::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

May 26, 2024

Apabila Kita Jumpa Dia


 ~Apabila kamu jumpa dia...~


Apabila kita jumpa orang yang tidak pernah putus asa dengan kita walaupun waktu itu kita dah nak putus harap,

Apabila kita jumpa dengan orang yang sudi menjadi pendengar luahan kita tanpa mereka komplen semula, atau  salahkan kita semata,

Apabila kita jumpa orang yang tergambar gembira di wajahnya apabila kita beritakan bahagia dan kesyukuran kita,

Apabila kita jumpa orang yang sudi bantu kita apabila kita dalam keserabutan, 

Apabila kita jumpa orang yang beri bahu untuk kita bersandar saat kita kesedihan,

Apabila kita jumpa dengan orang yang ikhlas  beri bantuan pada kita dalam susah dan senang,

Apabila kita jumpa dengan orang yang benar-benar nak lihat kita berjaya dan gembira lebih daripada keadaan kita sekarang, 

Sama ada orang itu adalah ahli keluarga, sahabat, guru, jiran atau sesiapa saja yang Allah takdirkan dan hantar mereka hadir dalam hidup kita, 

Tolong hargai dan jangan siakan mereka, 

Kerana kehadiran mereka tidak setiap hari dan tidak selalu kita temui. 


Mereka mungkin hanya hadir sementara dalam hidup kita dan tak bersama selamanya dengan kita di dunia. 


Hanya mungkin jika kita benar-benar hargai mereka, kita dan mereka akan bertemu kembali selamanya di Syurga, dengan izin-Nya. 



~Tidak ada seseorang itu hadir dalam hidup ini hanya sia-sia, boleh jadi ia asbab memberi pengajaran atau untuk memberi harapan~

May 23, 2024

How I Wish...


 ~How I wish...~

~How I wish I could blow all of your pain away.~


Hari ini Khubaib berkata dengan Umminya dalam kereta. 

"Khubaib tahu Khubaib kan tak hensem. Ummi rasa Ummi cantik tak? Khubaib tahu Khubaib tak hensem." 

Ummi diam saja menantikan Khubaib luahkan perasaannya. 

Diam Ummi bukan tanda setuju. Ummi nak dengar luahan perasaannya. 

How I wish I could take back all your hurt, Khubaib. 


Sambil kami nak masuk ke rumah, Ummi berkata pada Khubaib, "hensem tu tak penting. Yang penting kena jaga penampilan, kemas, tak kotor."


Sedih, apabila anak-anak selalu dikatakan pengotor, selekeh, dan seangkatannya. Mereka masih belajar lagi. 

Ummi dulu waktu kecil tu pun lebih kurang macam Khubaib. 
Sampai jadi pelajar jururawat praktikal dulu pun, ada kesan air sirap tumpah kat baju. 

Dalam ketiga-tiga anak Ummi, Khubaib banyak ikut Ummi. Tetapi lama kelamaan kita belajar mengurus diri dengan lebih baik. 

Apabila yang mana perlu diberikan pujian, tak diberikan pujian. Apabila yang tak elok pula dibesar-besarkan. 


Ummi faham. Tiada tempat mengadu lebih baik berbanding kepada Dia. 
Ummi selalu ajar anak-anak doa ini.

"Allahuma'jurni fi musibati,  wa akhlifli khaira minha."

Seperti yang diajarkan oleh Nabi sa.a.w: 

“Siapa saja dari hamba yang tertimpa suatu musibah lalu ia mengucapkan: 

“Inna lillahi wa inna ilaihi rooji’un. Allahumma’jurnii fii mushibatii wa akhlif lii khoiron minhaa”, maka Allah akan memberinya ganjaran dalam musibahnya dan menggantinya dengan yang lebih baik.” 

Ketika Abu Salamah (suami Ummu Salamah) wafat, aku pun menyebut do’a sebagaimana yang Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam perintahkan padaku. Allah pun memberiku suami yang lebih baik dari suamiku yang dulu, yaitu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam.” 

(HR. Muslim no. 918)


May 11, 2024

Apabila Kamu Sudah Pandai


 ~Bila kamu sudah pandai, jangan pandang rendah pada yang belum pandai. Jadilah seperti resmi padi..~


~Padi; makin tunduk makin berisi~


Apabila kamu sudah pandai, jangan herdik mereka yang belum pandai. Apabila kamu sudah tahu, jangan hina mereka yang belum tahu. Apabila kamu sudah berlari, jangan pandang rendah mereka yang sedang berusaha berjalan. 

Apa sahaja nikmat yang Allah bagi kita ni sedikit saja. Kadang-kadang kita rasa ego, takbur, kagum dengan diri sendiri, apabila kita di satu tahap lebih daripada orang lain. Kita rasa kita istimewa. 

Jadi, orang lain, Allah ciptakan mereka ni tak istimewa ke? 


Semua orang Allah ciptakan dengan sebaik-baik ciptaan dalam Surah At-Tin ayat 4, cuma kadang-kadang penilaian manusia tentang 'sebaik-baik ciptaan' hanya ikut definisi sendiri. Sampai kita lupa atau mungkin tak perasan tentang ayat ini. Semua manusia ada istimewa mereka. Dan istimewa kita ini bukanlah suka-suka Allah bagi. Melainkan untuk kita bagi manfaat pada orang lain. 

Hatta, mereka yang kelainan upaya juga keistimewaan mereka ada yang tidak ada pada kita manusia 'normal' ini. 


"Itupun tak tahu ke?" 

"Where you put your brain?" 

"Awak tahu sampai sini je ke?" 


Kita lupa kita dulu pun zero. Kita dulu juga bermula daripada tak tahu. Kita takut orang marah kita apabila kita tak tahu. Kita sedih apabila dimarahi sebab kita buat silap dan belum mahir. 


Yang sudah tahu, tugasnya membimbing dengan kasih sayang. Bukan dengan melupakan bahawa 'aku pernah suatu masa itu di situ.' 


*******

Allah izinkan saya pernah berjumpa dengan guru-guru yang hebat dan humble. Dan masih ada lagi guru-guru saya yang seperti itu. 

[1] Suatu hari dulu zaman ijazah, setelah habis kelas topik kanser kolorectal, oleh seorang pensyarah jemputan, iaitu salah seorang pakar bedah terbaik kanser kolorektal di Malaysia, kata beliau lebih kurang kepada kami,


"Allah bagi saya pada tangan ini untuk buat perform prosedur, buat pembedahan. Dan kalau Allah ambil tangan saya ni je, tak ada apa dah pada saya."


Allahu, sebak rasa hati ini bila dengar ayat beliau. Kadang-kadang dalam masa beberapa hari beliau perlu pergi ke pelbagai negeri dalam Malaysia untuk buat prosedur pembedahan, sibuknya beliau, tapi nikmat walau sekadar tangan yang digunakan itu beliau tak lupa ia satu nikmat daripada Tuhan!


[2] Salah seorang lagi doktor di fakulti perubatan ketika itu yang juga pensyarah di Kulliyyah of Medicine, UIAM ketika itu menjadi pengajar kami yang mengambil kursus Basic Life Support. Subhanallah, saya terkejut, sebab doktor sanggup tambah saya jadi rakan di Facebook. Sekarang Allah anugerahi beliau telah bersara dengan title Prof Dato' Dr daripada universiti kami beberapa tahun lalu. 

Percayalah, siapa yang bersyukur, yang tawadhuk, Allah akan tambahkan lagi nikmat untuknya!

******


Apa saja bidang kita, sebagai guru, pekerja, ibu bapa, superior, berjawatan tinggi, dan apa sahaja posisi kita, jadilah seperti resmi padi. Yang ada pada kita hanyalah kelebihan daripada Allah, samada bersyukur atau kufur nikmat-Nya, kita yang pilih. 

Jalan mana yang kita mahu pilih? 

"Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan perempuan. Kemudian, Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti."

(Surah Al-Hujurat; Ayat 13)


~Dan setiap kita diberikan pilihan. Muhasabah untuk diri ini jua.~

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino