~Hidup ini bukan saja kerana Allah, tetapi hijrah daripada titik bawah ke titik yang lebih mendekati Allah s.w.t.~
Alhamdulillah saya bersyukur atas nikmat dikurniakan sahabat-sahabat dan orang sekeliling yang saling mengingatkan saya dengan Pencipta.
Kata-kata seorang kakak tautan hati yang selalu memuji saya banyak membaca kerana sambung belajar walhal sebenarnya saya juga rasa macam saya banyak baca bahan-bahan berkaitan tesis saja, berbanding bahan bacaan yang lain. Saya rasa kakak tersayang saya itu yang juga seorang ustazah mestilah lebih banyak bacaan tentang keagamaan sebab beliau di bidang tersebut berbanding saya. Tidaklah lebih mana saya berbanding beliau, semoga Allah rahmati kami.
Alhamdulillah, asbab berada di jalan ini, ketika ada tugasan atau perlu memimpin adik-adik usrah, saya rasa itu adalah satu tanggungjawab, amanah bukan saja untuk pimpin orang lain, bahkan sebenarnya untuk memimpin diri ini sendiri.
Jadi, beberapa hari lepas, saya memberi penyampaian tentang hadith pertama iaitu 'Niat dan Ikhlas' dalam Hadith 40, selain makna, termasuklah dari segi istilah dan bahasa.
Teringat zaman matrikulasi dulu, ada dengar lagu nasyid untuk senang hafal hadith pertama ini, tetapi saya lupa nama penyanyinya.
Dari Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khattab radhiallahuanhu, dia berkata,
“Saya mendengar Rasulullah shallahu`alaihi wa sallam bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan (tergantung niatnya). Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan.
Siapa yang hijrahnya karena (ingin mendapatkan keridhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keridhaan) Allah dan Rasul-Nya.
Dan siapa yang hijrahnya karena menginginkan kehidupan yang layak di dunia atau karena wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan.”
[Hadith Riwayat Bukhari]
Dan seperti biasa, sebelum penyampaian, saya akan buka dan baca dulu apa yang perlu disampaikan. Bahkan ada kalanya, saya perlu rujuk 2-3 buah buku untuk topik berkenaan untuk lebih faham dan tak tersasar apa yang ingin saya sampaikan.
Namun, ketika penyampaian hadith tentang niat semalam sebenarnya banyak mengetuk pintu hati sendiri.Tentang niat iaitu tujuan dan tindakan, serta keikhlasan.
Menariknya, kita selalu buat sesuatu itu kita niat nak buat KERANA ALLAH. Namun, kelainannya dalam hadith hijrah ini, hijrah itu KEPADA ALLAH dan juga KERANA ALLAH.
~Ke mana kita nak bawa hidup kita ini sebenarnya?~ |
Kita nak buat sesuatu bukan hanya kerana Allah, tetapi juga sebab kita nak pergi dekat kepada Allah.
Adakah perkara yang kita nak buat itu atau sedang buat itu bawa kita kepada Allah?
Saya yang memberi tahu ini pun menghela nafas panjang, terdiam dan merenung diri sendiri.
Bukan setakat yang amal yang bernama ibadah khusus, seperti solat, puasa, bahkan dalam makan, minum, mendidik anak, perkahwinan, dan semua aspek hidup ini perlu ada niat kerana Allah dan untuk bawa kita dekat kepada Allah.
Contohnya:
Jika dalam konteks mendidik anak, adakah kita sentiasa upgrade diri kita menjadi ibu bapa yang baik? Adakah kita sentiasa upgrade ilmu kita untuk besarkan anak meingkut masanya?
Hatta, membela ayam pun kita perlu ada ilmu, bermula anak ayam, hingga ke ayam dewasa. Masakan menjadi ibu atau bapa dengan amanah yang besar ini (bukan setakat membela) bahkan membina sebuah legasi pembentukan batu bata ummah, kita buat sambil lewa?
Begitu juga dengan isu childfree. Mulanya saya tidak terfikir sangat isu ini. Tetapi ia terlintas apabila saya membaca hadith ini.
Apa sebenarnya tujuan kita berkahwin?
Kita nak bawa ke mana sebenarnya perkahwinan ini, untuk seronok-seronok saja menikmati cinta berdua?
Atau kita nak bawa cinta dalam perkahwinan kerana Allah dan kepada Allah?
Ramai di antara kita nak upgrade banyak perkara dalam hidup ini, termasuk rumah, kerjaya, anak, tetapi apabila kita sedang pikul amanah Allah, di mana keinginan kita untuk upgrade kemampuan kita menggalas amanah ini?
Pembungkus
Tiada kita yang sempurna dalam dunia ini. Kita tidak mengejar sempurna. Kita mengejar untuk buat yang terbaik untuk Pencipta kita.
~Ya Allah, kami ini adalah pendosa. Kami nak rebut cinta-Mu. Kami nak masuk Syurga dengan redha-Mu~
0 comments:
Post a Comment