~Saya sedar saya makhluk yang ada hati dan perasaan. Dan hati dan perasaan tu adalah amanah untuk saya menjaga dan mengurusnya~
Matlamat Besar
Insya Allah tahun 2025 ini, saya ada matlamat besar untuk diri saya, keluarga, ummah dan untuk dapatkan redha Allah.
Dan matlamat itu adalah satu perkara yang besar.
Saya sedar emosi mempengaruhi tindakan saya.
Salah satu ilmu daripada mentor pengurusan tesis yang saya pegang: Emotion affects Motion.
Sebelum ni saya sedar tentang itu tetapi mungkin tak berapa yakin dengan fakta itu. Dan bila ada mentor yang mengvalidasikannya, saya lebih yakin tentangnya.
Bersinar atau Hilang Dari Radar?
Bukan senang kan nak jadi manusia sebab kita ada hati dan perasaan yang kita perlu jaga. Emosi kita tak selalunya dalam kadar stabil. Kita tak mampu kawal perkara yang mencuit hati dan perasaan kita.
Tapi kita boleh pilih cara kita untuk bereaksi dengannya.
Berapa ramai yang telah kecundang dek kerana emosi yang tidak terkendali, walhal mereka dahulu merupakan pemegang cita-cita dan impian besar?
Saya menyaksikan perkara itu berlaku di kalangan sahabat dan kenalan. Yang antaranya dahulu menjadi tauladan untuk saya jejaki mereka. Tahun demi tahun berlalu, ada yang terus bersinar, dan ada yang terus hilang dari radar.
"Sikit lagi Nadiah. Kau dah nak sampai dah. Sikit lagi, jangan putus asa dan bersedih dengan apa yang terjadi. Jalan terus."
Ah, terus saya teringat ketika zaman akhir-akhir tahun ijazah pertama. Bertimpa-timpa ujian datang. Sampai baca buku pun menangis, tengok cerita pun menangis, makan pun menangis, nak tidur pun menangis. Dua minggu saya tak boleh tidur baring, sebab rasa sesak nafas, dan perlu tidur separa duduk (45 darjah dari katil). Tapi Alhamdulillah saya buat comeback untuk jadi lebih kuat. Saya teruskan training dalam futsal, dan dapat bersama pasukan UIA Kuantan dapat tempat kedua di Pertandingan Sukan IPT Pantai Timur. Semester yang sama dapat jadi antara penerima Anugerah Dekan. Saya nak tamatkan zaman pelajar ijazah saya dengan momen yang indah.
Waktu tu walaupun diri masih belum betul-betul matang, saya katakan 'kalau itu pun saya telah dapat lalui, kenapa bukan kali ini?'
Dan berapa banyak lagi episod setelah itu terutama perkara-perkara besar yang mengganggu emosi ini yang telah saya hadap dengan baik dengan izin ALLAH swt.
Memang saya lemah tapi saya ada Allah sebagai tempat saya mengadu dan berharap.
Tugas Hari Ini
Hari ini, saya ada tugas yang lebih berat dari kelmarin.
Syukur, zaman ijazah pertama, saya masih ada kawan-kawan sekuliyyah, dan luar universiti yang boleh distract kesedihan saya. Dan zaman sarjana, saya ada rakan-rakan sekerja yang juga sama ambil sarjana di tempat yang sama untuk kongsi rasa. Dan Alhamdulillah, untuk habiskan Phd kali ni, Allah kurniakan lebih ramai orang-orang positif di sekeliling saya, tambah lagi ada mentor dan proses untuk saya terus belajar.
"Nadiah, kau nak capai benda besar dan masa dah hampir ke garisan penamat. Jangan sampai emosi negatif tu hancurkan momentum kau. Kau dah nak sampai. Kalau kau berhenti dan layan sedih kau, momentum kau akan jadi perlahan, jatuh. Kau kena laju sebab waktu tak tunggu kau."
Kalau boleh memang kita nak cakap, boleh tak jangan uji perasaan aku waktu ni?
Tapi saya sedar semua orang berhadapan dengan ujian. Itu tanda Allah sayangkan?
~Yakin, insya Allah, hari tidak selalu cerah, tapi akan datang hari-hari indah~ |
0 comments:
Post a Comment