::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Oct 11, 2024

Ceritera Cermin Nan Pecah (Bahagian 1)


~Cermin yang dihempas berkali-kali walaupun tidak pecah berderai pasti retak seribu, dan takkan mampu memantulkan biasan imej yang  indah seperti dulu.~


"Suami awak ni ada anxiety." Kata tuan doktor. 

"Baiklah." Kata Zahra. Akur dengan tahap kesihatan suami yang baru dikahwini tidak sampai beberapa bulan. 

Ada masanya dia melihat suami banyak termenung dan bersendiri. 

Dia cuba sedaya upaya ambil tahu tentang anxiety, penyebab dan rawatan di rumah untuk membantu suaminya. 

Bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, suami Zahra makin pulih akhirnya. Badan yang sangat kurus kini sudah nampak semakin berisi. 

Dan kini mereka bukan berdua lagi. 

Alhamdulillah. Mereka sudah berempat. Ada Ali dan Aminah. Mereka hanya selang setahun saja. 

Tapi yang menghairankan Zahra ialah suami Zahra masih suka bersendirian seperti dulu. Hanya bermain sebentar dengan anak-anaknya, dan kemudian bersendirian semula samada di sudut rumah atau di dalam bilik sambil membelek telefon bimbitnya. 

Apabila anak-anak cukup riuh bermain di kelilingnya, dia akan bangun meninggalkan mereka. Seakan tidak tahan dengan bunyi bising. 

Semakin anak-anak membesar dalam lingkungan 2-3 tahun, anak-anak sudah mula tantrum atau bergaduh, terutama Ali si abang yang sangat kuat menangis. 

Tangisannya yang kuat seakan begitu mengganggu suami Zahra. 

Suami Zahra cuba menghentikan tangisan anaknya dengan lisan, tetapi Ali semakin kuat menangis. 

Suami Zahra menarik tangan Ali dengan keras menuju ke pintu rumah. Ali yang sedang menangis diheret ke luar rumah, dan pintu dikunci. Dan Ali dibiarkan menangis beberapa minit di luar rumah. Setiap kali si suami ingin merotan Aminah pula, Aminah akan menangis ketakutan sehingga terbuang air kecil. 

Zahra seperti terkesima. 

Berkali-kali Zahra terdiam. Terpaku melihat keadaan itu dan seolah rasa tidak berdaya. 

Seolah merasakan mungkin suaminya ada rasional sendiri, tetapi semakin hari dia merasakan itu bukanlah satu tingkahlaku yang normal. 

Setiap kali Zahra ingin menyuarakan tentang itu, ia tidak berhujung dengan baik. 

"Boleh tak jangan marah anak-anak macam tu?" Kata Zahra. 

"Mana ada marah. Awak je yang rasa saya marah. Saya tak marah." Begitulah acap kali jawapannya. 

Zahra merasa sangat keliru. Adakah hanya dia saja yang bersangka buruk? 

Kemudian, Zahra menemukan padanan tanda-tanda high functioning autism pada suaminya seperti kurang empati, tidak suka pada kebisingan, mahupun tiada intimasi emosi, tetapi mempunyai sebahagian ingatan memori yang sangat kuat.

Zahra bertahan hingga bertahun-tahun, dengan meyakinkan dirinya tentang mungkin suaminya memang dilahirkan begitu. 

Akhirnya, Zahra bertemu dengan kaunselor untuk membicarakan tentang hal ini. Mendengarkan kata-kata kaunselor, dia mempunyai hak untuk melangkah sekiranya rumahtangga ini mendatangkan kemudaratan dan tidak menjaga Maqasid pernikahan. Namun, semuanya masih dirahsiakan daripada pengetahuan keluarganya. 

Zahra pernah menyuarakan serba sedikit perkara ini pada sahabat karibnya yang juga telah berkahwin tetapi nasihat sahabatnya bahawa 5 tahun perkahwinan adalah kebiasaan pasangan di tahap ini. 

Setelah 5 tahun bertahan dan suami Zahra sudah semakin agresif, sehingga sanggup membaling kerusi kecil milik anak berhampiran dengannya sewaktu dia sedang marah,  Zahra merasakan ini sudah cukup bagi dirinya dan anak-anak. Mungkin akan datang, kemudaratan yang lebih teruk lagi. 

Zahra perlu dapatkan pekerjaan, dan bawa anak-anak jauh daripada suaminya. 

Bersambung...


0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino