::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Jan 8, 2021

Perpindahan Yang Pasti


Alhamdulillah, di ketika pandemik menghimpit, kesukaran terlihat, tetap ada jua nikmat Allah berikan kepada kita hingga kita sampai ke tahun 2021. 

Perpindahan kita ke tahun 2021 daripada tahun 2020 ini adalah dengan izin-Nya. Segala puji bagi Allah yang masih berikan kita nafas untuk melangkah ke tahun yang berikutnya. 

F zkdSemoga tahun 2021 ini membawa kemudahan setelah kedukaan dan kesusahan di tahun sebelumnya, Insya Allah. Semoga Allah berikan cahaya setelah gelapnya duka. 

Imbasan 2020

Tahun 2020 ada suka ada duka. Dengan izin-Nya, saya kehilangan dua jiwa yang dekat di jiwa ini. 30 Mei, Allah izinkan perpindahan si kecil dari rahim ini keluar ke dunia walau belum sempurna. Insya Allah, semoga perpindahan itu mengizinkan Umminya untuk bertemu kandungan ketiga saya itu di alam yang lebih kekal iaitu di akhirat sana. Itulah alam yang pasti. 

Di hujung tahun 2020, 14 Disember saya bermimpi melibatkan ahli-ahli keluarga di kampung. Kemudian terjaga jam 4 pagi. Selepas Subuh, saya mendapat panggilan daripada ibu. Saya jawab dengan rasa berdebar di hati sambil mengingatkan mimpi di awal pagi tadi, memandangkan ibu juga juga jarang telefon di awal pagi begitu. 

Khabar kehilangan ibu saudara saya sebelum Subuh pagi itu menambah sayu. Allahu. Saya adalah antara anak saudara yang dekat dengan ibu-ibu saudara dek kerana saya tinggal dengan nenek semenjak kecil. Saya selalu bersama nenek ke rumah ibu-ibu saudara ataupun akan berjumpa setiap kali ibu-ibu saudara sekeluarga pulang ke kampung. 

Saya pulang. Beberapa hari saya sekeluarga dan ibu bapa menemankan nenek bermalam di rumah Allahyarhamah ibu saudara. Alhamdulillah nenek saya sudah berusia 80-an dan itulah anak pertama (selain yang pernah keguguran) nenek saya yang telah kembali dulu menghadap Ilahi. Dalam seminggu itu berkali-kali nenek menziarahi kubur Allahyarhamah ibu saudara iaitu adik ibu saya yang ke-6. Setiap kali menziarahi air mata nenek berguguran. 

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhi9hAxqdX-jwW-HrIDwdb6oZ-HqjHk7GsgqsINL84uEgQIwI_00lps8pLknphWNA5eBFdnu0TOxWx3ziHFTx_ofa_F825gIsZFR0tjLMbf4t6fRubuSgjaR6jZJOxH3VkszmpqjRAzN30/s1600/Fase+perjalanan+ke+surga.jpg
~Episod perpindahan yang pasti~

Perpindahan Yang Pasti

Kita semua akan ke sana. Semua akan berpindah ke sana. Hanya masa yang mungkin membezakan kita. 

Itulah perpindahan yang pasti. Yang membezakan kita di dunia adalah persiapan kita untuk berpindah. Adakah kita bersedia untuk perpindahan ke suatu alam yang lain dalam keadaan tiba-tiba? 

Semoga Allahyarhamah Mak Teh saya dalam keadaan tenang di sana. Kali terakhir kami berjumpa hari raya yang lalu, saya mengurut kaki Mak Teh. Mak Teh suka sangat kalau saya dapat mengurutnya kalau kami berjumpa. 

Walaupun Mak Teh sudah tiada di dunia ini, kadang-kadang terasa Allahyarhamah seperti masih ada. Insya Allah semoga kita semua bertemu di Syurga. 

Saya juga akan ke sana suatu hari nanti. Bila-bila masa saja. Kadang-kadang saya sendiri terleka dengan dunia. Semoga Allah ingatkan saya dan kita semua agar sentiasa bersedia untuk suatu perpindahan yang pasti. Semoga Allah ampuni kita. 

~Ya Allah, ampunilah kami semua yang sering terlupa dan terleka. Ingatkanlah kami untuk sering mengingati-Mu~

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino