::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Mar 9, 2012

Kuasa Ultra Keimanan


~Dengan adanya Allah, hati tidak akan gundah, bahkan ia bersinar terang seperti suria yang sedang menjelang~

~Dengan adanya Allah, hati tidak akan gundah, bahkan ia bersinar terang seperti suria yang sedang menjelang~
Ceritera


"Orang-orang di sekeliling tak memahami masalah kita. Mereka melihat kita dengan pandangan serong." Kata Lutfil Hadi. Meluahkan isi hatinya setelah berjaya didalami oleh gurunya.

"Tatkala orang-orang tidak memahami masalah kita, kita kena yakin kita ada Allah yang memahami kita." tenang Cikgu Raudhah Sakinah melafazkannya kepada anak muridnya.
 
"Bila kita solat dengan sepenuh hati, kita tumpukan untuk Dia, kita akan beroleh ketenangan. Lutfi pernah merasai ketenangan itu, kan?" sambung cikgu genit itu yang bertindak sebagai penasihat akademik anak muridnya.

Lutfil Hadi mendiamkan diri. Kata-kata itu bagaikan menerobos ke lubuk hatinya paling dalam dan diterjemahkan lumat-lumat.

Lama Cikgu Raudhah Sakinah menantikan balasan Lutfil Hadi.

"Lutfi, apabila semua orang ingin membenci kita, kita ada Allah untuk kita. Apabila ada orang menganiaya kita, bila kita rapat kepada Allah, Allah sendiri akan bantu kita. Allah beri jalan keluar kepada kita atau orang memberitahu kita tentang perkara sebenarnya tanpa kita meminta pembelaan dari mereka dengan titisan mata. Allah beri ramai orang-orang yang membela kita, memberikan semangat kepada kita dan Allah jadikan mereka ini orang-orang yang Allah sebut dalam Surah Al-Asr iaitu orang-orang yang berpesan-pesan kepada kesabaran dan berpesan-pesan kepada kebaikan."

"Cikgu Sakinah! Cikgu Sakinah! Ada panggilan telefon." kedengaran panggilan dari rakan sekerja yang duduk di perosok bilik guru.

"Baik!" balas guru itu.
"Ok, Lutfi, itu saja dari cikgu. Insya Allah, nanti ada masa yang bersesuaian, kita cerita lagi."

Lutfil Hadi mengangguk. "Terima kasih, cikgu."

Cikgu Raudhah Sakinah tersenyum puas.

Pembungkus
'Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji?'
(Al-Ankabut; 29:2)

Ramai manusia merasa sedih yang amat sangat sewaktu mereka hilang pergantungan kepada manusia bukan saja dari banyak orang yang baru dikenali bahkan mungkin dari ahli keluarga yang tercinta. Walhal, kasih Allah itu yang kekal selama-lamanya.

Pergantungan yang kuat kepada Allah menjadikan manusia lemah menjadi kuat. Ia menKuasajadikan manusia pemarah menjadi ramah. Ia merubah dendam dan benci menjadi kasih dan kemaafan. Ia mampu mengubah sejahat-jahat manusia kepada sebaik-baiknya.

Hebatkan kuasa itu?
Maha Suci Allah.

Yang merubah itu adalah kepercayaan hati sepenuhnya kepada Tuhan. Hati itu percaya bahawa Allah menjadikan segala itu adalah baik untuknya. Ujian adalah kerana untuk mendekatkan lagi diri kepada Tuhan. Kerana Allah itu rindukan rintihan hamba-Nya. Maka, tatkala dia ditimpa kegembiraan dan dia lupa pada Tuhannya, Allah ketuk hamba-Nya dengan ujian kehidupan. Allah itu mahu hamba-Nya kembali kepada Dia.  Ujian adalah tarbiyah atau didikan terus dari Allah untuk hamba-hamba-Nya.
Dia sayangkan kita.

Ya, kepercayaan kepada Allah itu adalah keimanan. Dan hanya dengan keimanan yang sebenar-benarnya itulah yang mampu membentuk dan menguli dengan baik hati seorang insan.

Hidup dengan keimanan; segala kebahagiaan itu sentiasa terpancar di wajah. Tiada apa pun yang mampu menggusarkan hatinya atau yang mampu menjadika dirinya lemah.

Dengan hakikat keimanan yang sebenar, dia yakin bahawa akan ada pertolongan Allah kepadanya tatkala dia susah atau dirinya dianiaya.
Dengan hakikat keimanan yang sebenar, dia mampu tersenyum tanpa dibuat-buat dan tulus dari hati walau dunia dan seisinya ini memenatkannya.
Kerana dia tahu bahawa Allah tuan punya segala alam semesta ini dan dunia seisinya itu adalah perkara kecil yang boleh diserahkan kepada Tuhannya; Rabbil Alamin.

Kerana hakikatnya hidup dengan iman ini sentiasa memberi kebahagiaan.


Itulah kuasa ultra keimanan.

~Indah hidup dengan Tuhan kerana ia percaya bahawa Allah itu amat, amat dan amat infiniti menyayanginya~


0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino