Cita-cita adalah jalan kejayaan,kesungguhan adalah kenderaannya.~Dr. 'Aidh Al-Qarni~
Semua orang ada kemahuan. Ada yang betul-betul mahu, ada sekadar berangan, ada yang berusaha dengan ilmu.
Dicapai atau tidak, itu semua ketentuan Allah. Di situlah wujudnya tawakal atas segala yang telah kita usahakan.
Apa yang telah anda cita-citakan dan telah dicapai?
Ada yang sedang anda usahakan tapi belum tercapai?
Semoga Allah merahmati usaha kita.
Ada cita-cita kita sekadar dalam masa singkat, ada juga yang perlukan masa dan usaha berpanjangan.
Nadwah: Cita-Cita Yang Kesampaian
Antara cita-cita saya yang boleh dikatakan diuji dengan jalan yang panjang dan ujian yang menduga adalah keinginan saya untuk pergi ke Nadwah Kepimpinan Islam Sekolah Berasrama Penuh.
Nadwah Kepimpinan Islam SBP ini adalah perhimpunan sebahagian para pelajar Badan Dakwah atau Persatuan Kebajikan Pelajar Islam daripada seluruh sekolah berasrama penuh.
Sewaktu Tingkatan 1, apabila tengok kakak-kakak naqibah balik daripada Nadwah, saya menyimpan hasrat untuk pergi ke sana. Bertemu dengan orang-orang yang hebat sahsiahnya seperti kakak-kakak naqibah saya, walaupun saya tahu itu bukanlah jaminan untuk saya sebab saya pun bukannya baik sangat. Ketika itu yang saya tahu, saya juga nak jadi baik dan bertemu dengan orang-orang yang baik.
Setiap tahun dari 1999 sehingga 2001 itu, saya tatapkan kakak-kakak yang dapat pergi dan pulang dari Nadwah, dengan harapan agar saya dapat juga ke sana nanti.
Perjalanan untuk menjadi baik selama 4 tahun itu bukanlah satu jalan lurus. Ia jalan yang berliku dan penuh menduga dan menggoda. Zaman remaja baru nak naik, bak kata orang.
Rekod sahsiah dan rekod istilah bersih daripada ber'couple' dalam atau luar sekolah semestinya perlu dipertahankan.
Hampir-hampir juga saya tergelincir di waktu Tingkatan 3. Waktu Tingkatan 3 ini jugalah pemilihan naqibah dijalankan oleh kakak-kakak senior.
Zaman ketika itulah jugalah zaman 'chatting' generasi saya di mIRC dan hampir terpengaruh dengan ajakan-ajakan kawan sehingga jadi peneman di KLCC buat pertama kali dan terakhirnya pada tarikh 14 Februari.
Tetapi Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, segala kejahilan yang datang tidak melekat di hati dan Allah jumpakan orang yang baik saja dalam tahun ketiga itu. Mungkin juga nama kalium_sulfat dan kuprum_sulfat yang saya gunakan di mIRC itu agak nerd bunyinya.
Terima kasih Allah.
Tawaran Menarik Terakhir Di Ambang Nadwah
Habis ujian-ujian hebat selama tiga tahun itu, akhirnya saya boleh menarik nafas lega apabila hampir tiba tarikh untuk pergi ke Nadwah Kepimpinan Islam ketika saya di Tingkatan 4.
Kali itu, sebelum Nadwah, Allah uji lagi tekad hati saya.
Allah datangkan tawaran-tawaran menarik melalui guru-guru saya ketika saya dipanggil ke bilik guru.
Tawaran pertama;
"Nadiah, awak nak tak pergi Pertandingan Sajak di Radio 1 RTM?"
Tawaran kedua;
"Nadiah, awak nak pergi Pertandingan Debat PROSTAR Kebangsaan?"
Kedua-dua tarikh tersebut bertindan dengan tarikh Nadwah Kepimpinan Islam yang akan diadakan di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Klang. Salah sebuah sekolah yang memang lama sangat saya nak kunjungi.
Tawaran yang sangat menarik itu terpaksa saya lupakan. Saya ajukan nama sahabat-sahabat saya yang saya rasakan kriteria mereka sangat menepati kelayakan tawaran daripada guru-guru saya. Terima kasih cikgu atas kepercayaan cikgu pada saya.
~Awal tahun tingkatan 4 sebelum Nadwah, masih dalam proses untuk berhijrah yang belum serius tapi berusaha melabuhkan tudung melepasi bahu~ |
Nadwah; Impian Titik Pelaras Kehidupan
Saya berharap saya boleh berjumpa dengan orang-orang yang hebat sahsiah dan akhlak mereka di situ. Saya berharap juga saya akan jadi insan yang lebih baik di pandangan Allah.
Allah uji tekad dan kesungguhan saya semenjak saya cita-citakan untuk ke Nadwah. Kerana setiap ujian itu tentulah untuk menguji kesungguhan hati dan jiwa hambaNya.
Kalau kita kata nak berubah, Allah akan uji, sungguh-sungguhkah kita nak berubah demi Allah?
Kalau kita kata kita cinta Allah, Allah akan uji kata-kata kita. Adakah sekadar kata-kata atau kerana kita betul-betul sayangkan Allah?
Kalau kita kata kita inginkan Syurga, adakah kita sedang berusaha dengan amalan untuk layak ke Syurga?
Kalau saya kata saya benar-benar ingin ke Nadwah kerana Allah, adakah saya benar-benar bersungguh atau hanya sekadar kata-kata saja?
Cita-cita ke Nadwah banyak mengajar saya tentang kehidupan.
Ketika di Nadwah, saya rasa aman dengan suasana Islamiah, bersama-sama mereka dengan berbudi pekerti, bersama-sama dengan mereka yang dah baik atau nak baiki diri seperti saya.
Sejak itu, saya berharap saya akan ke Syurga bersama dengan mereka yang Soleh dan Solehah. Hati saya sangat terkesan dengan asbab ke Nadwah. Saya rasa tenang.
Balik daripada Nadwah, saya berkongsi cerita dengan sahabat-sahabat saya yang juga pulang daripada pertandingan debat dan sajak. Saya bersyukur biarpun pertandingan yang lain tidak kurang hebat dan menarik tetapi saya tetap yakin bahawa saya tidak salah memilih.
Saya percaya bahawa penantian dan tekad saya selama 4 tahun untuk ke Nadwah bukanlah satu yang sia-sia. Bahkan ia membawa saya ke haluan yang lebih jelas tentang makna sebuah kehidupan.
Blog Hatiku Milikmu
Ia rentetan perjalanan cerita kehidupan bertitik tolak daripada cerita pengguna blog bernama Raudhatul Nadwah yang terinspirasi daripada Nadwah Kepimpinan Islam SBP 2002.
Sebab itu jugalah asal nama e-mel saya adalah nad_wah dan kemudian terpaksa ditukar kepada nad_wahh sebab sewaktu tingkatan 5 dah lama tak buka e-mel sampai tak boleh buka dan kena buat akaun baru. Mohon maaf saya pinta pada sahabat saya di KISAS sebab tak dapat baca dan balas emel ketika saya di tingkatan 5. Semoga Allah balas segala jasa kebaikan yang diberikan sahabat saya itu.
Al-maklumlah zaman belajar di asrama, dapat keluar asrama pun kadang-kadang sebulan dua kali. Buka e-mel apabila waktu outing sahaja. Apabila dah tingkatan 5, lebih banyak program sekolah hujung minggu, lebih kurang peluang untuk keluar outing. Saya juga sudah terlebih fokus pada pelajaran pada ketika itu.
Saya juga belajar sesuatu dari itu iaitu fikirkan tentang orang lain dan jangan anggap orang lain faham tentang keadaan kita selagi belum kita sampaikan.
Kerana hanya Allah saja yang Maha Tahu.
Benar, kehidupan adalah satu proses pembelajaran.
Ibrah Nadwah Dan Sirah
Banyak yang telah saya perkatakan seperti di atas.
Saya teringat sirah Rasulullah s.a.w apabila baginda ditawarkan dengan harta yang banyak, pangkat yang besar bahkan dipujuk sendiri oleh Abu Talib bapa saudara baginda untuk menghentikan dakwah Islam; baginda bersabda:
"Wahai bapa saudaraku, seandainya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, aku tidak akan meninggalkannya hingga aku binasa."
Inspirasi dan motivasi sepanjang zaman.
Kenapa Entri Nadwah?
Apa yang menyebabkan saya termotivasi untuk menerbitkan entri ini?
Saya juga ada menyimpan impian. Berusaha. Doa. Solat istikharah, hajat.
Hingga sampai beberapa minggu lepas saya katakan pada suami yang saya sudah putus asa untuk itu.
Saya rasa dah penat dan semakin tua.
Suami saya ikutkan saja.
Antara lain yang tidak saya katakan adalah saya selalu terdengar motivasi untuk menuju ke arah impian itu tetapi saya buntu. Rasa seperti tidak nampak jalan keluar.
Rasa macam jauhnya nak habiskan acara larian 800m. Walaupun pernah juara tapi macam dah tak mampu lagi. Ambil sajalah acara 100m walaupun mungkin hanya dapat nombor tiga. Mungkin itulah analoginya.
Semalam ketika bercakap dengan seorang Profesor selama lebih 20 minit di telefon membuatkan saya merenung kembali kecekalan hati ini. Merenung kembali impian yang sering saya sasarkan.
Saya berharap saya akan kembali cekal dan tabah seperti saya suatu ketika dahulu yang beriya dan berhajat sangat untuk ke Nadwah.
Berusaha!
0 comments:
Post a Comment