::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Nov 4, 2018

Tetangga Syurga


~Masyarakat yang hatinya jernih, tuturnya menenangkan, selalu membantu dan tidak menyakiti itu tentunya suatu impian. Menjadi jiran sebaik yang diimpi itu juga adalah suatu tuntutan.~

Jiran Tetangga Yang Diimpi

Kita inginkan masyarakat sekeliling yang sejahtera. Komuniti yang aman damai. Tetapi berapa ramaikah antara kita yang biasanya berasa aman tinggal dalam kejiranan kita?

Sedikit petikan daripada Salim A.Fillah dalam bukunya Bahagianya Merayakan Cinta.

'Kita begitu rindu masyarakat yang beriman. Masyarakat yang membuatkan kita selalu mahu berada di tengah-tengah mereka. Hanya masyarakat ini yang mampu membuatkan kita berasa terbebas daripada lidah dan tangan mereka. Kita berasa ini adalah masyarakat syurga dan jiran-jiran ini kita doakan menjadi jiran di syurga nanti.'

Kata beliau lagi bahawa masyarakat ini setiap hari mengeratkan silaturrahim di dalam rumah melalui solat jemaah dan majlis ilmu.

'Masyarakat yang perbualannya perbualan iman, berkumpulnya di majlis zikir dan gotong-royong nya jihad pada jalan Allah. Memang sukar mencari, namun alangkah indah apabila bermula dari diri kita sendiri.'

Menjadi Jiran Yang Baik

Rasulullah s.a.w berpesan: 
"Hak jiran adalah apabila dia sakit, kamu kunjungi.
Apabila dia meninggal, kamu hantar jenazahnya.
Apabila dia memerlukan, kamu memberi pinjam.
Apabila dia beroleh kebaikan, kamu ucapkan selamat kepadanya.
Apabila dia beroleh keburukan, kamu datangi dia bagi menyatakan dukacita. 
Jangan meninggikan rumah lebih daripada rumahnya sehingga menghalang angin untuknya.
Jangan kamu ganggu dia dengan bau masakan mudah kecuali kamu berikan sebahagian kepadanya." 
Hadith Riwayat At-Tabrani.

Apabila melihat inti pesanan Rasulullah s.a.w, apakah kita telah berusaha menjadi jiran yang baik dengan menunaikan hak-hak jiran kita?

Apakah kita peduli jiran kita walau hanya bertegur sapa? Ataukah mungkin kita tidak kenal pun siapa jiran di sekeliling kita?

Ada masanya kita sibuk ingin besarkan ruang rumah atau renovasi rumah sehingga kita tanpa sedar menghalang laluan angin dan cahaya matahari yang masuk ke rumah jiran. Kita terlalu sibuk memikirkan rumah sendiri sehingga terlupa hak jiran bersebelahan.

Semoga Allah ampuni kita dan selalu mengingatkan kita yang lupa.

Kadang-kadang kita duk sibuk memasak sampai kita lupa untuk berkongsi dengan jiran tetangga. Hatta Rasulullah s.a.w berpesan untuk berkongsi rezeki dengan jiran walaupun mungkin kita malu dengan masakan kita.

"Wahai wanita Islam, jangan berasa sehingga jiran berasa terhina dengan memberi apa saja kepada jirannya walaupun pemberian itu hanya daging pada kaki kambing."
Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

Ini juga adalah satu pembelajaran untuk diri saya sendiri. Tuntutan untuk berkongsi itu perlu lebih besar daripada rasa malu.

~Nikmat kebaikan berjiran, moga membawa kita ke Syurga Nya~

Namun, memang diakui cabaran berjiran pada masa kini lebih besar daripada masa lalu. Terutamanya yang tinggal di kejiranan rumah bertingkat yang hanya melihat pintu-pintu di depan rumah tanpa diketahui siapa penghuninya.

Insyaallah semoga dalam jemaah solat di masjid, kita mampu bertegur sapa. Semoga apabila ketemu di dalam lif, kita mampu senyum dan bertanya khabar.

Benar sekali kata saudara Salim A.Fillah bahawa segala yang indah dan diimpikan itu perlu bermula daripada diri sendiri.

Mengimpikan jiran tetangga yang baik perlu dimulakan dengan menjadi jiran yang baik.

Insyaallah semoga niat yang baik itu tertanam dalam  hati ❤️ kita. Semoga Allah mudahkan jalan kita untuk sentiasa berbuat kebaikan kerana Allah taala.

~Ambil berat dan membawang itu berbeza. Jiran yang mengambil tahu dengan kebaikan itu mendamaikan. Jiran yang membawang tentu saja memedihkan.~

1 comments:

視訊聊天室 on October 2, 2019 at 5:39 PM said...
This comment has been removed by a blog administrator.
 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino