::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Nov 11, 2022

Ruqyah Diri: Pengalaman Hidup yang Mematangkan


~Pengalaman itu mematangkan dan mendewasakan  diri kita. Ilmu itu mempersiapkan jiwa kita. Dengan izin-Nya~

Ayat-ayat ruqyah mula saya kenali waktu umur 18 tahun dahulu. (Boleh rujuk juga di entri ini). Kini, hampir 20 tahun berlalu, saya banyak belajar, bukan sahaja tentang ayat-ayat ruqyah, bahkan ayat-ayat Al-Quran (bersifat ruqyah) dan setiap ayat serta tujuan bacaannya untuk situasi tertentu.

Ya. Ia sebenarnya sangat membantu. 

Lama dah rasanya tidak terganggu. Sikit-sikit itu mungkin ada, jika kadang-kadang balik lewat malam, atau dalam perjalanan melalui kawasan berhutan tu, adalah kemudian rasa terganggu. 

Jika bercerita atau berkongsi luahan perasaan diganggu ini, dahulu sahabat sematrik, seuniversiti dan sekerja saya Nurhidayah Mazlan tempat saya bercerita. Sebab kami ada satu persamaan iaitu boleh 'rasa' kehadiran entiti yang tidak diundang. Lebih-lebih lagi sewaktu zaman kami jadi rakan sekerja dan serumah dulu, pabila saya hebat dilanda gangguan pelik ni, memang Dayah lah tempat saya kongsi kegusaran saya.

Dua Minggu Terkini 

Dua minggu ini, saya mula rasa terganggu. Mulanya rasa sekadar ada yang menyinggah atau menyakat. Tetapi makin lama, makin melampau pula sampai apabila tiba hampir waktu tengah hari saja saya mula sakit kepala terutama di bahagian atas kening dan ubun-ubun. Anak-anak juga semakin beremosi. Dah lama tak rasa episod macam ni. 

Dua mingggu ini juga saya mula tingkatkan semula hubungan saya dengan Allah. (Allahu, mungkin ini juga ingatan Allah untuk saya). 

Lagi hebat saya dengar dan baca Al-Quran, perlawanannya juga semakin sengit dirasakan. Maka, lagi hebat kita diperangi, lagi hebatlah pula kita perlu kuatkan kubu pertahanan dan tembakan doa-doa kita meminta bantuan-bantuan ekstra daripada Allah yang Maha Berkuasa. Dan saya merasakan gangguan ini bukan biasa-biasa sebab saya dilanda mimpi-mimpi hampir sama genrenya setiap kali saya melelapkan mata. 

Seperti kata-kata ustaz-ustaz yang pernah saya temui sebelum ini, ialah yang terbaik meruqyah atau membacakan ayat-ayat Al-Quran untuk menyembuhkan diri ini adalah tuan badan sendiri. Alhamdulillah, sehari dua ini Allah menampakkan solusi kepada saya. Segala puji kepada Allah Tuhan yang menguasai sekalian alam. 

Alhamdulillah, sinar kesembuhan semakin terang. 




Pengalaman Yang Mendewasakan 

Berkecimpung dalam bidang ruqyah telah menyebabkan saya dengan izin Allah bukan saja bantu diri saya bahkan bantu orang lain yang memerlukan. 

Saya tidak kuat bahkan Allah lah yang beri sedikit kelebihan ini melalui saya yang serba kekurangan.

Saya pernah ditugaskan menjaga 2 orang pelajar yang sedang kerasukan di surau kecil bersama seorang anak murid yang menemani saya sewaktu jadi pensyarah dahulu. Dan ada sedikit kelebihan 'sense' lain yang Allah bagi pada saya. 

La hawla wala quwwata illa billah hil aliyil 'adzim. 
Tiada daya dan upaya melainkan apa yang telah diberikan olehnya. 

Zaman saya sakit dan lelah kerana penyakit dahulu, saya belajar juga ilmu menghantar semula sihir ini melalui ayat-ayat Al-Quran. Ya, waktu itu  al-maklumlah berdarah muda.

Namun, kali ini saya tak mahu berperang. Cukuplah ia disini. Jika itu adalah daripada sahabat atau kenalan saya, maka saya doakan Allah berikan kesedaran dan hidayah kepadanya. Dan jika anda membaca ini, semoga Allah jaga anda, fi hifzillah!

Rindu Dayah!

Teringat zaman saya keluar makan malam bersama Hidayah dan rakan-rakan serumah dahulu. Kedai makan tu sedap cuma ada nyanyi karaoke dibuka kepada pengunjung. Biasanya saya tidak mahu makan di situ. 

Tapi disebabkan malam itu belum ada lagi karaoke, maka saya bersetuju makan di situ bersama rakan-rakan serumah yang lain. 

Sedang makan-makan, tiba-tiba, ada pakcik dalam usia 50-an ke bahagian hadapan. Tidak lama kemudian, suaranya terus berkumandang disertai lampu bercahaya yang bertukar-tukar warna di belakangnya. 

Tidak lama kemudian, saya berkata kepada Dayah:
"Dayah, awak rasa tak apa saya rasa?" 

"Rasa apa Naddy?"

"Ada benda ni." 

"Oh, faham-faham." 

Dan kami tersenyum sesama sendiri. Dan lepas tu cukuplah memang kami tak pergi kedai tu lagi. 

Dan saya tak cerita dengan orang lain seperti ini sebagaimana saya cerita kepada Dayah. Sebab kalau orang yang tak ada 'sense', mereka akan terus takut. Huhu. 

Dengan suami pun, biasanya saya cerita apabila cerita tersebut dah jadi past tense je. 

Insya Allah, besarkan Allah dalam hidup kita, semua masalah akan mengecil dan pupus dengan izin-Nya. 


Salah satu wirid terbaik yang saya pelajari ialah bacalah Subhanallahi wa bihamdihi 100x pagi dan 100x petang dalam keadaan hati yang khusyuk. Lebih baik lagi jika jadikan wirid ini membasahi lidah sepanjang hari.


~Yang masih perlu belajar. Jom!~ 


0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino