah berhadapan soalan seperti sindiran, dan kini mungkin sedang melihat hasil pengorbanan kami ini tentu merasai nikmat sebegini apabila melihat kejayaan-kejayaan anak-anak samada akademik, kokurikulum, kepimpinan dan akhlak. 

Sesungguhnya semua hanya kerana Allah dan dengan izin Allah.

Alhamdulillah infiniti syukur kepada-Nya. 

Nota 30 Ogos 2022. 
Ibu merdeka yang berusaha mendidik anak-anak merdeka dengan acuan-Nya. 

~Selamat Hari Merdeka ke-65 buat semua.~

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino