(1)
Dah lama Adik tak jumpa Ayah. Adik tanya pada Mak, "Kenapa Ayah tak tinggal dengan kita?"
Mak jawab, "Mak dah berpisah dengan Ayah."
"Kenapa?" Tanya Adik lagi. Walaupun baru berumur 4 tahun lebih, Adik suka sangat bertanya.
"Ayah ada isteri lain." Balas Mak.
"Kenapa Mak tak pisahkan Ayah dengan isteri dia?" tanya Adik lagi. Ingin tahu.
"Adik, kalau orang pisahkan Mak dengan Ayah, Adik suka tak?" tanya Mak lembut.
"Tak suka." jawab Adik.
Lepas tu, Adik tak pernah lagi tanya soalan macam tu pada Mak.
Tapi, hari-hari yang lain, bila Adik rindu Ayah, Adik tetap tanya pada Mak tentang Ayah. Kadang-kadang sampai Mak naik penat layan soalan Adik.
(2)
Bila dah besar sikit, Adik pun mula main sama kawan-kawan. Tapi Adik selalu sedih bila kalau bergaduh, kawan-kawan suka kata: "Balik nanti kita bagitahu ayah kita".
Adik simpan dalam hati. Adik tak ada Ayah nak ngadu. Ayah, kenapa tinggalkan Adik?
(3)
Dah bertahun-tahun Adik masuk sekolah rendah, baru Adik dapat jumpa Ayah. Itupun masa di Mahkamah. Mak kata nak tuntut nafkah belanja untuk Adik. Wang RM50 sebulan tak cukup untuk belanja Adik yang semakin membesar ni. Ayah bukan orang sebarangan. Mak kata Ayah kaya, Ayah ada banglo, kereta banyak, takkan itu pun tak dapat bagi cukup duit pada Adik.
Adik diam saja. Waktu tu, Adik tak rasa pun nak benci Ayah. Adik cuma nak tengok wajah Ayah saja. Dah lama tak jumpa Ayah. Asyik tengok Ayah dalam gambar lama je.
Dalam Mahkamah, Adik jumpa Ayah akhirnya. Ayah cium dahi Adik. Adik rasa macam nak nangis.
(4)
Masuk sekolah menengah, Mak dah ada pengganti Ayah. Waktu tu, Adik rasa sunyi sangat. Adik cari jalan nak hubungi Ayah. Adik syukur sangat sebab dapat cakap dengan Ayah, dengar suara Ayah. Ayah kata nak lawat Adik nanti di sekolah.
Setiap hari Adik tunggu. Tapi Ayah tak muncul-muncul juga. Ayah lupa janji Ayah ke? Sampai hati Ayah mungkir janji pada Adik.
(5)
Bila masuk universiti, Adik tetap ingat Ayah lagi. Adik harap Ayah akan sedar kesilapan Ayah dan anak Ayah ni. Tanpa putus asa, Adik hubungi Ayah lagi. Bila ada hari-hari penting macam Hari Bapa atau perayaan, Adik akan hantar ucapan melalui khidmat pesanan ringkas pada Ayah.
Adik gembira sangat bila Ayah balas. Harap Ayah masih sayang Adik lagi.
Satu hari, Adik ajak kawan bawa kereta lalu depan rumah Ayah. Sebab Adik rindu Ayah. Teringin sangat tengok wajah Ayah. Tak sangka bila lalu, Ayah terus pandang kereta yang dipandu tu. Agaknya adakah naluri Ayah mengatakan sesuatu pada Ayah?
Ayah, Adik rindu Ayah.
Tapi, entah kenapa, beberapa bulan lepas tu, Ayah dah tak balas pesanan khidmat ringkas Adik lagi. Ayah tak sihat ke? Atau Ayah dah tak nak hubungi Adik lagi?
Ayah, Adik harap dapat jumpa Ayah lagi. Biarpun kali terakhir.
Adik tak pernah benci Ayah.
Selamat Hari Bapa, Ayah...
0 comments:
Post a Comment