~Bila kamu sudah pandai, jangan pandang rendah pada yang belum pandai. Jadilah seperti resmi padi..~
~Padi; makin tunduk makin berisi~ |
Apabila kamu sudah pandai, jangan herdik mereka yang belum pandai. Apabila kamu sudah tahu, jangan hina mereka yang belum tahu. Apabila kamu sudah berlari, jangan pandang rendah mereka yang sedang berusaha berjalan.
Apa sahaja nikmat yang Allah bagi kita ni sedikit saja. Kadang-kadang kita rasa ego, takbur, kagum dengan diri sendiri, apabila kita di satu tahap lebih daripada orang lain. Kita rasa kita istimewa.
Jadi, orang lain, Allah ciptakan mereka ni tak istimewa ke?
Semua orang Allah ciptakan dengan sebaik-baik ciptaan dalam Surah At-Tin ayat 4, cuma kadang-kadang penilaian manusia tentang 'sebaik-baik ciptaan' hanya ikut definisi sendiri. Sampai kita lupa atau mungkin tak perasan tentang ayat ini. Semua manusia ada istimewa mereka. Dan istimewa kita ini bukanlah suka-suka Allah bagi. Melainkan untuk kita bagi manfaat pada orang lain.
Hatta, mereka yang kelainan upaya juga keistimewaan mereka ada yang tidak ada pada kita manusia 'normal' ini.
"Itupun tak tahu ke?"
"Where you put your brain?"
"Awak tahu sampai sini je ke?"
Kita lupa kita dulu pun zero. Kita dulu juga bermula daripada tak tahu. Kita takut orang marah kita apabila kita tak tahu. Kita sedih apabila dimarahi sebab kita buat silap dan belum mahir.
Yang sudah tahu, tugasnya membimbing dengan kasih sayang. Bukan dengan melupakan bahawa 'aku pernah suatu masa itu di situ.'
*******
Allah izinkan saya pernah berjumpa dengan guru-guru yang hebat dan humble. Dan masih ada lagi guru-guru saya yang seperti itu.
[1] Suatu hari dulu zaman ijazah, setelah habis kelas topik kanser kolorectal, oleh seorang pensyarah jemputan, iaitu salah seorang pakar bedah terbaik kanser kolorektal di Malaysia, kata beliau lebih kurang kepada kami,
"Allah bagi saya pada tangan ini untuk buat perform prosedur, buat pembedahan. Dan kalau Allah ambil tangan saya ni je, tak ada apa dah pada saya."
Allahu, sebak rasa hati ini bila dengar ayat beliau. Kadang-kadang dalam masa beberapa hari beliau perlu pergi ke pelbagai negeri dalam Malaysia untuk buat prosedur pembedahan, sibuknya beliau, tapi nikmat walau sekadar tangan yang digunakan itu beliau tak lupa ia satu nikmat daripada Tuhan!
[2] Salah seorang lagi doktor di fakulti perubatan ketika itu yang juga pensyarah di Kulliyyah of Medicine, UIAM ketika itu menjadi pengajar kami yang mengambil kursus Basic Life Support. Subhanallah, saya terkejut, sebab doktor sanggup tambah saya jadi rakan di Facebook. Sekarang Allah anugerahi beliau telah bersara dengan title Prof Dato' Dr daripada universiti kami beberapa tahun lalu.
Percayalah, siapa yang bersyukur, yang tawadhuk, Allah akan tambahkan lagi nikmat untuknya!
******
Apa saja bidang kita, sebagai guru, pekerja, ibu bapa, superior, berjawatan tinggi, dan apa sahaja posisi kita, jadilah seperti resmi padi. Yang ada pada kita hanyalah kelebihan daripada Allah, samada bersyukur atau kufur nikmat-Nya, kita yang pilih.
Jalan mana yang kita mahu pilih?
"Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan perempuan. Kemudian, Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti."
(Surah Al-Hujurat; Ayat 13)
~Dan setiap kita diberikan pilihan. Muhasabah untuk diri ini jua.~
0 comments:
Post a Comment