::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Jan 14, 2021

Catur: Bidak Hitam atau Putih?


 ~Dalam kabut yang tidak jelas, hanya pada tali Allah yang kukuh kita berpegang dengannya~

Telah menceritakan kepadaku Yahya bin Abi Al-Mutha' ia berkata, aku mendengar 'Irbadl bin Sariyah berkata:

'Pada suatu hari Rasulullah s.a.w berdiri di tengah-tengah kami. Baginda memberi nasihat yang sangat menyentuh, membuat hati menjadi gementar dan air mata berlinangan. Lalu dikatakan, 

"Wahai Rasulullah, engkau telah memberikan nasihat kepada kami satu nasihat perpisahan, maka berilah kami satu wasiat."

Lalu Rasulullah s.a.w bersabda:

"Hendaklah kalian bertaqwa kepada Allah, mendengar dan taat meskipun kepada seorang hamba Habasyi. Dan sepeninggalku nanti, kalian akan melihat perselisihan yang sangat dasyat, maka hendaklah kalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah para Khulafaur Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah sunnah itu dengan gigi geraham, jangan sampai kalian mengikuti perkara-perkara (bid'ah) yang dibuat-buat, kerana sesungguhnya bid'ah itu adalah sesat."

(H.R. Ibnu Majah)

~ Catur hitam atau putih?~


Bidak Hitam Atau Putih

Seteru catur 2021 mengambil tempat

Setelah gagal di musim  lalu

Bidak hitam mengorak selangkah

Sampaikan warkah agar menyerah

Tiada bendera putih dikobar catur putih

Bukan masa menyerah kalah


Makmur dengan kekayaaan 

atau terus merudum dalam kefakiran

Hanya itu dua pilihan 

Kata pencatur hitam beri arahan


Musim ini jadi penentu

Ada yang cemas untuk menjadi papa

Ada yang dapat melihat dengan mata hatinya

Semboyan pencatur hitam 

Mencari sekutu atau seteru 


Kita tentukan pada hati

Menjadi bidak hitam atau putih

Kuatkan keimanan 

Cari petunjuk dengan ketaqwaan

Hari semakin dekat

Sebelum semboyan yang benar dibunyikan 


Semoga tidak terjerat 

Dalam perangkap fatamorgana

Kabut memilih

Jalan luas yang suram

atau jalan sempit nan terang

Arena percaturan sengit 

Catur putih dan catur hitam


"Ya Tuhan kami. Berikanlah rahmat dari sisi-Mu dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus bagi kami dalam urusan kami."

(Surah Al-Kahfi; 18: 10)

 "Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping dengan orang-orang  yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran." 

(Surah Al Kahfi; 18: 28)


~Membina keimanan dan ketaqwaan agar  kita menjadi bata-bata yang kukuh menegakkan agama yang diredhai Allah di atas bumi-Nya adalah suatu perjuangan~

Jan 8, 2021

Perpindahan Yang Pasti


Alhamdulillah, di ketika pandemik menghimpit, kesukaran terlihat, tetap ada jua nikmat Allah berikan kepada kita hingga kita sampai ke tahun 2021. 

Perpindahan kita ke tahun 2021 daripada tahun 2020 ini adalah dengan izin-Nya. Segala puji bagi Allah yang masih berikan kita nafas untuk melangkah ke tahun yang berikutnya. 

F zkdSemoga tahun 2021 ini membawa kemudahan setelah kedukaan dan kesusahan di tahun sebelumnya, Insya Allah. Semoga Allah berikan cahaya setelah gelapnya duka. 

Imbasan 2020

Tahun 2020 ada suka ada duka. Dengan izin-Nya, saya kehilangan dua jiwa yang dekat di jiwa ini. 30 Mei, Allah izinkan perpindahan si kecil dari rahim ini keluar ke dunia walau belum sempurna. Insya Allah, semoga perpindahan itu mengizinkan Umminya untuk bertemu kandungan ketiga saya itu di alam yang lebih kekal iaitu di akhirat sana. Itulah alam yang pasti. 

Di hujung tahun 2020, 14 Disember saya bermimpi melibatkan ahli-ahli keluarga di kampung. Kemudian terjaga jam 4 pagi. Selepas Subuh, saya mendapat panggilan daripada ibu. Saya jawab dengan rasa berdebar di hati sambil mengingatkan mimpi di awal pagi tadi, memandangkan ibu juga juga jarang telefon di awal pagi begitu. 

Khabar kehilangan ibu saudara saya sebelum Subuh pagi itu menambah sayu. Allahu. Saya adalah antara anak saudara yang dekat dengan ibu-ibu saudara dek kerana saya tinggal dengan nenek semenjak kecil. Saya selalu bersama nenek ke rumah ibu-ibu saudara ataupun akan berjumpa setiap kali ibu-ibu saudara sekeluarga pulang ke kampung. 

Saya pulang. Beberapa hari saya sekeluarga dan ibu bapa menemankan nenek bermalam di rumah Allahyarhamah ibu saudara. Alhamdulillah nenek saya sudah berusia 80-an dan itulah anak pertama (selain yang pernah keguguran) nenek saya yang telah kembali dulu menghadap Ilahi. Dalam seminggu itu berkali-kali nenek menziarahi kubur Allahyarhamah ibu saudara iaitu adik ibu saya yang ke-6. Setiap kali menziarahi air mata nenek berguguran. 

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhi9hAxqdX-jwW-HrIDwdb6oZ-HqjHk7GsgqsINL84uEgQIwI_00lps8pLknphWNA5eBFdnu0TOxWx3ziHFTx_ofa_F825gIsZFR0tjLMbf4t6fRubuSgjaR6jZJOxH3VkszmpqjRAzN30/s1600/Fase+perjalanan+ke+surga.jpg
~Episod perpindahan yang pasti~

Perpindahan Yang Pasti

Kita semua akan ke sana. Semua akan berpindah ke sana. Hanya masa yang mungkin membezakan kita. 

Itulah perpindahan yang pasti. Yang membezakan kita di dunia adalah persiapan kita untuk berpindah. Adakah kita bersedia untuk perpindahan ke suatu alam yang lain dalam keadaan tiba-tiba? 

Semoga Allahyarhamah Mak Teh saya dalam keadaan tenang di sana. Kali terakhir kami berjumpa hari raya yang lalu, saya mengurut kaki Mak Teh. Mak Teh suka sangat kalau saya dapat mengurutnya kalau kami berjumpa. 

Walaupun Mak Teh sudah tiada di dunia ini, kadang-kadang terasa Allahyarhamah seperti masih ada. Insya Allah semoga kita semua bertemu di Syurga. 

Saya juga akan ke sana suatu hari nanti. Bila-bila masa saja. Kadang-kadang saya sendiri terleka dengan dunia. Semoga Allah ingatkan saya dan kita semua agar sentiasa bersedia untuk suatu perpindahan yang pasti. Semoga Allah ampuni kita. 

~Ya Allah, ampunilah kami semua yang sering terlupa dan terleka. Ingatkanlah kami untuk sering mengingati-Mu~

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino