::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Oct 29, 2024

Nikmati Rasa Sakit Itu


~Kata mereka, no pain, no gain~

Benarlah firman Allah dalam surah Al-Insyirah ayat 5 dan 6.
"Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan."

Terima kasih
Kerana tidak mengendahkan luahan kesedihanku
Kerana aku belajar meluahkan segalanya kepada Dia Yang Maha Mendengar 

Terima kasih 
Kerana sering mengatakan bahawa aku ini kuat
Tatkala aku meminta pertolongan 
Kerana aku belajar mengamalkan Zikir Saidatina Fathimah setiap malamku
Memohon pertolongan daripada Dia untuk membantu tiap-tiap hariku

Terima kasih 
Kerana selalu menggelarkan aku si gemuk dan bulat sejak awal kita bertemu
Walaupun katamu itu hanyalah gurauan 
Kerana dari itu aku belajar menjaga diriku sendiri untuk tetap fit dan sihat

Terima kasih
Kerana selalu membiarkan aku keseorangan 
Tatkala aku tidak sihat dan sangat memerlukan seseorang di sampingku
Kerana dari itu aku belajar untuk menjaga kesihatan dan pemakanan ku
Agar dengan usaha ku ini
Dia memberikan aku kesihatan yang baik 
Tanpa memerlukan bantuan manusia yang sekadar sandaran sementara

Terima kasih 
Kerana sering memberi contoh seorang sosok yang tidak sama dengan jangkaanku
Kerana aku yakin yang sempurna hanyalah Dia dan yang ideal hanyalah kekasih-Nya

Terima kasih 
Kerana menyedarkan aku
Bahawa subjek kesihatan mental di zaman ijazah yang kukira akulah pemenangnya
Menunjukkan aku kepada banyak lagi personaliti manusia di luar nalar yang belum aku pelajari

Terima kasih 
Kerana memberi sakit ini
Kerana aku yakin kesabaran ini
Akan diganjari Dia yang Maha Melihat dan Menghitung semuanya

Alhamdulillah
Syukurku atas segala nikmat sakit ini
Setiap sakit yang ku lalui
Aku bangun dan memeluk doa-doaku 
Mengharap pembelaan daripada-Nya
Membaca surat-surat cinta-Nya 
Membaca bujukan kasih sayang-Nya

Dan Dia memberi kekuatan tanpa aku sedar.


~Diriku sekarang adalah proses yang disediakan oleh-Nya untuk diriku, dan juga hasil pilihan reaksiku ke atas segala ujian-Nya. Terima kasih Allah, Tuhanku~



Oct 12, 2024

Nak Sangat ke Nak Sikit Je?


Dalam 2 ke 3 hari ini flashback menyebabkan diri sedikit ter'overwhelm' dan agak menjejaskan momentum bekerja. 

Kadang-kadang tak sedar termenung sendiri beberapa minit teringat peristiwa-peristiwa lalu yang melukakan. 

Ye, bukan mudah sebagai manusia untuk melupakan semuanya. 

Hanya pada Allah tempat mengadu. 

Sungguh, Allah Maha Mengerti, Maha Mendengar. 



Syukur Alhamdulillah, terima kasih Allah. 

Allah hadirkan banyak perkara yang lebih besar dan lebih baik dari perkara semalam. Allah hadirkan ramai orang-orang baik dan positif untuk sebagai tanda sayang dan cinta-Nya. 

Semalam dalam sesi usrah tema 'Uluwwul himmah (keinginan yang tinggi) dan malam ini kelas pascasiszawah bersama mentor kami menjentik hati saya tentang "Pay the Price". 

Apabila kita nak sangat sesuatu, tentu ada sesuatu tindakan atau aktiviti yang perlu kita lakukan untuk mendapatkannya. 

Persoalannya: berapakah kesungguhan kita dalam melakukan aktiviti tersebut sekiranya kita benar-benar nakkan sesuatu itu?

Saya percaya kedua-dua tema yang lebih kurang sama selama 2 malam berturut-turut ini bukanlah satu kebetulan, tapi itulah ibarat nasihat daripada Allah untuk saya belajar dan teruskan perjalanan hidup ini. 


Adakalanya sesuatu itu kita rasakan kebetulan, tapi walhal semuanya telah masuk dalam takwim perancangan Allah untuk kita. Dengan siapa kita bertemu, dengan ilmu apa yang kita ketahui, bentuk petunjuk dan bimbingan apa yang Allah beri semuanya telah digariskan oleh-Nya selagi mana kita berpegang dengan petunjuk-Nya, mengharapkan bimbingan daripada Allah melalui solat, zikir, doa dan segala kebaikan kerana-Nya. 


Kesimpulan

Jadi, 'nak' kita ni adakah sangat bersungguh untuk apa yang kita impikan atau hanya sekadar nak di mulut saja? Itu sangat menyedarkan bahawa waktu untuk berjuang itu perlu diteruskan dengan sungguh-sungguh, walaupun hati masih berat, masih tertahan, teruskan kayuhan perjalanan ini hingga akhir nanti. 


"If I want to, I will; and Allah's will."


<a href="https://stocksnap.io/photo/mountain-view-K9CIXQGE8N">Photo</a> by <a href="https://stocksnap.io/author/51764">Joe Roberts</a> on <a href="https://stocksnap.io">StockSnap</a>
~Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan~

~Syukur, terima kasih Allah, atas anugerah orang-orang baik yang tidak pernah menyerah dan berputus asa dengan diri ini~

Oct 11, 2024

Ceritera Cermin Nan Pecah (Bahagian 1)


~Cermin yang dihempas berkali-kali walaupun tidak pecah berderai pasti retak seribu, dan takkan mampu memantulkan biasan imej yang  indah seperti dulu.~


"Suami awak ni ada anxiety." Kata tuan doktor. 

"Baiklah." Kata Zahra. Akur dengan tahap kesihatan suami yang baru dikahwini tidak sampai beberapa bulan. 

Ada masanya dia melihat suami banyak termenung dan bersendiri. 

Dia cuba sedaya upaya ambil tahu tentang anxiety, penyebab dan rawatan di rumah untuk membantu suaminya. 

Bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, suami Zahra makin pulih akhirnya. Badan yang sangat kurus kini sudah nampak semakin berisi. 

Dan kini mereka bukan berdua lagi. 

Alhamdulillah. Mereka sudah berempat. Ada Ali dan Aminah. Mereka hanya selang setahun saja. 

Tapi yang menghairankan Zahra ialah suami Zahra masih suka bersendirian seperti dulu. Hanya bermain sebentar dengan anak-anaknya, dan kemudian bersendirian semula samada di sudut rumah atau di dalam bilik sambil membelek telefon bimbitnya. 

Apabila anak-anak cukup riuh bermain di kelilingnya, dia akan bangun meninggalkan mereka. Seakan tidak tahan dengan bunyi bising. 

Semakin anak-anak membesar dalam lingkungan 2-3 tahun, anak-anak sudah mula tantrum atau bergaduh, terutama Ali si abang yang sangat kuat menangis. 

Tangisannya yang kuat seakan begitu mengganggu suami Zahra. 

Suami Zahra cuba menghentikan tangisan anaknya dengan lisan, tetapi Ali semakin kuat menangis. 

Suami Zahra menarik tangan Ali dengan keras menuju ke pintu rumah. Ali yang sedang menangis diheret ke luar rumah, dan pintu dikunci. Dan Ali dibiarkan menangis beberapa minit di luar rumah. Setiap kali si suami ingin merotan Aminah pula, Aminah akan menangis ketakutan sehingga terbuang air kecil. 

Zahra seperti terkesima. 

Berkali-kali Zahra terdiam. Terpaku melihat keadaan itu dan seolah rasa tidak berdaya. 

Seolah merasakan mungkin suaminya ada rasional sendiri, tetapi semakin hari dia merasakan itu bukanlah satu tingkahlaku yang normal. 

Setiap kali Zahra ingin menyuarakan tentang itu, ia tidak berhujung dengan baik. 

"Boleh tak jangan marah anak-anak macam tu?" Kata Zahra. 

"Mana ada marah. Awak je yang rasa saya marah. Saya tak marah." Begitulah acap kali jawapannya. 

Zahra merasa sangat keliru. Adakah hanya dia saja yang bersangka buruk? 

Kemudian, Zahra menemukan padanan tanda-tanda high functioning autism pada suaminya seperti kurang empati, tidak suka pada kebisingan, mahupun tiada intimasi emosi, tetapi mempunyai sebahagian ingatan memori yang sangat kuat.

Zahra bertahan hingga bertahun-tahun, dengan meyakinkan dirinya tentang mungkin suaminya memang dilahirkan begitu. 

Akhirnya, Zahra bertemu dengan kaunselor untuk membicarakan tentang hal ini. Mendengarkan kata-kata kaunselor, dia mempunyai hak untuk melangkah sekiranya rumahtangga ini mendatangkan kemudaratan dan tidak menjaga Maqasid pernikahan. Namun, semuanya masih dirahsiakan daripada pengetahuan keluarganya. 

Zahra pernah menyuarakan serba sedikit perkara ini pada sahabat karibnya yang juga telah berkahwin tetapi nasihat sahabatnya bahawa 5 tahun perkahwinan adalah kebiasaan pasangan di tahap ini. 

Setelah 5 tahun bertahan dan suami Zahra sudah semakin agresif, sehingga sanggup membaling kerusi kecil milik anak berhampiran dengannya sewaktu dia sedang marah,  Zahra merasakan ini sudah cukup bagi dirinya dan anak-anak. Mungkin akan datang, kemudaratan yang lebih teruk lagi. 

Zahra perlu dapatkan pekerjaan, dan bawa anak-anak jauh daripada suaminya. 

Bersambung...


 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino