::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Jan 14, 2017

Penawar 'Natural' Selesema Bayi Dan Anda


~Penawar semulajadi adalah hadiah penyembuhan Allah kepada manusia~
 
Menghidap selesema memang merisaukan. Apatah lagi kalau bayi kecil yang dapat selesema. Doktor manapun tidak akan syorkan ubat selesema pada bayi sebab boleh beri kesan sampingan kepada bayi.

Waktu anak pertama dulu, memang saya sangat risau. Memandangkan ia pengalaman pertama, barulah sibuk nak cari maklumat dan alternatif meredakan selesema bayi. Bagi wanita yang baru dapat gelaran ibu, macam-macam perasaan ada tika itu. Ada rasa sedih, risau, kecewa dan macam-macam lagi. 

Ubatan Alami 

Insya Allah sekadar nak berkongsi tips rawatan semulajadi. 

Cengkih, madu, kayu manis dan lemon. 

Ini adalah antara bahan-bahan semula jadi yang menjadi penawar selesema, dengan izinNya.
Pasti ramai yang tahu khasiat madu dan lemon, memandangkan madu yang banyak dijual di pasaran. Waktu zaman bekerja dulu pun, ramai kawan-kawan bawa air lemon dalam tumbler ke pejabat. 

Kayu manis adalah gandingan rapat madu sebab gabungan kedua-dua anugerah alami ini banyak meredakan pelbagai penyakit. Kayu manis adalah anti radang @ anti inflammatory serta anti histamin yang baik. Ubat selesema yang biasa kita makan pun tergolong dalam kumpulan anti histamin. 

Cengkih biasanya kita hanya guna dalam masakan. Sebenarnya cengkih juga berfungsi sebagai ekspektoran (expectorant). 

Apakah ekspektoran?
Ekspektoran adalah penggalak keluar kahak atau mukus berlebihan daripada salur pernafasan. Kalau di Barat, mereka sudah lama buat minyak cengkih kerana khasiatnya. Saya juga tak pernah sangka cengkih ada kuasa sebegini sebelum masuk ke alam rumahtangga. 

Masya Allah sangat hebat kuasa Allah yang mencipta. Cengkih bukan hanya penyedap rasa tetapi juga penawar penyakit. 


 
Kaedah Penyediaan 

Ini adalah berdasarkan pembacaan dan kajian saya. Mungkin ada orang lain yang tahu kaedah penyediaan yang lain.

Berikut adalah langkah-langkahnya:

Pertama: Masukkan dua hirisan lemon, dua batang kayu manis dan tiga bunga cengkih dalam cawan/mug. 

Kedua: Masukkan air panas dan tutupkan cawan/mug. 

Ketiga: Tunggu air suam dan masukkan satu sudu madu. Siap untuk diminum. 

Air ini diminum oleh ibu yang menyusu sekiranya bayi alami selesema sebab khasiatnya akan sampai pada bayi melalui susu ibu. Untuk ibu hamil pun boleh minum.
Semudah 1,2 dan 3.
Boleh diminum awal pagi dan sebelum tidur. 

Pengalaman saya selesema yang teruk atau hidung tersumbat beransur pulih dalam masa tiga hari. Ia diminum secara konsisten sehingga saya rasa lega dari selesema.
InsyaAllah kita hanya berikhtiar dan berdoa semoga Allah sembuhkan kita. 

"Dan apabila hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka jawablah, sesungguhnya Aku amat hampir. Aku perkenan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu . Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu supaya mereka menjadi baik dan betul." 
(Surah Al-Baqarah :2;186)

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino