::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Jun 12, 2009

Pengumuman: Kepada semua pencari hati...


~Sesungguhnya Allah sayang kepada orang-orang yang bertaubat dan menyucikan dirinya~




Berkata Ibrahim Bin Adham:

"Barangsiapa yang menginginkan dirinya untuk bertaubat hendaklah ia keluar dari kezaliman dan meninggalkan orang-orang yang pernah ia pergauli jika tidak ia tidak akan mendapatkan apa yang ia inginkan.

Berhati-hatilah terhadap dosa., sesungguhnya dosa itu adalah kemalangan, akibat-akibat yang ditimbulkannya sangatlah keji, dan hukuman yang ditimbulkannya pun sangatlah menyakitkan.

Hati-hati manusia yang sangat mencintainya akan sangat menderita, keselamatan hati darinya adalah sebuah kemenangan, kesihatan tubuh kerananya tidak akan memberi erti, sedangkan menikmati kehancuran bersama-samanya apalagi setelah menjelang usia uzur, adalah bencana besar."


"Ketaaatan kepada Allah adalah usaha terbaik hamba

maka taatlah kepada Allah dan jangan menderhakaiNya

kehancuran jiwa hanya akan berawal dari kederhakaan

hindarilah apa yang terlarang dan jangan berdekatan

jika pada satu hal kehancuranmu berawal

hendaknya jiwamu yang harus engkau kawal."


Diserukan di sini, "Wahai orang yang hatinya hilang, carilah hatimu di majlis -majlis zikir semoga engkau kembali mendapatkannya. Wahai orang yang sakit hatinya, bawalah ia ke majlis zikir semoga ia mendapatkan ubatnya."

::Dari buku 100 Cara Menjadi Kekasih Allah
Oleh: Umar bin Musa Hafiz::



Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Jun 9, 2009

Selamat Hari Bapa, Ayah...




(1)

Dah lama Adik tak jumpa Ayah. Adik tanya pada Mak, "Kenapa Ayah tak tinggal dengan kita?"

Mak jawab, "Mak dah berpisah dengan Ayah."

"Kenapa?" Tanya Adik lagi. Walaupun baru berumur 4 tahun lebih, Adik suka sangat bertanya.

"Ayah ada isteri lain." Balas Mak.

"Kenapa Mak tak pisahkan Ayah dengan isteri dia?" tanya Adik lagi. Ingin tahu.

"Adik, kalau orang pisahkan Mak dengan Ayah, Adik suka tak?" tanya Mak lembut.

"Tak suka." jawab Adik.

Lepas tu, Adik tak pernah lagi tanya soalan macam tu pada Mak.

Tapi, hari-hari yang lain, bila Adik rindu Ayah, Adik tetap tanya pada Mak tentang Ayah. Kadang-kadang sampai Mak naik penat layan soalan Adik.

(2)

Bila dah besar sikit, Adik pun mula main sama kawan-kawan. Tapi Adik selalu sedih bila kalau bergaduh, kawan-kawan suka kata: "Balik nanti kita bagitahu ayah kita".

Adik simpan dalam hati. Adik tak ada Ayah nak ngadu. Ayah, kenapa tinggalkan Adik?


(3)

Dah bertahun-tahun Adik masuk sekolah rendah, baru Adik dapat jumpa Ayah. Itupun masa di Mahkamah. Mak kata nak tuntut nafkah belanja untuk Adik. Wang RM50 sebulan tak cukup untuk belanja Adik yang semakin membesar ni. Ayah bukan orang sebarangan. Mak kata Ayah kaya, Ayah ada banglo, kereta banyak, takkan itu pun tak dapat bagi cukup duit pada Adik.

Adik diam saja. Waktu tu, Adik tak rasa pun nak benci Ayah. Adik cuma nak tengok wajah Ayah saja. Dah lama tak jumpa Ayah. Asyik tengok Ayah dalam gambar lama je.

Dalam Mahkamah, Adik jumpa Ayah akhirnya. Ayah cium dahi Adik. Adik rasa macam nak nangis.


(4)

Masuk sekolah menengah, Mak dah ada pengganti Ayah. Waktu tu, Adik rasa sunyi sangat. Adik cari jalan nak hubungi Ayah. Adik syukur sangat sebab dapat cakap dengan Ayah, dengar suara Ayah. Ayah kata nak lawat Adik nanti di sekolah.

Setiap hari Adik tunggu. Tapi Ayah tak muncul-muncul juga. Ayah lupa janji Ayah ke? Sampai hati Ayah mungkir janji pada Adik.


(5)

Bila masuk universiti, Adik tetap ingat Ayah lagi. Adik harap Ayah akan sedar kesilapan Ayah dan anak Ayah ni. Tanpa putus asa, Adik hubungi Ayah lagi. Bila ada hari-hari penting macam Hari Bapa atau perayaan, Adik akan hantar ucapan melalui khidmat pesanan ringkas pada Ayah.
Adik gembira sangat bila Ayah balas. Harap Ayah masih sayang Adik lagi.

Satu hari, Adik ajak kawan bawa kereta lalu depan rumah Ayah. Sebab Adik rindu Ayah. Teringin sangat tengok wajah Ayah. Tak sangka bila lalu, Ayah terus pandang kereta yang dipandu tu. Agaknya adakah naluri Ayah mengatakan sesuatu pada Ayah?

Ayah, Adik rindu Ayah.

Tapi, entah kenapa, beberapa bulan lepas tu, Ayah dah tak balas pesanan khidmat ringkas Adik lagi. Ayah tak sihat ke? Atau Ayah dah tak nak hubungi Adik lagi?

Ayah, Adik harap dapat jumpa Ayah lagi. Biarpun kali terakhir.

Adik tak pernah benci Ayah.

Selamat Hari Bapa, Ayah...

Jun 6, 2009

Cerita Ketam Dalam Baldi



~Islam menyeru ke arah keadilan dan menolak kezaliman. Membawa kepada persamaan sesama manusia dan hanya dibezakan dengan nilai iman dan takwa.~

Kamus Dewan Ketiga mendefinisikan 'diskriminasi' sebagai perlakuan membeza-bezakan warna kulit, keturunan dan sebagainya.

Diskriminasi bukan bermula ketika manusia sudah bertamadun. Bahkan, ia telah dimulakan oleh Iblis laknatullah terhadap manusia pertama diciptakan iaitu Nabi Adam a.s. Dan ia terus berlanjutan hingga ke hari ini.

Jika disingkap sirah Nabi Muhammad s.a.w, baginda sendiri berdepan dengan pelbagai karenah manusia yang berdiskriminasi terhadap baginda dan orang-orang mukmin. Namun, Allah selalu memberitakan ayat-ayatNya yang memberi ketenangan dan ganjaran bersabar pada baginda dan golongan yang mengikuti.

Salah seorang sahabat saya bertanya tentang sebab diskriminasi yang kami berpeluang untuk merasakannya sendiri. "Kita peliklah kenapa orang perlu dengki dan iri hati." ujarnya lagi.

Saya sendiri tidak dapat menjawab mengapa perasaan begitu perlu ada. Mohon juga hati ini tidak berpenyakit sebegitu hari ini dan di kemudian hari.

Teringat cerita 3 kelompok ketam di dalam baldi.


Baldi 1
Ketam-ketam yang ada berebut-rebut untuk keluar dari baldi dan berlumba untuk jadi siapa dulu menjadi ketam pertama yang naik ke atas baldi. Namun, pergaduhan tercetus kerana semuanya bergaduh untuk jadi ketam pertama.

Baldi 2
Ketam-ketam yang ada sudah bersetuju untuk melantik ketam mana yang ke atas dahulu. Namun, masih ada ketam-ketam lain yang tak berpuas hati. Sewaktu kumpulan awal ketam yang naik hendak sampai ke puncak, ada pula ketam yang sengaja menarik ketam di atas dari bahagian dasar baldi. Lalu, jatuhlah semua ketam yang sedang naik ke atas.

Baldi 3
Semua sudah berpakat dan bersetuju untuk melantik siapa yang layak dan berkebolehan untuk naik ke atas dahulu. Dan ketam-ketam yang atas berjanji untuk membantu ketam-ketam di bahagian dasar baldi sekiranya mereka sampai dahulu. Tidak seorang pun memungkiri janji. Semuanya berjaya keluar dari baldi.


Lantas, di manakah kita? Emm....

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino