::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Jul 7, 2024

Penyelamat Sebenar


 ~Episod-episod dalam hidup ini mengandungi pelajaran dan hikmah untuk sesiapa yang ingin mengambilnya~

Ketika Aufa di Tahun 3 di sekolah rendah, dia mula dibuli, apabila dua orang rakan karibnya berpindah sekolah yang lain. Rasa sunyi, dan membawa diri sendiri. Ada rakan-rakan perempuan yang mula membuli meminta wang darinya hanya kerana dikatakan dia budak bandar yang bersekolah di kampung.

"Kau mesti banyak duitkan? Sebab mak ayah kau kan kerja KL." kata mereka. 

Dalam kumpulan di kelas, pelajar-pelajar lelaki mula membulinya, bahkan seorang pelajar lelaki yang paling pandai dan terkenal dalam kelas, yang juga duduk sekumpulan dengannya sering menggunakan kaedah 'starlight' di dahinya. Entah kenapa dia menjadi mangsa. 

Sampai di Tahun 4, Allah takdirkan seorang lagi pelajar lelaki yang baru pindah daripada bandar dan masuk ke kumpulannya mula menggunakan pelbagai gangguan lisan terhadapnya. 

Dalam keadaan itu, Aufa masih jauh dari Allah, mungkin ketika itu didikan keluarganya tidak menekankan mengenal Allah sejak kecil. Hanya tahu Allah sebagai Tuhan, tetapi bukan Islam sebagai cara hidup. Islam hanyalah seperti dilihat sebagai adat di matanya. 

Keadaan itu semakin menyeksakan emosinya. Pergi ke sekolah ibarat bersedia untuk pergi berperang. Hanya ada masanya rakan perempuan sekumpulannya yang lebih ramah sering membelanya daripada diganggu pelajar lelaki itu. 

~Siapa penyelamat sebenar kita?~


Maha Mendengar

Hingga suatu ketika, Aufa menadah tangan berdoa supaya Allah pindahkan pelajar lelaki itu daripada sekolahnya, dan jauh daripadanya. 

Dan Allah Maha Mendengar. 

Suatu hari, pelajar lelaki itu tidak lagi datang ke sekolah. Dan dia telah pun berpindah balik kepada keluarganya di kota, setelah datuknya terlibat dengan kemalangan. 

Allahu, dia tidak menyangka doanya itu membawa ia sehingga ke situ. Apapun, baginya itu adalah takdir Allah. 

Di situ, keyakinannya bahawa Allah itu Maha Mendengar semakin tinggi. 

Dan sekali lagi Aufa meminta agar Allah jadikan dia menjadi lebih berani dan ditakuti oleh pelajar-pelajar yang lain. 

Dari situ berlakulah sebuah transformasi. Daripada seorang Aufa yang diam, merasa kerdil, berubah menjadi lebih yakin, lebih berani untuk bersuara. Dia tidak lagi dibuli oleh rakan-rakan perempuannya.


Ujian Lagi 

Ujian itu tak berakhir di situ, di awal Tahun 5, ada seorang lagi pelajar lelaki yang berpindah sekolahnya. 

Ketika sedang menelaah pelajaran di saat tiada guru di kelas, seorang pelajar lelaki datang memberitahunya bahawa pelajar lelaki yang baru itu menyukainya, sedang pelajar lelaki yang baru itu juga sedang melihatnya tidak jauh daripada mereka. Dan Aufa diam. Itu bukan kali pertama dia mendengarnya semenjak di Tahun 4. 

"Singa, 'kuda' suka kau." 
"Singa betina!"
"Lioness!" 


Seringkali panggilan itu kedengaran di waktu senggang, waktu rehat, mahupun di luar kelas. 
Waktu senggang di antara kelas dan sesi ko-kurikulum waktu petang merupakan waktu yang tidak disukainya. Hinggakan telefon rumah sering berdering di hujung minggu kerana gangguan rakan-rakan sekolahnya. 

Jika ada budak-budak perempuan yang mengidamkan disukai oleh lelaki seperti ini, bukan dia orangnya. 

Tidak lama selepas itu, dia dan dua orang rakan karibnya ditanya oleh seorang abang senior yang baru berpindah juga ke sekolah itu untuk dijadikan adik angkat. Aufa melihat ini satu peluang untuk mendapatkan perlindungan kerana melihat akhlak abang senior yang baik dan dihormati oleh pelajar-pelajar lain, serta menjadi kegemaran guru-guru. 

Hidupnya aman semula tanpa gangguan yang serius. Masih ada tetapi tidak keterlaluan. Menjadi adik angkat kepada ketua murid sekolah menyebabkan dia rasa terbela. 


Tidak Kekal

Namun, semua itu hanya sementara. 

Allah beri pengalaman itu untuk Allah ajar Aufa, bahawa pergantungan pada manusia tidak akan kekal lama. Habis Tahun 5, bermaksud tamat juga persekolahan abang angkatnya di sekolah itu. 

Walaupun kini, dia sendiri mempunyai status di sekolah sebagai pelajar Tahun 6 dan ada ramai rakan-rakan perempuan bersamanya, Aufa semakin kerap diganggu. 

Ada suatu masa, ketika sedang duduk menelaah di tepi kolam bersama sahabanya, dia melihat sekumpulan pelajar-pelajar lelaki yang sedang berkumpul di astaka.  Beberapa pelajar lelaki dari kelas sebelah dipanggil oleh mereka di astaka. Kelihatan mereka berkata-kata sambil wajah mereka memandang ke arah Aufa dan rakannya. 

Entah apa pula rancangan mereka kali ini. 

Tidak lama, seorang lelaki dari kelas sebelah di astaka itu datang ke arah Aufa dan sahabatnya, menyatakan sesuatu kepadanya. Sambil itu kedengaran sekumpulan pelajar-pelajar lelaki itu tertawa. 

"Jom bangun," ajak Aufa kepada sahabatnya segera. 

Suatu hari, salah seorang pelajar lelaki yang juga mempunyai pertalian darah dengannya datang kepada Aufa dan sahabatnya selepas habis waktu sekolah. 

"Aufa, aku nak beritahu sesuatu. Budak-budak ni ada rancangan yang tak baik untuk kau." kata saudaranya itu. 

"Rancangan apa?"tanya Aufa. 

"Aku pun tak sanggup nak bagitahu. Aku rasa kau pun tak payah tahu. Jaga diri. Jangan duduk seorang-seorang." 

Aufa menelan air liur. 
Perancangan apakah sehingga sampai ke tahap itu. 

Apakah salahnya? Kenapa dia?

Menjadi berani dan ada rakan-rakan yang rapat dan berpengaruh bukan lagi jaminan keselamatan untuk nya. 

Semenjak itu, setiap pandangan mata mereka kepada Aufa, Aufa merasakan ia satu ancaman untuknya. Sekolah bukan lagi tempat selamat untuk belajar. Dia harap dapat habiskan cepat. Dapat melalui peperiksaan besar dengan aman tanpa gangguan. 



Cukuplah!

Waktu makan tengaharinya bersama sahabatnya sementara menunggu sesi petang dirasakan waktu yang lebih terancam. Terutama jika sekumpulan pelajar lelaki itu duduk berdekatan. 

Hingga satu tahap, apabila mereka semakin menghampiri, Aufa segera mengambil penyapu dan letak batang penyapu itu di leher salah seorang daripada mereka. 

"Kau datang dekat lagi kat sini, kau siap!" jerit Aufa.

Mereka segera meninggalkan Aufa. Salah seorangnya berlari menuju ke ketua murid sekolah yang tidak jauh dari situ dan mengadukan perihal itu. Kelihatan dia hanya memandangnya tanpa berbuat apa-apa. 

Keadaan reda hinggalah peperiksaan besar telah habis. Berbaki lagi beberapa hari sesi sekolah habis, dua orang pelajar lelaki daripada sekumpulan pelajar itu yang mengganggunya dulu mula mengganggu lagi. Kini lebih agresif, apatah lagi melibatkan cubaan gangguan fizikal. 

Air matanya tumpah. Sahabat-sahabat Aufa menggesa Aufa membuat aduan kepada guru, dan Aufa menyetujuinya. 

Ia tidak berakhir di situ. 

Suatu hari, ketika di astaka, sahabat-sahabatnya bertelingkah dengan seorang pelajar Tahun 5. Aufa hanya diam kerana dia baru saja sampai di tempat kejadian itu. Tidak tahu menahu apakah punca pertelingkahan yang berlaku. Dia melihat renungan tajam pelajar itu kepada dia dan sahabat-sahabatnya ketika mereka meninggalkan tempat kejadian. 

Di pengakhiran sesi persekolahan itu, sewaktu habis aktiviti perkhemahan di hujung padang sekolah, Aufa menawarkan diri untuk mengambil sabun cuci pinggan di bilik pra-sekolah untuk membantu mengemas peralatan memasak. Dia tidak menyedari ada mata yang sedang memandangnya ke situ. 

Ketika sedang mengambil sabun di dapur bilik itu, kedengaran bunyi kuakan pintu. Aufa rasa cemas. Tidak sedap hati. Dia segera keluar dari dapur. 

Kelihatan pelajar Tahun 5 di hari kejadian beberapa hari lalu itu di depan pintu yang hampir tertutup. 

"Kau nak apa?" tanya Aufa. 

Pelajar itu hanya diam, tetapi riak wajahnya sudah cukup menyebabkan hati Aufa berkata bahawa dia perlu keluar segera dari situ. 

Aufa berlari keluar pintu, namun, tangannya sempat ditangkap oleh pelajar itu. Sangat kuat hingga sukar untuk melepaskannya. Aufa menendang pintu seluasnya dan menjerit meminta pertolongan ketika melihat ada kelibat pelajar Tahun 5 lain yang berdekatan. 

Namun, itu hanya sia-sia. Aufa tahu pelajar Tahun 5 ini agak ditakuti oleh pelajar-pelajar Tahun 5 yang lain. 

Aufa menarik tangannya hingga dia berjaya keluar melangkah daripada bilik pra-sekolah. Dengan menggunakan sebelah tangan yang masih memegang sabun, Aufa menumbuk bertubi-tubi pelajar lelaki itu dan dalam masa yang sama menendang kakinya. Dengan kuasa Allah, tangannya terlepas daripada genggaman pelajar itu, dan dia menyepak kasutnya ke dalam longkang sebelum segera berlari semula ke tapak perkhemahan. 

Syukur, akhirnya tamat sesi persekolahan di situ. Cukuplah! 

Di sekolah menengah, hidup Aufa lebih aman. Aufa memilih untuk lebih low-profile. Aufa tak mahu dikenali, hatta, sanggup mengorbankan status sebagai pelajar top 3 di dalam kelas supaya tidak dikenali dan diambil tahu lagi oleh pelajar-pelajar lain.

Aufa mahu lebih kenal Allah sebagai Tuhan dan pelindung-Nya yang mutlak. 
Waktu antara Asar dan Mahgrib, Aufa akan menelaaah kitab tafsir di musolla sekolah, dan datang lebih awal ke musolla untuk solat berjemaah. 

Makin kenal Allah, makin rasanya itulah panggilan yang dinanti-nanti, dan tidak ada sesiapa yang boleh melindunginya lebih kebal daripada perlindungan Allah kepadanya. 


0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino